Sial Sang Anti-sosial

Oleh: Ammar Azman

Retweet. Favourite. Like. Share. Post. Forward. Blocked. Unfollow. Unfriend. Mute.

Kau kenal dengan semua terma ni, kenal. Terma-terma yang membelenggu kepala sehari-hari macam saka yang duduk atas bahu tuan dia sebelum tuan dia mati. Atau macam sekumpulan gagak yang mengerumuni dedak yang dilempar orang-orang di taman. Berebut-rebut.

Terma-terma ini telah mengganti zikir munajat 100 kali pada Tuhan, lalu bertepek melekat di setiap urat dalam otak merah jambu mushy. Paling tidak sehari, kau pasti memikirkan berapa banyak followers yang aku sudah ada.

1K? 1M?

Kemudian perlahan-lahan, terbit bisik-suara halus dalam diri.

 

“Kenapa dia ni boleh jadi famous ya?”­

“Status aku tak cukup baikkah untuk dapat 1000 likes?”

“Eh kalau jadi famous mesti boleh jadi kaya.”

“Aku pun nak buatlah posting murahan. Cepat sikit famous.”

 

Itu, itu yang miniature durjana ini telah lakukan pada manusia. Parasit yang halus dan licik. Tak perasan ya?

Sesaat saja semua ini dah membunuh buah-buah mulut yang sepatutnya berpokpekpokpek  saat duduk di meja makan.

tentang gosip-gosip tentang siapa sekarang yang menjadi kekasih artis yang sudah jadi janda anak 2 itu  —  tentang kerisauan  hidup yang pasti akan menjerut masa depan yang tiba-tiba melakur dengan ideologi falsafah entah mana datang — tentang dengan siapalah nanti akan menghabisi hidupnya hingga liang lahad yang tanpa teman itu — tentang nak makan apa ya esok sebab duit PTPTN dah nak habis sebab minggu lepas dan berjoli sakan — tentang sewa rumah yang sudah tertunggak 2 bulan tunggu masa saja ditendang tuan rumah —  semua tentang kehidupan; dengan hanya bermodalkan sebuah pertemuan dan nasi lemak ayam rempah air kosong.

“Kita nak gather ke nak main game ni setan?” teriak monolog bila dengan kawan-kawan.

“Kalau semua nak hadap fon, baik aku makan sorang.” teriak monolog bila dengan keluarga.

Semuanya akan dirindui kerana semuanya telah mati. Mati semua ini, mati.  10 tahun lagi, mungkin orang sudah tidak tahu caranya bagaimana mahu membuka mulut.

Bibir mereka kebas disimpulkan dengan dawai besi yang direntangkan daripada gajet di depan anak mata mereka. Lapis gegendang telinga makin lapar dengan suara-suara yang meluahkan.

Hanya otot jari mereka saja yang mampu bergerak mencalit-calit skrin telefon atas dan bawah, mencari keterujaan yang berterusan dalam eutopia yang tak pernah wujud.

Hilanglah skil berbasa-basi yang secara alaminya adalah antara skil biasa manusia untuk hidup. Skil buat kelakar (hambar bukan masalah), skil untuk memulakan komunikasi, skil nak mengayat dengan budiman bukannya sliding to DM macam budak zaman sekarang ni selalu buat. Semua skil murah ni akan jadi mahal 10 tahun lagi. Mungkin boleh dibuat kelas tuisyen nanti.

Mana ada dah istilah benar-benar hidup. Mana perginya? Sudah tidak ada keaslian hidup. Semuanya palsu. Fake.

Kegembiraan yang ditonjolkan dalam reaksi wajah manusia paling gembira dalam laman sosial yang mengumpulkan beribu-ribu ‘suka’ sehinggakan penggunanya ketagihan menjadi pencandu like. Dia nak tunjuk dia lah manusia paling hidup. Dia paling berguna dan berfungsi.

Sampaikan dia terpaksa lupakan orang-orang di sekelilingnya. Dia memilih untuk menjadi amnesia ataupun menjadi skizo; bukan hidup dengan rakan-rakan imaginasi, namun hidup dengan rakan-rakan internetnya.

Kemanusiaan. Perlahan-lahan cuba kau ceraikan perkataan kemanusiaan ini. Sebut bersama aku.

Ke – ma – nu – sia – an

Ke – ma – nu – sia – an

Ke – ma – nu – sia – an

Sebut 10 kali sampai kau rasa perkataan ni hilang makna. Waktu ini kau akan tenggelam dalam lautan semantic satiation. Tapi ini bukan, semantic satiation. Ini semua real.

Kau tak rasa ‘manusia’ makin hilang makna?

Leave a Reply