Nizam Rahman – Ladang Hutan Masih “Tersimpankah” Hutan Simpan Kita?

Ladang Hutan: Masih “Tersimpankah” Hutan Simpan Kita?

Nizam Rahman,

Aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia,

Delegasi Malaysia di ASEAN Youth Environmental Forum 2019

 

Pertanian merupakan salah satu pekerjaan dan aktiviti tertua yang dilakukan oleh manusia sejak sekian lama. Kemampuan mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti dengan kuantiti yang banyak, banyak mempengaruhi hidup kita. Kita mewarisi genetik nenek- moyang kita yang lebih gemar bercucuk tanam, daripada terus bergantung kepada sumber tanaman semulajadi, bagi memastikan sumber yang berterusan.

Seiring dengan perkembangan teknologi, teknik pertanian secara tradisional lama- kelamaan berubah kepada satu bentuk industri moden yang penting. Semuanya bermula sejak separuh abad yang lalu, bilamana munculnya teknik pertanian berskala besar dan lebih intensif, yang dilihat sebagai satu-satunya cara untuk memaksimakan hasil pertanian untuk kepentingan ekonomi. Justeru itu, petani lebih memilih untuk fokus kepada satu-satu jenis tanaman yang mempunyai kadar penghasilan tinggi sahaja. Jenis tanaman juga bergantung kepada permintaan dalam kalangan masyarakat tempatan. Maka dengan itu, kos operasi dapat dikurangkan dan dapat memudahkan kerja para petani, kerana mereka hanya perlu mengikut proses dan prosedur yang sama setiap masa. Jadi, para petani dapat menggunakan masa dan sumber dengan lebih efisien, dan memperoleh hasil yang maksima. Inilah teknik yang dinamakan sebagai “tanaman monokultur”.

Teknik tanaman monokultur selalunya lebih berfokus kepada satu spesies sahaja dalam satu-satu masa. Terma “satu-satu masa” di sini bermaksud, jenis tanaman boleh diganti dengan jenis lain sebaik sahaja spesies yang sebelum itu selesai dituai. Cara ini sering dipraktikkan di kawasan ladang yang besar. Sebagai contoh, petani menggantikan tanaman jagung yang telah siap dituai dengan tanaman soya selepas dua tahun. Contoh lain yang kita sering lihat di Malaysia ialah ladang getah, akasia, eucaliptus, dan kelapa sawit. Kita dapat lihat, teknik monokultur ada banyak manfaat dari segi ekonomi, dari aspek penghasilan yang maksima dengan kos yang minima.

Namun, dalam mengejar keuntungan, seringkali kita lupa bahawa sebarang projek industri yang melibatkan hasil bumi pasti memberi kesan kepada banyak pihak, lebih-lebih lagi bumi itu sendiri. Perkara yang paling utama dalam tanaman monokultur ialah membentuk sebuah kawasan ladang yang sesuai.   Tanaman monokultur tidak menjadi masalah jika ianya dijalankan dalam skala yang tidak terlalu besar di tanah persendirian, dan tanah-tanah terbiar. Sebagai contoh, tanaman pokok getah di hadapan rumah seperti yang dilakukan segelintir masyarakat di Batu Pahat, Johor. Ada juga yang menjalankan tanaman monokultur di tanah bekas tapak lombong, bagi menyuburkan semula tanah tersebut. Ia juga tidak menjadi masalah jika tidak menyebabkan gangguan kepada masyarakat awam, mencemarkan sumber air, dan juga tidak menyebabkan kerosakan dalam skala besar.

Masalah besar akan timbul jika ladang monokultur ini dijalankan di dalam kawasan hutan. Lebih kritikal lagi, dalam hutan simpan. Ya, memang ada ladang di dalam hutan simpan. Persoalannya di sini, adakah “ladang hutan” ini hutan? Adakah sama servis ekologi di dalam ladang hutan dengan hutan biasa? Kabinet Malaysia pada Mac 2005 telah  meluluskan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH), bagi menukarkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK)  yang dikira sebagai “hutan miskin” kepada hutan yang kaya dengan sumber ekonomi, dengan  membentuk ladang bagi satu-satu jenis tanaman sahaja, seperti getah, kelapa sawit, akasia, dan buluh.

