Undi 18: Umur dan kesedaran perlu berjalan seiring

 

Tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang perbahasan usul penurunan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Sebagaimana yang kita tahu, Undi18 ini merupakan inspirasi daripada Kerajaan Persekutuan untuk melakukan reformasi di dalam pilihan raya selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan di bawah janji yang ke 17. Usul ini telah pun di bawa ke peringkat kabinet menerusi Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq dan dipersetujui oleh keseluruhan kabinet Menteri.

 

Jika bercerita soal reformasi pilihanraya, pada hemat saya kerajaan telah memberikan satu inisiatif yang baik kepada negara kerana memberikan ruang yang sangat besar untuk anak muda untuk memilih pemimpin mereka pada pilihanraya akan datang. Melihat kepada respon daripada orang awam termasuklah parti kerajaan dan pembangkang, majoriti daripada mereka bersetuju dengan usaha ini akan tetapi persoalan terbesar di sini sejauh manakah inisiatif kerajaan dalam memberikan pendedahan kepada anak muda tentang pendidikan politik di negara kita ?

 

Undi dan kematangan

Melihat kepada pendapat  daripada orang awam yang menyokong penurunan umur mengundi ini, Mereka banyak mengaitkan soal kelayakan anak muda dalam menerima lesen kereta seawal umur 16 tahun dan berkahwin pada umur 18 tahun. Pada awalnya saya cuba memahami apakah mesej di sebalik justifikasi tersebut. Malang sekali, saya tidak nampak kaitan bahkan wujud falasi pada kenyataan sebegini.

 

Apabila bercerita soal perkahwinan dan menerima lesen kereta, perkara ini saya rasa kurang signifikan dan penting untuk dibandingkan dengan soal mengundi. Mengundi ini merupakan medium yang menentukan masa depan negara. Isu penurunan undi ini tidak sesuai dibandingkan dengan perkara kecil seperti mengambil lesen mahupun berkahwin yang berlegar dalam ruang yang kecil sahaja dalam kehidupan.

 

Di dalam buku The Republic garapan Plato, beliau ada mengetengahkan pendapat Socrates tentang soal memilih pemimpin di dalam konteks demokrasi. Menurut Socrates, mereka yang memahami isu semasa secara rasional dan politik  layak mengundi. Jika kita membiarkan masyarakat awam mengundi tanpa memikirkan nilai yang disebutkan tadi maka demokrasi akan menjadi demagogue satu istilah dimana pemimpin dipilih berdasarkan populariti dan kejahilan orang awam akan diekploitasi oleh ahli politik.

Oleh itu, dalam isu penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, umur hanyalah suatu perkara yang boleh diperdebatkan tanpa noktah. Apa yang perlu kerajaan tekankan adalah soal kesedaran dan pendidikan. Apa maknanya kerajaan menurunkan umur mengundi andai 14 Juta yang sudah mendaftar sebagai pengundi ini tidak diberikan pendidikan politik sewajarnya ?

 

Nilai Pendidikan dan Kesedaran dalam mengundi

Berdasarkan kajian dan pemerhatian daripada Al Jazeera, kita akan dapati 171 negara telah meletakkan had minimum mereka kepada 18 tahun kebawah manakala 8 negara lagi meletakkan had 19 tahun ke atas termasuklah Malaysia. Tambahan pula, Malaysia dan 4 negara yang lain masih mengehadkan umur pengundi kepada 21 tahun.

Dalam kita melihat kajian ini, pasti kita merasakan bahawa Malaysia sudah terkebelakang kerana masih mengekalkan had umur yang tinggi berbanding negara maju yang lain. Kita akan merasakan belia kita terlalu lewat diberi pendedahan tentang mengundi. Disini saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa isu umur bukanlah faktor besar yang akan beri pengaruh kepada pengundian. Perkara yang perlu diberi keutamaan adalah soal kesedaran dan pendidikan politik itu sendiri.

Kita lihat di Amerika Syarikat di mana minima umur yang boleh mengundi ialah 18 tahun. Pada tahun 2016 di dalam pilihanraya Datuk Bandar (Mayoral Election) 50 bandar didapati bahawa median umur pengundi di situ adalah 57 tahun dan hanya 16 peratus sahaja bilangan anak muda berusia 18 – 25 tahun yang keluar mengundi pada pilihanraya Datuk Bandar tersebut. Kajian ini dikeluarkan oleh Center for Public Service at Portland State University’s Hatfield School of Government. Dalam pada itu, merujuk kepada laporan daripada Youth Service America antara sebab utama anak muda di Amerika Syarikat tidak mengundi adalah kerana tidak diberi pendedahan tentang pendidikan politik dan kenegaraan. 57% bersetuju tentang itu.

Jadi apa yang kita oleh belajar daripada penemuan ini ? Kerajaan persekutuan seharusnya lebih proaktif dan agresif dalam memberi pendidikan dan kesedaran dahulu tentang politik dan kenegaraan di peringkat akar umbi. Kita masih belum mendengar Kementerian Belia dan Sukan turun ke sekolah seluruh Malaysia memberi pendedahan awal tentang cadangan ini, malah cadangan yang bakal diwujudkan ini hanya berlegar legar di peringkat parti politik  dan bukannya pelajar sekolah. Untuk perancangan jangka masa pendek ini Kementerian Belia dan Sukan perlu mencari solusi dan inisiatif juga untuk mendedahkan cadangan ini kepada pelajar sekolah menengah yang bakal menjadi pengundi dalam tempoh 3 tahun lagi.

 

Di samping itu, bagi jangka masa panjang Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memainkan peranan dalam menerapkan pendidikan politik kepada pelajar sekolah supaya di peringkat awal lagi mereka telah diberi pendedahan tentang pilihanraya dan pengundian. Saya menyokong usaha murni Kementerian Belia dan Sukan ini namun perlu diseiringkan dengan pendidikan dan kesedaran. Umur hanyalah angka yang boleh diperdebatkan. Kesedaran itu merupakan teras kepada perubahan sesebuah negara. Jangan kerana teruja ingin melakukan perubahan, akar umbi kita lupakan.

 

Muhammad Amin Mubarak

Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional

Leave a Reply