Izzat Dahelan – Rasisme Sebuah Penyakit

RASISME: MASYARAKAT KITA PERLU UBATI ‘PENYAKIT’ INI!
OLEH: IZZAT DAHELAN

Media sosial sangat rancak beberapa hari ini dengan coretan ‘haram’ dan ‘jijik’ yang mempamerkan elemen-elemen rasisme. Tidak ada ungkapan indah untuk diberikan kepada segolongan ini melainkan ‘sempit akal’ dan ‘bodoh pekat’. Isu wujud akibat daripada beberapa tindak tanduk yang melibatkan bangsa Rohingnya yang sebahagiannya penulis sendiri tidak setujui. Namun, sebahagian masyarakat kita hari ini dengan sempit akalnya dan ditambah sikap JABONG (Jahat, Bodoh dan Sombong) telah mengambil kesempatan untuk membodoh diri dengan meniup api rasisme supaya semakin marak.

Sebahagian masyarakat kita sangat mudah membuat generalisasi terhadap beberapa hal yang dilakukan individu dari satu-satu bangsa, kemudian dinisbahkan secara penuh keburukan kepada bangsa. Adakah itu satu pegadilan yang wajar? Apa bezanya kita dengan gologan kafir di Barat yang membuat orang Islam dipandang sebagai teroris? Hanya disebabkan minoriti Muslim melakukan tindakan keganasan yang bertentangan dengan nilai sebenar Islam, secara penuh penganut agama Islam diperkatakan sebagai teroris? Kita mengutuk penisbahan demikian. Kita mengatakan barat itu sempit! Tetapi hari ini di Malaysia sudah wujud benih-benih nilaian singkat terhadap sikap buruk individu dan sebahagian kelompok satu bangsa, tetapi dinisbahkan secara penuh sikap buruk itu terhadap keseluruhan kelompok bangsa itu. Ini prejudis! Ini bias! Mana perginya akal yang cerdik dan rasional sebagai seorang manusia?

Jika yang berkata-kata dan melaungkan ungkapan rasis itu adalah Muslim, alangkah jeleknya tindakan kalian. Dikutuk kalian di dalam al-Quran oleh kalam Tuhan. Tidak pernah diajarkan kepada kita untuk melakukan tindakan demikian. Malahan kita dituntut untuk melindungi mereka yang berada dalam kesusahan dan kezaliman.

Benar, kita tidak setuju dengan beberapa tindakan dan tuntutan yang dibuat oleh sebahagian kelompok Rohingya tersebut. Tetapi itu bukanlah menjadi alasan untuk kita mengaibkan bangsa tersebut secara penuh! Bila disebut Melayu Malas, dengan ‘rasa pandai dan bijak’ kita mengatakan bahawa kita tidak malas. Malas itu milik peribadi dan bukan milik kaum. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Tindakan membuat penisbahan negatif yang memberat kepada sikap prejudis telah menjadi cabang akal fikir sebahagian masyarakat kita.

Tidak kurang golongan yang kononnya ‘intelektual’ berbicara menyampaikan ‘bait-bait’ yang mencetus perbalahan. Tidak lain tapi dosa sahaja yang diperoleh. Negara kita tidak akan maju jika hidup dalam kepompong rasis. Tidak akan pernah menjadi satu bangsa yang hebat jika nilai ini masih disimpan dalam benak fikiran. Hanya merosak akal. Membodoh diri.

Lebih baik berdiam sahaja jika tidak punya analisis dan nilai tahu dalam diri untuk mengkritik secara membangun dan konstruktif. Daripada menjadi agen budaya ‘syaitan’ dalam masyarakat. Penulis sangat kurang senang dengan budaya rasis yang wujud. Malah penulis bimbang jika masyarakat berfikiran begini membiak membawa nilai rasisme di dalam diri.

Walaupun kita menolak tindakan yang dilakukan oleh Rohingya. Kita perlu juga meletak diri kita di posisi mereka. Tindakan itu atas dorongan semulajadi sebagai kelompok bangsa. Jika kita melihat rakan sebangsa kita berada dalam kesusahan, kita akan mencari jalan untuk membantunya. Ini adalah nilai kemanusiaan yang wujud menjadi fitrah dalam diri manusia. Penulis kurang setuju dengan tuntutan mereka, kerana pada saat ini kita sedang menghadapi peperangan menentang Covid-19 yang mana kita sendiri berpaut di dahan yang tidak kita ketahui sekukuh manakah ia, bagaimana kita ingin menghulur tangan lain untuk membantu orang lain bersama berpaut meletak beban di dahan yang diragui itu.

Namun, ini bukan bermaksud kita boleh mencerca dan menghina mereka. Perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan nilai agama, malah tidak selari dengan nilai orang Melayu yang sangat dekat dengan budaya sopan, santun dan berbudi. Hentikan bicara rasis dikala waktu sebegini. Kita berada di dalam bulan suci. Bulan yang mulia. Dunia juga menghadapi masalah yang sama di waktu ini.

Kita harus mencari solusi untuk membantu manusia yang tidak terpenuhi kebajikan mereka. Bukan mengkeji dan menghina mereka. Itu sama sekali tidak memberikan apa-apa kesan yang konstruktif terhadap isu yang kita hadapi. Melainkan meletakkan diri kita dan mereka yang susah itu berada dalam lembah kecelaruan dan pertembungan negatif. Kita perlu desak pertubuhan dunia yang sering melaungkan kalimat-kalimat kemanusiaan. Kita perlu mendesak negara-negara Muslim yang lain supaya turut menanggung tanggunjawab kemanusiaan ini.

Hapuskan rasisme. Kita manusia serba silap. Ubah tingkah laku tidak kira di media sosial atau dalam perhubungan sosial di luar. Jauhkan diri dari nilai negatif rasis yang langsung tidak memberi apa-apa manfaat manusiawi.

Leave a Reply