Dalam proses ini, kawasan HSK yang besar perlu dibuka dan program ini melibatkan 375,000 hektar kawasan hutan, dengan pembukaan sebanyak 25,000 hektar setahun.  Menurut projek ini, pihak kerajaan masih mengklasifikasikan ladang hutan ini sebagai hutan di dalam HSK, termasuk di dalam rekod dan juga statistik.  Namun hakikatnya ini ialah ladang monokultur di dalam HSK yang mana persekitarannya jauh berbeza daripada hutan yang biasa.

Logikkah sehingga 375,000 hektar HSK kita dilabel miskin? Seperti yang kita tahu, dengan iklim tropika di negara kita, hutan kita sangatlah kaya dengan biodiversiti.  Kita dapat lihat ribuan jenis spesies hidupan yang berbeza, sama ada mamalia, serangga, kulat, tanaman herba, pokok kayu-kayan dan banyak lagi. Penebangan kawasan hutan secara besar-besaran ini secara langsung bukan saja menghapuskan habitat mereka, malah spesies mereka juga turut akan terancam. Setiap spesies memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan ekosistem, dan dengan berkurangnya kepelbagaian hidupan ini bermaksud berkurangnya kestabilan dalam ekosistem.

Mungkin kita tidak nampak pentingnya kepelbagaian bio dalam hutan kita, kerana kita sudah terbiasa dengan ekosistem kehidupan di kawasan tempat tinggal kita. Dalam kalangan masyarakat kita, ada yang bekerja sebagai bomba, ada yang menjadi guru, ada yang menghantar makanan, ada polis yang menjaga keselamatan masyarakat, ada yang bersaing dalam perniagaan, dan lain-lain. Perkara-perkara inilah yang membentuk kestabilan “ekosistem” kehidupan kita.

Kurangnya satu elemen akan membuatkan kitar hidupan kita kurang stabil. Begitu juga di kawasan hutan. Ada yang berperanan sebagai penyebar biji benih, gajah yang besar menjadi jurutera membentuk lanskap, persaingan antara haiwan bagi mendapatkan makanan, pokok-pokok besar dengan akar yang kuat mencengkam tanah, interaksi mutualistik antara kulat dan tumbuhan, dan banyak lagi. Kurangnya satu elemen, kuranglah kestabilan.

Maka dengan hilangnya elemen-elemen penting ini dalam suatu kawasan, maka para peladang perlu mencari jalan yang artifisial bagi menggantikan fungsi dan servis ekosistem yang sepatutnya wujud secara semula jadi. Hal ini kerana mereka telah kehilangan sistem kawalan biologi di kawasan tersebut, termasuklah serangga-serangga dan tumbuhan tertentu yang berperanan sebagai pengawal melawan makhluk perosak. Keadaan akan menjadi lebih teruk di kawasan berbukit, bilamana tiada lagi akar pokok yang kuat untuk mencengkam tanah daripada hakisan, memaksa para peladang untuk membina benteng, membina dinding konkrit pada cerun, mewujudkan sistem perparitan yang ditanam di bawah tanah untuk mengawal aliran air hujan dan banyak lagi. Semua ini memakan kos yang agak tinggi, yang mana secara logik akalnya semua servis ini disediakan secara percuma oleh Sang Pencipta secara semulajadi.

Kegiatan meneroka HSK dengan ghairah ini turut mengakibatkan konflik antara manusia dan haiwan liar. Sebagaimana pada bulan Oktober 2019 yang lalu, terdapat lebih 180 kes gajah keluar dari habitat asal bagi mencari makanan. Kebanyakan gajah tersebut dilaporkan keluar dari hutan-hutan simpan sekitar negeri Pahang, seperti Hutan Simpan Kemasul (Temerloh), Hutan Simpan Kota Gelanggi (Jerantut) dan juga Hutan Simpan Lesong di Rompin. Menurut PERHILITAN negeri Pahang, habitat asal gajah-gajah tersebut diteroka untuk membuat ladang dan kebun.

