Fatin Roslan – Covid19; Sabar Dalam Dugaan

Sabar berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat adalah betah menahan penderitaan. Erti bersabar adalah mempunyai hati yang tenang dari segi fikiran dan perasaan. Penyabar adalah orang yang bersabar dalam menghadapi sesuatu cabaran.

Pada padangan penulis, sabar adalah satu sifat yang paling mulia dalam moral dan pendidikan sivik kerana sifat ini dapat melahirkan individu yang matang dalam semua situasi. Hal ini sangat dominan dalam mengawal persaan marah dan perasaan sedih untuk menghasilkan keadan yang harmoni dan positif.

Sifat sabar ini sangat berkait rapat dengan fenomena Covid-19 yang sedang melanda bumi pada sejak penghujung tahun 2019. Hal ini kerana untuk memastikan individu mempunyai intelektual yang jitu bagi bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 ini. Covid-19 adalah sejenis penyakit yang disebabkan pendemik virus corona yang berjangkit melalui sentuhan manusia.

Penyakit ini telah membunuh ribuan manusia sekelip mata sahaja hingga Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil inisiatif secara bersama dengan kerajaan dan beberapa agensi untuk mengadakan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) ini memberi impak yang sangat besar kepada emosi rakyat Malaysia yang masih bekerja dan belajar. Hal ini kerana ia telah membataskan proses pekerjaan dan pembelajaran dalam tempoh yang panjang. Hal ini juga menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang tersekat di tempat keberadaan mereka pada ketika itu.

Penulis amat bersimpati kepada rakyat Malaysia yang tidak dapat bersama-sama keluarga pada saat genting ini. Terutamanya, pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang rata-ratanya masih tinggal di rumah sewa dan kolej kediaman. Justeru, penulis menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah agar rakyat Malaysia terus kuat dan redha atas musibah yang diberikan.

Jangan pernah pudar semangat untuk terus mematuhi peraturan kerajaan kerana kerajaan juga sedang sedaya-upaya membantu kita dari pelbagai segi. Contohnya, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi Bantuan Pekej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada golangan B40, warga emas, serta rakyat yang masih bujang dan pelajar. Maka, rakyat Malaysia mestilah sabar dan terus bekerjasama untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Suka untuk penulis mengakhiri penulisan ini dengan memetik potongan ayat 153 dalam Surah Al Baqarah:

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.

Dan ayat yang ke 45-46:

Dan meminta pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.

FATIN ROSLAN,
Mahasiswi Universiti Malaysia Kelantan.

Leave a Reply