Menggesa Presiden Majlis Belia Negeri Johor Meletak Jawatan

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya. Syed Saddiq ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, berkata pindaan pada akta berkenaan mampu memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di Malaysia.

Berikut merupakan petikan berita dalam akhbar Berita Harian bertarikh 3 Julai 2019. Susulan pengumuman ini menimbulkan banyak kontroversi dari pelbagai pihak. Majlis Belia membantah berkaitan had pindaan umur belia kerana Menteri itu gagal mendapatkan persetujuan MBM terkebih dahulu. Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia menegaskan bahawa mereka adalah parti yang terjejas dek kerana mereka adalah pihak yang terkesan secara langsung dengan pindaan berkenaan. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari pula menyatakan ia akan menyebabkan ‘ruang vakum’ yang menyaksikan persatuan belia mati daripada digerakkan.

Adakah benar sekiranya had umur belia ini diturunkan akan melumpuhkan segala pergerakan pertubuhan belia yang ada di negara ini? Mari kita telusuri dan menghakimi semula kewajarannya. Ada beberapa sebab yang kukuh kenapa usul penurunan had umur ini perlu disokong.

1. Kalau dinilai dari mata dunia sendiri, had umur belia ini sebenarnya telah digariskan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. Belia didefinisikan sebagai orang berumur antara 15 hingga 24 tahun berdasarkan julat rakyat negara di bawah PBB. Di negara United Kingdom, Rangka Kerja Polisi Belia meletakkan umur belia ialah 13 hingga 19 tahun. Umur belia di Amerika Syarikat ialah 18 hingga 24 tahun. Di rantau kita pula, Akta Pembangunan Belia di Thailand menggariskan umur belia di sana ialah 18 hingga 25 tahun manakala di Indonesia pula, Youth Law of Indonesia mentakrifkan bahawa umur belia ialah 16 hingga 30 tahun. Rata-rata negara dunia menggariskan had umur belia mereka di bawah 30 tahun kerana umur ini dianggap bersesuaian dengan jarak masa dalam perjalanan hidup belia dengan mengambil kira pengalaman dan kematangan dalam membuat keputusan serta keterlibatannya dalam masyarakat.

2. Kalau dilihat dalam norma masyarakat Malaysia sendiri, kita perlu sedikit mengkaji dan melihat corak perubahan dalam arus keterlibatan belia dalam pergerakan belia di negara ini. Anda sendiri boleh melihat bagaimana rakyat Malaysia khususnya belia semakin terdorong dan terkehadapan dalam turut sama membina masa hadapan negara. Jabatan Perangkaan Negara mencatatkan jumlah penduduk warganegara Malaysia pada tahun 2018 ialah 32 385 000 dan 13.88 juta adalah belia. Makna kata jumlah peratusan belia dalam negara adalah hampir kepada 46 peratus. Dalam jumlah yang sebegini banyak, anda boleh melihat bagaimana golongan belia berisiko, belia bekerja, belia mahasiswa dan belia B40 masing-masing memperjuangkan hak mereka dalam membina sebuah negara yang lebih terkehadapan buat masa depan mereka. Tidak kurang pula peningkatan dalam keahlian Persatuan Belia seperti Majlis Belia Kebangsaan dan Belia Negeri daripada belia berumur 25 tahun. Ini merupakan titik mula dalam menilai kewajaran mengapa had umur belia perlu diturunkan.

3. Fenomena Tsunami PRU yang menyaksikan peralihan kerajaan adalah salah satu tanda bahawa anak muda punya kuasa yang besar dalam menentukan arus perubahan sesuatu tindakan yang dikirakan perlu dalam mengubah apa jua keadaan demi kepentingan mereka. Kejayaan anak muda dalam menjadi pemimpin baharu seperti Menteri muda, Exco Negeri mahupun penglibatan secara terbuka di dalam politik oleh mahasiswa yang mampu berdiri sama tinggi dengan “pemimpin emas” yang lain diletakkan sebagai kayu aras baru dalam revolusi pergerakan anak muda dalam menentukan masa depan belia. Belia tidak lagi perlu diberi tongkat mahupun dipayungi oleh orang lama tatkala mereka sudah mampu berlari. Biarkan mereka terus melompat jauh mencorakkan garis penamat yang baru jauh ke hadapan. Lihatlah bagaimana perubahan yang berlaku di 53 negara dunia yang menjalankan pemerkasaan belia selama 40 tahun dalam Commonwealth Youth Programme. Menggalakkan penyertaan belia dalam proses pembangunan dan di setiap peringkat membuat keputusan serta meningkatkan profesionalisme dalam kerja belia. Hasilnya, tiga negara Scandanavia mencatakan tiga kedudukan teratas dalam Youth Progress Index (YPI) iaitu Norway (88.94 skor YPI), Finland (88.59 skor YPI)) dan diikuti Denmark (88.54 skor YPI). Malaysia duduk di tangga 52 dengan skor 66.37.

Di hujungnya, inilah tiga perkara yang dikirakan wajar untuk kita membuat pertimbangan yang lebih jelas dalam isu menurunkan had umur belia. Oh ya, berkenaan dengan tajuk di atas, isu ini akan memberi kesan langsung kepada pemimpin-pemimpin persatuan belia sedia ada kerana rata ratanya di dalam kelompok 30-40 tahun. Maka, mereka perlu mengambil satu langkah ke belakang dan memberi laluan kepada anak muda yang sudah tidak sabar menjejak tangga dihadapan mereka. Bukanlah iri atau dengki pada kelompok ini, namun belia berfikiran mereka ini sudah sedikit tepu. Terperangkap dalam zaman kegemilangan mereka yang disangkakan masih lagi hari semalam. Tatkala belia kini sedang bergelojak membawa kemajuan fikiran yang dihadirkan oleh kemajuan Revolusi Industri 4.0, benarkanlah mereka mencari ruang dan peluang. Jangan pernah tinggalkan mereka. Jangan pula merajuk tidak tentu. Jauh sekali dendam berahi. Percayalah dengan kemampuan dan kemahiran yang dimiliki oleh belia. Nescaya anda pasti berbangga.

 

Hafizuddin Hassan
Ahli Majlis Perundingan Belia 
Negeri Johor

Leave a Reply