Mengenai Kesatuan Mahasiswa – Ulasan terhadap bantahan-bantahan autonomi pelajar.

Penulis: Liew Liang Hong (Aktivis)
Penterjermah: Lim Seng Keat

 

Tersebut alkisah yang tidak munasabah pernah berlaku di kampus UM ini. Dalam satu acara semasa minggu orientasi, pelajar baru diminta untuk menuliskan cita-cita, visi masing-masing di atas sekeping kertas, dan kemudian diminta pula meletakkan kepingan kertas itu di dalam bulatan yang dilakarkan atas lantai. Fasilitator memberitahu para pelajar bahawa inilah namanya kebebasan akademik, setiap kebebasan mesti mempunyai batas (dilambangkan oleh lakaran bulat). Adakah semua ini topik baru? Jawabnya bukan, jika ditelitikan dari segi akademik. Sejak kurun ke-19, masyarakat Eropah telah mencapai persefahaman terhadap konsep kebebasan, iaitu “kebebasan dengan jaminan institusi”.

Hanya dengan sebuah kerajaan yang diterima oleh masyarakat umumnya, undang-undang yang melibatkan kebaikan umum baru dapat dipinda untuk menentukan norma dan batasan untuk masyarakat, supaya anggota-anggotanya mampu bergerak dengan bebas tanpa ancaman pihak lain. Akan tetapi, saya tidak berpendapat bahawa aktiviti minggu orientasi tersebut mencetuskan renungan minda pelajar baru terhadap makna kebebasan serta lingkupannya, sebaliknya ini seolah-olah mengurungkan minda pelajar dengan menegaskan tiada kebebasan mutlak dalam kampus.

Sesungguhnya, sebagai seorang dewasa yang matang, kami pasti tahu bahawa tiada kebebasan mutlak. Ini mudah dibuktikan apabila kami akan gagal menamatkan pengajian sekiranya tidak menghadiri sesi peperiksaan. Namun begitu, kampus universiti, yang merupakan ruang kesinambungan dan pengukuhan tamadun, bukankah sepatutnya memainkan peranan yang lebih progresif dalam mengaju persoalan dan penerokaan untuk mencari jawapan? Bukankah kami patut lebih berfikiran kritis dan berani untuk mengunjurkan pemikiran ke bidang yang belum pernah diterokai oleh orang-orang dahulu?

Ini adalah natijah AUKU sejak zaman pemerintahan BN, sehingga warga-warga universiti membantutkan diri, enggan maju ke depan sehingga terlupusnya semangat kebebasan akademik. Setelah mengalami penukaran tampuk pemerintahan buat kali kedua (di mana yang kali kedua ini sukar sekali untuk menentukan pengiktirafannya), samada usaha mantan tampuk pemerintahan PH untuk memansuhkan AUKU, dan pengembalian kuasa autonomi pelajar oleh kerajaan kini akan dilanjutkan masih menjadi persoalan yang besar. Dalam proses ini, penubuhan semula Kesatuan Mahasiswa (Student Union) untuk pentadbiran bersama dengan pihak Universiti adalah usaha yang amat penting.

Saya berpendapat bahawa seandainya kerajaan baru ingin membatalkan usaha reformasi ini, mereka akan berusaha menularkan naratif yang kurang berasas untuk menangkis fahaman progresif di kalangan pelajar yang dianggap oleh kerajaan sebagai satu ugutan. Demi mempertahankan autonomi kampus dan semangat pengendalian diri oleh pelajar, saya menampakkan kewajaran untuk menekankan pendirian kami kepada kalangan umum, sebelum kerajaan baru ini membuat keputusan untuk meneruskan usaha reformasi kampus atau tidak. Penekanan pendirian juga diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang juga inginkan reformasi kampus dan pemulihan kuasa autonomi mahasiswa.

Lazimnya, terdapat empat alasan utama untuk membantah autonomi mahasiswa, di mana saya akan memberikan penerangan serba sedikit setiap bantahan ini sebelum mengulaskannya.

Bantahan pertama – Pelajar tidak berkemampuan untuk mengendalikan kampus.