Pada Mac 2014 yang lalu juga terdapat sebuah kes serangan beruang yang menyerang pekerja ladang monokultur (getah) di Hutan Simpanan Kekal Merchang di Marang, Terengganu. Mangsa serangan tersebut dilaporkan menerima 30 jahitan di leher, kepala dan juga di paha. Dalam minggu yang sama di Terengganu juga, muncul sebuah lagi kes melibatkan seorang peneroka Felda yang menerima 22 jahitan selepas diserang beruang di Hutan Simpanan Kekal Gunung Tebu. Siapa yang perlu kita salahkan dalam hal ini? Sudah banyak haiwan liar seperti gajah, beruang, harimau, kera, dan tapir telah ditangkap kerana mengganggu manusia yang tinggal berdekatan kawasan habitat mereka, hal ini termasuklah gangguan terhadap ladang dan kebun masyarakat setempat yang musnah kerana serangan haiwan-haiwan liar ini.

 

Orang asli merupakan antara golongan yang turut terkesan secara langsung dengan perlaksanaan projek ladang hutan ini. Pada bulan Februari 2019 yang lalu, masyarakat orang asli Tasik Cunex, Gerik membantah pembalakan yang berlaku di Hutan Simpan Kekal Air Chepam, Gerik, Perak. Pengeluaran kayu balak dari kawasan HSK tersebut merupakan salah satu langkah kerajaan negeri Perak bagi membuka sebuah kawasan bagi tujuan perladangan di dalam HSK. Hal ini bukan sahaja menyebabkan masyarakat orang asli ini hilang sumber pencarian, pembinaan laluan jentera juga merosakkan paip bekalan air mereka.

 

Lebih memburukkan keadaan, 80 hektar dari keseluruhan kawasan yang diteroka tersebut merupakan kawasan pencarian herba-herba tradsional bagi penduduk-penduduk di empat buah kampung orang asli. Mereka juga terdedah kepada risiko pencemaran air yang membawa penyakit, seperti yang berlaku kepada masyarakat orang asli suku Batek di Gua Musang, Kelantan pada bulan Jun 2019.  Terdapat lebih 13 kes kematian melibatkan masyarakat orang asli akibat jangkitan pada paru-paru sepanjang tempoh tersebut. Wujud pelbagai dakwaan mengenai punca kematian mereka, ada yang mendakwa ia berpunca daripada pencemaran air, faktor kebersihan dan banyak lagi. Walau apa jua punca yang mengakibatkan musibah ini berlaku, adalah perlu ditekankan di sini, bahawa status mereka sebagai orang asli tidak wajar diambil ringan oleh kita, sehingga hak mereka mendapatkan keperluan asas dinafikan.

Ladang monokultur juga memerlukan lebih banyak air daripada biasa. Tanah yang terhakis, terdedah, dipadatkan, sudah tentu tidak dapat menjamin persekitaran yang sihat dengan nutrisi dan bahan organik yang maksimum. Beginilah keadaan tanah-tanah yang kita biasa lihat di kawasan ladang monokultur.  Keadaan tanah sebegini tidak dapat menampung air yang banyak sebagaimana tanah-tanah yang biasa. Ini bermakna tanaman-tanaman yang dihasilkan lebih “dahagakan” air, dan ini bermaksud para peladang perlu mengairi tanaman-tanaman ini dengan lebih kerap. Sebagai contoh, mereka memerlukan sebanyak 268 liter air untuk setiap kilogram kelapa sawit yang masih    membesar, 2 500 liter bagi tanaman tebu, dan 29 000 liter per kilogram bagi tanaman kapas. Terdapat juga  ladang monokultur di dalam kawasan HSK yang terlalu dekat dengan aliran sungai tanpa zon penampan (buffer zone) , yang akan menyebabkan sungai tersebut lebih cepat mengering. Walaupun lebih banyak air digunakan, tanah tetap tidak dapat mengekalkan air dan persekitaran yang lembap kerana terdedah disebabkan oleh permukaan yang tidak dilindungi. Terang lagi bersuluh di sini bahawa ini merupakan satu cara yang paling teruk untuk kita bazirkan sumber air yang berharga ini.

Dengan keperluan sumber air dan tanah yang banyak bagi mendapatkan hasil diperlukan, sudah pasti keberterusan penghasilan produk tanaman ini tidak dapat dijamin dalam masa yang panjang. Tahun demi tahun, sudah pasti hasil tuaian akan berkurang sedikit demi sedikit dan ini akan menyukarkan para peladang untuk meneruskan kegiatan mereka. Seperti yang kita tahu, dengan perubahan iklim yang berlaku, tanaman-tanaman ini sangat terdedah kepada keadaan cuaca ekstrem yang tidak menentu dan juga perubahan suhu persekitaran. Kebanyakan kawasan akan mengalami musim panas yang lebih lama dan lebih kering daripada biasa. Lebih memburukkan keadaan, cuaca panas yang lebih panjang memberi masa yang cukup untuk serangga-serangga perosak melengkapkan kitaran pembiakan mereka. Hal ini bermaksud para petani perlu menggunakan lebih banyak racun perosak untuk mengawal populasi makhluk-makhluk perosak ini. Namun, keberkesanan racun perosak akan berkurang dengan meningkatnya suhu persekitaran.

