Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Tidak Bersetuju Sekiranya Penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dilakukan

 

Merujuk kepada kenyataan artikel Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 05 September 2019, bertajuk “Putrajaya may merge 2 Terengganu universities”, telah dinyatakan di dalam artikel tersebut mengenai hasrat Putrajaya (melalui Kementerian Pendidikan) mengenai penggabungan dua buah universiti di negeri Terengganu, iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

 

Perkara ini juga diperkatakan telah serius dibincangkan di peringkat pimpinan atasan kedua-dua buah universiti dan juga pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Mengambil maklum akan perkembangan terbaharu ini, kami sebagai suara rasmi mahasiswa dan mahasiswi mengambil serius mengenai perkhabaran isu penggabungan ini. Kami juga agak kecewa kerana sebagai badan pelajar tertinggi yang diiktiraf, mengapakah kami tidak disertakan sekali di dalam siri perbincangan mahupun terlibat sama di dalam penentuan keputusan?

 

Semestinya, mahasiswa dan mahasiswi merupakan tunjang belakang bagi sesebuah universiti dan pastinya kami juga ingin turut serta terlibat di dalam sebarang keputusan berimpak tinggi yang ingin dibuat.

 

Justeru, kami jugat amat tertanya-tanya dan agak hairan apabila “ratio decidendi” isu penggabungan ini ialah dikatakan sebagai salah satu langkah penjimatan kos yang tinggi. Persoalan pertama yang timbul di pihak kami ialah adakah benar bahawa penggabungan UMT dan UniSZA merupakan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menjimatkan kos yang dapat dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan?

 

Tujuan perkara ini disampaikan kepada umum bukanlah untuk terus mengadili keputusan ini, kerana tentunya ada banyak asbab sebelum perkara ini akan diputuskan. Beberapa persoalan utama yang bermain di benak fikir kami andai benar penggabungan ini direalisasikan adalah:

 

  • Adakah penggabungan ini hanya akan melibatkan penjenamaan semula nama universiti atau dipilih salah satu nama sahaja? Sekiranya dipilih hanya satu nama daripada nama-nama asal, maka keputusan ini akan menjadi tidak adil kepada salah satu pihak yang tidak dipilih namanya.
  • Dari segi apakah penggabungan ini yang ingin dimuktamadkan oleh pihak autoriti?
  • Memandangkan UMT dan UniSZA masing-masing mempunyai sistem yang berlainan, maka jika digabungkan bukankah akan memberi kesusahan kepada ramai pihak, seterusnya mengundang tanda tanya mengenai sistem universiti manakah yang akan digunapakai.
  • Apakah impak penggabungan ini kepada mahasiswa dan warga universiti secara keseluruhannya?

 

Kami yakin, banyak lagi persoalan yang mungkin timbul di mana kami sangat memerlukan pencerahan daripada pihak-pihak yang berwajib. Sebagai sebuah negara membangun, setiap universiti kami percaya perlu menjadi pusat penyelidikan yang memiliki kelebihan tersendiri berdasarkan bidang tujahan (niche area) serta aspirasi yang telah ditetapkan.

 

Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025, sistem pendidikan tinggi Malaysia telah berkembang pesat dan semakin kukuh sejak beberapa dekad lalu. Perkembangan ini termasuklah UMT dan UniSZA, di mana terdapat peningkatan pengiktirafan global dalam pelbagai aspek seperti penerbitan, hasil penyelidikan, paten dan kualiti institusi itu sendiri.

 

Untuk bergerak seiring dengan kehendak globalisasi, UMT dan UniSZA pastinya mempunyai strategi yang unik dan tersendiri untuk mencapai visi dan misi mengikut aspirasi masing-masing. Sekarang, kita berada di Fasa 2 di dalam PPPM iaitu memacu penambahbaikan sistem. Justeru, adakah penggabungan UMT dan UniSZA turut dikira sebagai salah satu “penambahbaikan sistem” di dalam reformasi pendidikan tinggi negara?

 

Pada pandangan saudara Mohamad Zulkarnain selaku Exco Akademik, UMT seharusnya diberikan peluang untuk terus mempertingkatkan pengurusan prestasi universiti melalui komitmen yang berterusan dan berfokus seterusnya dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meneruskan kecemerlangan dan kekuatan yang telah terbina sejak tahun 1970-an lagi.

 

Beliau juga yakin bahawa UMT sebagai sebuah universiti komprehensif berfokus, bidang tujahan yang bertumpukan sains kelautan dan sumber akuatik tidak pernah lari daripada perancangan jangka masa panjang UMT. UMT juga telah berjaya melahirkan ramai pakar-pakar di dalam bidang ini yang semestinya menjadi aset bernilai di dalam dunia penyelidikan dan perkhidmatan maritim negara kita. Jadi, bagaimana dengan agenda “Malaysia sebagai sebuah negara maritim (Malaysia as a maritime nation)” dapat dicapai dan dibentuk sekiranya penggabungan ini bakal menjejaskan sistem dan bidang tujahan yang telah sekian lama diaspirasikan?

 

Kami juga yakin bahawa UMT dan UniSZA masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri. Kami gusar sekiranya disatukan, adakah kekuatan tersendiri yang dibina itu dapat dikekalkan momentumnya, atau perlu dimulakan semula? Sekiranya benar, maka sudah pastinya segala usaha selama ini yang dibentuk bakal terjejas.

 

Oleh itu, kami di pihak MPP UMT menuntut beberapa perkara kepada pihak Kementerian Pendidikan mahupun pihak pengurusan universiti yang terlibat iaitu:

 

  • melakukan kaji selidik kepada warga universiti untuk mencari apakah jalan terbaik bagi mengatasi masalah utama yang terjadi. Tentunya, kepakaran yang ada dari kedua-dua buah universiti dapat memberikan buah fikiran mahupun idea yang bernas,
  • mengadakan sesi perbincangan bersepadu di antara pihak Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Majlis Perwakilan Pelajar UnisZA, Naib Canselor UMT, Naib Canselor UniSZA dan Menteri Pendidikan Malaysia mengenai pelan, hasrat mahupun rancangan jangka masa panjang buat warga pelajar, dan
  • menganjurkan sesi dialog atau “townhall” bersama pemegang taruh yang terbesar iaitu mahasiswa dan mahasiswi sendiri sebelum memuktamadkan apa-apa keputusan. Kami percaya bahawa setiap daripada mahasiswa dan mahasiswi yang bakal terkesan perlu mengetahui apakah kebenaran dan rancangan jangka masa panjang daripada pihak Kementerian dan universiti.

 

Semestinya, kami inginkan yang terbaik buat kedua-dua buah universiti. Berbekalkan semangat pemberdayaan mahasiwa (student empowerment) yang dihasratkan Kementerian, kami sangat berharap bahawa tuntutan-tuntutan di atas dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin agar dapat menjawab persoalan-persoalan yang timbul sekaligus menjelaskan situasi terkini mengenai penggabungan universiti pantai timur yang dicadangkan.

 

Disediakan oleh:

Mohamad Zulkarnain Bin Mohd Dali

Exco Akademik

 

Mohammad Zulhafizuddin Bin Zulkifli

Exco Penerangan & Perhubungan Awam

Leave a Reply