Alasan ini membawa ciri-ciri fahaman paternalisme, yang menganggapkan pelajar tidak bersesuaian untuk mengendalikan urusan kampus, sedangkan pelajar adalah pihak yang patut dibimbing dan dikendali. Pelajar sebagai pihak yang diasuh sepanjang tempoh pengajiannya, juga tidak mempunyai dana dan masa yang mencukupi untuk pengurusan kampus. Oleh demikian, pentadbiran kampus seharusnya diserahkan kepada kalangan yang profesional.

Ulasan:

1. Adalah mudah untuk menolak bantahan ini, tetapi kita perlu bermula dengan sedikit penerangan konsep terdahulu. Dakwaan bahawa mahasiswa tidak berkemampuan mengendalikan kampus, adalah kelaziman tetapi hanya untuk sementara, yakni mahasiswa yang masih kurang pengalaman dan pengetahuannya, akan mengatasi kekurangannya menerusi pembelajaran.

2. Pelajar sememangnya berpotensi untuk mentadbir. Jika diperhatikan, sesetengah pertubuhan pelajar sudah mampu mengelolakan aktiviti besar yang melibatkan jumlah peruntukan yang mencecah 6-angka. Sementara itu, tedapat juga pertubuhan pelajar yang sudah berpengalaman dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan pertubuhan awam yang lain.

3. Pemberian latihan dalam kerja adalah satu amalan biasa dalam dunia industri. Latihan dalam kerja menyediakan pelajar untuk memantapkan kuasa pengendalian mereka sambil menguasai selok-belok dalam tugasannya. Mengapakah peluang ini pula dinafikan dengan alasan bahawa pelajar tidak berpengalaman dalam perihal pentadbiran kampus?

4. Alasan bahawa dana dan masa yang tidak mencukupi juga tidak berasas, kerana ini bergantung kepada penyelarasan antara pihak pelajar dan pihak universiti. Jika alasan ini kukuh, maka harusnya dibatalkan segala kegiatan ko-kurikulum. Namun pada hakikatnya ini tidak berlaku, kerana pelajar mampu mengendalikan masa sendiri dan diberikan amanah untuk mengumpulkan dana daripada pihak universiti ataupun pihak luar. Di sesetengah universiti yang maju, tugasan buat Kesatuan Mahasiswa amat memberatkan, malah pelajar boleh diupah untuk pengendalian sepenuh masa dengan syarat penangguhan pengajian selama setahun.

5. Tidak dapat dinafikan bahawa pengalaman pelajar masih mentah dalam banyak bidang kerja yang biasanya diuruskan golongan professional, umpamanya kewangan, perundangan, pemasaran mahupun akademik. Namun begitu, cadangan kami adalah untuk mewujudkan bentuk pengendalian bersama dengan pihak universiti. Maksudnya, pelajar diberi peluang untuk menyertai sesetengah bidang pentadbiran kampus dan bukannya mengambil alih secara keseluruhan. Pada dasarnya, suara pelajar harus hadir semasa keputusan pentadbiran dibuat, dan bukannya dimonopoli hanya oleh pihak-pihak tertentu.

6. Kita biasa mendengar orang mempertikaikan kemampuan pelajar, tetapi jarang kita merenungkan kepentingan autonomi kampus. Selain daripada fungsi pengantaran ilmu, universiti juga patut berfungsi sebagai ruang pemupukan individu yang berdikari, rasional dan bertanggungjawab. Ini sepatutnya menjadi harapan masyarakat terhadap fungsi universiti. Usaha untuk melahirkan warganegara yang berdikari dan berkewajipan harus bermula dari ruang kampus. Sekiranya fungsi universiti hanya sekadar menyampaikan pengetahuan, maka ia hanyalah badan membekalkan kuasa buruh untuk syarikat dan industri, dan ini tidak memadai untuk dilihat sebagai menara gading.

Persoalan atas kemampuan pelajar dipengaruhi oleh salah faham tidak berasas, dan ia kurang diterima oleh kebanyakan orang. Manakala untuk bantahan yang berikutan, ia masih kuat disokong.

 

Bantahan kedua – Ketidaksesuaian bagi autonomi pelajar buat masa ini

Pandangan ini masih senada dengan bantahan pertama yang tersebut di atas, di mana ia masih cenderung mempersoalkan kemampuan pelajar. Walaupun alasan ini tidak menafikan potensi pelajar, tetapi ia menegaskan pemberian hak mentadbir bersama terpaksa ditangguhkan sahingga masa yang bersesuaian. Dalil mereka adalah rasional politik pelajar kita masih kurang matang, dan seterusnya kuranglah juga daya pentadbiran dan ketidakmampuan memahami kewajipan yang perlu dipikul. Pada masa yang sama, pihak universiti masih belum bersedia untuk mentadbir bersama dengan pelajar.

Ulasan

1. Masalah utama dengan alasan ini, adalah ia mengakui kewujudan dua situasi antara matang dan kurang matang, tetapi ia mengabaikan kewujudan tempoh peralihan. Ia masih mengabaikan kemampuan pelajar untuk menimba pengalaman dalam tempoh peralihan ini.

2. Bantahan ini boleh diatasi dengan mengaplikasikan konsep “tempoh percubaan”, seperti yang diamalkan dalam dunia korporat. Setiap orang baru diberi masa untuk menerima latihan dalam menangani tugasan harian. Begitu juga dengan pihak universiti, pengagihan semula kuasa pentadbiran boleh dilaksanakan beransuran, dan bukan semestinya secara mendadak.

3. Yang jadi masalahnya, konsep tadbir bersama dengan pelajar tidak pernah terlintas di fikiran pentadbir universiti kita. Walaupun ada keinginan untuk memberikan tempoh percubaan, pihak university kami masih belum bersedia.

4. Sebagai permulaan, saya mencadangkan HEP memperuntukkan satu ruang sudut di kampus untuk dikendalikan sepenuhnya oleh Kesatuan Mahasiswa sebagai pusat urusan antara kesatuan dengan pertubuhan pelajar. Pada masa yang sama, perancangan ditetapkan untuk Kesatuan Mahasiswa memiliki satu bangunan sebagai pusat pelajar yang memudahkan pengendalian pada masa kelak.

5. Sementara buat pihak pelajar, saya yakin mentaliti pelajar akan berubah setelah diserahkan mandat dan kewajipan. Selain dari itu, pengalaman pentadbiran Kesatuan Mahasiswa juga perlu diturunkan dari generasi ke generasi, dengan itu hanyalah kematangan pelajar dapat dijamin. Namun, itu hanya dapat direalisasikan dengan adanya autonomi pelajar.

 

Bantahan ketiga – Kekhuatiran terhadap Kesatuan Mahasiswa mungkin diperalatkan oleh agenda politik

Pandangan ini berkaitan rapat dengan struktur pilihanraya kampus. Jika menelitikan pemetaan politik kampus, setiap parti politik tengah bergiat mendorongkan penyokong masing-masing untuk membentuk pertubuhan pelajar, supaya menjadi agen parti politik dalam kampus. Sebelum tumbangnya BN, pertubuhan pelajar pro-establishment ditaja oleh BN untuk memenangi kempen pilihanraya kampus. Kemenangan ini digunakan oleh BN dalam publisitinya yang mempamerkan rejim BN masih diterima di kalangan pelajar. Bagi pihak yang berkhuatir, mereka menganggapkan sekiranya autonomi pelajar diberikan, maka kampus akan ditunggang oleh agenda parti politik, dan akhirnya kehilangan kesederhanaan dalam pendirian politik.

Ulasan:

1. Pihak pentadbiran sememangnya tidak boleh berat sebelah disebabkan pendirian politik, misalnya, kehadiran dan kerjasama VC UM Abdul Rahim dalam pengelolaan Himpunan Martabat Melayu yang berbaur perkauman perlu dipertikaikan. Pihak tertinggi universiti harus memastikan tiadanya penyelewengan pentadbiran akibat pegangan politik tertentu.

2. Kesatuan Mahasiswa yang diundi pelajar, seumpama kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya umum, penerimaanya hanya dapat diraih melalui kegiatan politik. Kesatuan Mahasiswa dalam urusan pentadbiran kampus seharusnya melangkaui politik parti, supaya dapat bertindak dengan saksama untuk semua pihak pelajar. MPP juga harus memelihara kedaulatan tersendiri dengan menghindarkan diri daripada diperalatkan parti politik. Akan tetapi, ini tidak bermaksud ahli Kesatuan Mahasiswa tidak boleh mengambil bahagian dalam kegiatan politik atau berpegangan ideologi politik tertentu.

3. Banyak orang banyak ragam, sesungguhnya ini lumrah dunia. Fahaman demokrasi yang menolak kewibawaan mutlak dan elitism telah mendorong dan mencetuskan usaha pemulihan autonomi Kesatuan Mahasiswa. Maka dengan itu, suara feminisme yang mempertahankan hak kaum wanita mesti didengar. Seruan untuk memberi prihatin kepada golongan miskin, dan memastikan kesamarataan pengagihan sumber dari pendokong sosialisme juga dipertimbangkan. Penegasan tentang kesamarataan antara kaum oleh penyokong fahaman budaya majmuk (multikulturisme) dan liberalisme klasik juga diberi tempat. Samada dari dulu atau pada masa yang akan datang, Kesatuan Mahasiswa sepatutnya dipenuhi dengan kepelbagaian nada seruan dan perbahasan politik sesama pegangan yang berbeza ini mesti diizinkan sebelum persefahaman tercapai. Kesatuan Mahasiswa hanya akan bergerak maju atas hasil daripada ketegangan ini.

4. Yang menjadi punca masalah sebenar, adalah mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diterajui barisan pro-establishment rela menggadaikan kepentingan MPP sehingga sanggup diperalatkan parti politik. Ini menyebabkan kehilangan keyakinan pelajar memandangkan MPP yang sememangnya tiada kuasa autonomi tidak boleh diharap. Kita harus berusaha untuk menubuhkan Kesatuan Mahasiswa yang bebas daripada kongkongan sebarang parti politik, dan bukannya menentang autonomi pelajar atas kekhuatiran bahawa pelajar akan dimanipulasikan semata-mata.

5. Untuk menghindari campurtangan pengaruh politik dalam pentadbiran universiti, yang pentingnya kita perlu mewujudkan institusi yang kukuh, dengan pindaan akta-akta yang berkaitan dengan universiti, seperti mana yang telah diketengahkan oleh Dr.Wan Chang-Da dalam artikelnya “The History of University Autonomy in Malaysia”, tentang empat bidang yang memerlukan kuasa autonomi, temasuk (i) kuasa perlantikan, (ii) pengambilan pelajar dan penentuan sukatan pelajaran, (iii) pengimbangan antara pengajaran dan penyelidikan, dan (iv) penggajian dan perlantikan staf.

Bantahan keempat – Demokrasi tidak menjaminkan pentadbiran yang baik

Alasan ini memang lazim didengar, mudah diterima dan sukar pula dibalas. Ia menunjukkan pada asasnya sistem demokrasi gagal menjaminkan orang yang berkelayakan pasti dilantik untuk memegang jawatan penting, dan sebaliknya orang yang kurang sesuai akan dipilih dan seterusnya mendatangkan akibat buruk.

Pemegang pendirian ini berpendapat bahawa, universiti sebagai institusi penerokaan ilmiah tidak sepatutnya dibinasakan oleh orang luar yang kurang berpengalaman. Apabila pelajar yang belum memahami konsep autonomi kampus, juga kurang berpengalaman, jika dibiarkan berkongsi mentadbir, maka akan tercemar reputasi universiti dan kebajikan pelajar -pelajar yang lain. Oleh demikian, pentadbiran universiti tidak wajar ditentukan secara demokrasi.

Ulasan:

1. Di sini, saya akan mempertahankan pendirian saya bahawa demokrasi berkait rapat dengan pentadbiran teratur, walaupun nampaknya tidak kena-mengena pada permukaannya, tetapi ia adalah naratif yang penting untuk sistem demokrasi.

2. Politik berdemokrasi memang bukan sistem yang menjaminkan bahawa akan terpilihnya orang yang berkaliber sebagai pentadbir, tetapi ia merupakan unsur yang terpenting bagi pentadbiran teratur. Pentadbiran teratur perlu mengambil kira penerimaan pihak ketiga. Pentadbir mesti diiktiraf sepenuhnya, maka barulah ada kemungkinan untuk mewujudkan pengendalian bermutu.

3. Terdapat juga pihak yang berkecenderungan elitism berpendapat bahawa hanya ahli profesional layak dilantik oleh kerajaan untuk mentadbir universiti (misalnya VC dan TNC). Dan, dari pihak pentadbiran tertinggi, terlantiknya pula orang yang berkelayakan untuk jawatan-jawatan birokrat yang lain seperti dekan atau ketua jabatan. Maka dengan itu, mutu pentadbiran dan masa depan universiti akan terjamin dan diterima oleh komuniti universiti.

4. Akan tetapi, realiti sering mencerminkan situasi yang sebaliknya. Kami mendapati banyak contoh keputusan yang diambil bercanggah dengan kehendak komuniti dan kebajikan university, misalnya penggabungan UMT-UnisSZA, penukaran nama Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan kepada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UMS, perlantikan Lembaga Pengarah UiTM yang bertentangan dengan kehendak alumni, pengelolaan Himpunan Martabat Melayu serta penyampaian ucapan berbau perkauman oleh VC UM. Jelas sekali, kesemua keputusan pentadbiran yang dibuat oleh elit yang dilantik kerap bercanggah dengan kehendak anggota kampus.

5. Pegawai lantikan politik cenderung untuk menumpukan kuasa, justeru itu mudahlah wujudnya masalah nepotisme dan kroni, dan menghakis ketelusan pentadbiran. Perangai birokrasi memang tidak akan diterima oleh pelajar mahupun staf warga pendidik. Bila ditolak, maka tiadalah pengiktirafan. Pegawai lantikan politik hanya akan bertanggungjawab kepada parti politik pemerintahan, dan bukannya bertanggungjawab kepada kepentingan warga kampus.

6. Mungkin pendokong elitism akan menyangkal bahawa elit tidak mudah terpilih dalam sistem demokrasi. Andaikan terpilih, beliau juga akan digagalkan oleh amalan birokrasi. Oleh demikian, sistem meritokrasi patut lebih diberi penekanan dan bukannya prinsip demokrasi.

7. Saya juga bersetuju dengan prinsip meritokrasi dalam perihal perlantikan, tetapi prinsip demokrasi mesti didahulukan berbanding dengan piawai meritokrasi. Yang lebih penting, semangat demokrasi perlu diterapkan dalam sistem universiti, iaitu perwakilan, akauntabiliti, penyeliaan dan kesaksamaan. Dengan itu, barulah hak dan kebajikan setiap warga kampus dapat terjamin. Meritokrasi mungkin akan mendatangkan kelancaran, tetapi ia masih bukan pentadbiran teratur, kerana ia masih boleh dipersoalkan kemungkinan pentadbirnya hanya menumpu perhatian atas kepentingan segelintir minoriti. Yang terpenting, meritokrasi tidak menepati tujuan penubuhan universiti sebagai pemupuk warganegara yang berdikari.

8. Disebabkan sistem lama yang tidak demokrasi, pelajar tidak diberi kuasa mentadbir, malah dikongkong oleh pihak univerisiti. MPP tidak mencerminkan kehendak pihak pelajar, lebih-lebih lagi diperalatkan oleh pihak pemerintah supaya cuba mengaburi penglihatan. Kita perlu ingat bahawa dalam sistem bukan demokrasi, orang yang berkemampuan, walaupun bersekongkol, juga akan dikorbankan demi menjaga kepentingan rejim berkuasa mutlak.

9. Dalam sebuah universiti berdemokrasi, bukan setakat sahaja alumni, warga staf, pelajar mempunyai kuasa pemilihan pentadbir tertinggi, tetapi jaminan bagi semua anggota dalam penyertaan proses membuat keputusan pentadbiran. Ini barulah merupakan asas kukuh pengendalian bermutu.

 

Kesimpulan

Ulasan yang dibincangkan di sini masih ringkas dan hanya mampu membalas atas topik hangat sahaja. Saya berharap penulisan saya di sini akan memberi serba sedikit pencerahan kepada pembaca-pembaca kalian. Masih banyak ruang bicara tentang pemulihan kuasa Kesatuan Mahasiswa, dan tajuk saya untuk masa kelak akan termasuk (i) masalah lazim yang melanda, (ii) cadangan keseluruhan tentang reformasi Kesatuan Mahasiswa. Manakala untuk perbincangan di atas, saya melihatkannya sebagai pembuktian “Mengapa autonomi Kesatuan Mahasiswa harus dipulihkan”.

Leave a Reply