 

Pada 21 September setiap tahun bermula 2006, akan disambut Hari Perjuangan Antarabangsa Perjuangan Menentang Penanaman Pokok Monokultur. Sambutan ini hasil daripada persetujuan beberapa pertubuhan sosial dari Afrika, Amerika Latin dan beberapa negara Asia yang lain dalam sebuah deklarasi antarabangsa.  Antara isu yang ditekankan termasuklah isu pencabulan kawasan petempatan yang dijadikan ladang monokultur, penjualan karbon kredit kepada syarikat-syarikat besar, pencabulan hak asasi manusia dan haiwan liar, keistimewaan akses tanah kepada syarikat pemaju, dan kegiatan mengklasifikasikan penduduk tempatan yang membantah sebagai penjenayah.

Menurut Allahyarham S.M. Idris, Pengasas dan juga bekas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) , deklarasi itu berakhir dengan menggesa kerajaan “supaya melabur dalam mempelbagaikan pengeluaran makanan tempatan dan kedaulatan/jaminan makanan, sebagai satu cara yang terbaik untuk menyokong komuniti dan juga ekonomi negara dan tempatan serta untuk mempromosikan keadilan sosial dan alam sekitar”.

Kesimpulannya, kita tidak dapat menafikan bahawa kegiatan pertanian tetap merupakan antara industri yang penting. Selain daripada menjana ekonomi tempatan, pertanian juga penting bagi memastikan kemandirian bekalan makanan kita semua. Namun, hak-hak alam sekitar tetap tidak patut dilupakan. Maka dengan ini, kita perlu lebih bertindak lebih bijak bagi memastikan keseimbangan ekonomi dan ekologi dapat tercapai. Dalam memenuhi keperluan makanan dan ekonomi masa kini, kita perlu pastikan generasi akan datang juga akan dapat menikmati manfaat yang kita kecapi hari ini.

Terdapat empat elemen penting yang perlu ada dalam pertanian yang lestari, iaitu membentuk dan mengekalkan tanah yang sihat dan subur, pengurusan air yang cekap, meminimakan pencemaran persekitaran,udara dan air, meningkatkan biodiversiti di kawasan pertanian, dan yang paling penting, memastikan hak dan kebajikan komuniti setempat terjaga. Pengetahuan mengenai petanian lestari ini wajar diketahui oleh semua pihak, agar kita tidak membiarkan penjenyah-penjenayah alam sekitar terus merosakkan bumi kita dan meraih keuntungan berlebihan, dalam masa yang sama merugikan banyak pihak lain.

 

 

Rujukan:

Safitri, L., Hermantoro, H., Purboseno, S., Kautsar, V., Saptomo, S., & Kurniawan, A. (2018). Water Footprint and Crop Water Usage of Oil Palm (Eleasis guineensis) in Central Kalimantan: Environmental Sustainability Indicators for Different Crop Age and Soil Conditions. Water, 11(1), 35. doi:10.3390/w11010035

Malaysia National Policy on Biological Diversity, 2016-2025, Biodiversity and Forestry Management Division Ministry of Natural Resources and Environment, Malaysia

Stott P, How climate change affects extreme weather events. Science 352:1517– 1518 (2016).

Anim Hosnan M. (2018, August 18), Mengawal Hakisan Tanah. Retrieved from http://animhosnan.blogspot.com/2018/08/mengawal-hakisan-tanah.html

Sinar Harian (2019, Februari 25), Mengapa orang asli marah pembalakan di Gerik, Perak?

Artikel Penuh :  https://www.sinarharian.com.my/article/14834/SIASAT/orang-asli

Rafi Mamat M. (2019, Oktober 29), Pembukaan hutan punca habitat gajah terganggu. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/621953/pembukaan-hutan-punca-habitat-gajah-diganggu

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply