Adakah kalian tahu siapa Sri Mulyani? Apakah pekerjaannya? Dengan siapa beliau bekerja? Pasti ada yang tertanya-tanya siapakah gerangan wanita yang dimaksudkan itu.

Sri Mulyani atau nama panjangnya ialah Sri Mulyani Indrawati yang lahir pada 26 Ogos 1962. Beliau merupakan anak ketujuh daripada 10 orang adik beradik. Bapa beliau Prof Dr. Satmoko dan ibunya, Prof Dr. Retno Sringnisih merupakan pensyarah di Universiti Negeri Semarang, Indonesia. Latar belakang pendidikan beliau cukup hebat yang menjadi penguat kepada kemahirannya. Beliau memperoleh Sarjana Muda di Universitas Indonesia Jakarta dalam bidang ekonomi sebelum melanjutkan ke peringkat Sarjana dan Ph.D di University of lllinois Urbana Champaign dalam jurusan ekonomi.

Sri Mulyani dilantik menjadi Menteri Kewangan Indonesia di bawah pentadbiran Presiden Republik Indonesia Joko Widodo sejak tahun 2016. Sebelum ini beliau juga pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan Indonesia pada tahun 2005 hingga 2010 di bawah pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Apa yang menarik tentang Mulyani ialah beliau pernah dinobatkan sebagai Menteri terbaik di dunia sewaktu Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai hasil penelitian bebas oleh Ernst dan Young selaku firma perunding antarabangsa. Penganugerahan ini disebabkan oleh peranannya dalam membantu menerajui bajet ekonomi yang terbesar di Asia Tenggara. Sebelum ini juga beliau turut menerima beberapa anugerah lain yang menunjukkan prestasi terbaiknya dalam kabinet Republik Indonesia seperti Menteri Kewangan terbaik Asia yang dinobatkan oleh Euromoney tahun 2006 dan baru-baru ini FinanceAsia tahun 2017 dan 2018. Tidak hairanlah kenapa wanita ini dinobatkan sebagai Menteri terbaik.

Jika dilihat tahun 2018, Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 9.82 peratus sekaligus mencatatkan angka paling terendah sejak daripada tahun 1999 iaitu pada angka 23.43 peratus. Ia mencatatkan jumlah pendudukan miskin sebanyak 25.58 juta orang yang menurun sebanyak 633 ribu orang pada 2017.

Peluang pekerjaan juga dibuka dengan luas. Presiden Jokowi menyasarkan jumlah sebanyak 10 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia bermula tahun 2015 sehingga 2019. Walau bagaimanapun, Hanif Dhakiri selaku Menteri Tenaga Kerja Indonesia berkata sasaran itu sememangnya berjaya dicapai iaitu sebanyak 10.3 juta peluang pekerjaan telah tercipta pada penghujung tahun 2018.

Semasa diberi peluang untuk melawati kota Bandung tahun 2018, saya melihat banyak perubahan yang berlaku di sana. Antaranya ialah pengangguran dan pengamen di tengah bandar telah berkurangan. Ia amat berbeza sejak kali pertama dan kedua pada tahun 2012 dan 2013 saya melawati kota yang sama. Kata “Pak Supir” saya, Indonesia banyak memperkenalkan program bagi membantu belia dan masyarakat mereka dari segi bidang kemahiran. Ada yang terlibat dalam mempelajari ilmu seperti menjahit, membaikpulih, menukang dan sebagainya.

Saya berharap Malaysia turut berpotensi untuk melahirkan lebih ramai generasi bertaraf dunia setanding dengan pencapaian Sri Mulyani, di samping dapat mengharumkan nama baik negara di mata dunia.

ALIF FAHMI BIN ZAHARI,
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Leave a Reply