Tentang Setem, Toleransi Perbezaan dan Masyarakat

Oleh Adhura Husna

 

Mutakhir ini, seringkali muncul perbezaan pendapat tentang agama dan kedudukannya dalam kalangan penduduk apabila melibatkan agama lain selain yang dianuti. Lalu, setiap kali itu juga akan ada pertelingkahan akan pengunaan aturan seperti kata-kata atau budaya yang dianggap telah tercatat sejak bermulanya alam.

 

Dasar-dasar pendapat sebegini terhasil daripada polemik politik populis yang mencanang bahawa Malaysia adalah negara Islam; hanya kerana tercatat dalam perlembagaan dan menjadi agama yang dianuti masyarakat majoriti, maka seharusnya seperti perlu menidakkan atau sekurang-kurangnya mengehadkan penampakan agama-agama lain. Hal ini timbul dalam isu lampau seperti peletakkan gambar gereja di setem, dan baru-baru ini dalam poster melawat Melaka.

 

Polemik-polemik sebegini biasanya tersebar begitu sahaja melalui akan-akan media sosial tanpa didasari sesuatu yang kukuh dari segi akademik mahupun intelektual, dan didasari hanya dengan sentimen dan perasaan atau kadangkala dilanjutkan dengan hujah-hujah membela agama yang tidak mempunyai validasi kukuh. Hal ini kerana, jika dilihat dalam tunjang Maqasid Syariah  atau objektif Syariah itu sendiri terdapat perlindungan hak-hak seseorang itu beragama, tanpa mengambil kira apa agama itu. Dan polemik-polemik seperti ini dapat ditafsirkan sebagai satu serangan terhadap golongan agama lain di negara ini.

 

Warta budaya peninggalan sejarah seperti wayang kulit, tarian mak yong, rumah-rumah ibadat mahupun tempat-tempat bekas penjajahan hendaklah dijaga, diberi penghormatan dan diwartakan (bagi yang belum) kerana hal ini bukan sahaja menjadi bukti peninggalan masa lampau tetapi juga menjadi identiti masyarakat dalam bentuk pelbagai yang harus diraikan.

 

Masa langka atau sejarah bukan hanya kekal sejarah tetapi boleh dilihat sebagai sesuatu untuk dipelajari (sama ada secara langsung atau tidak langsung), contohnya bagaimana pengajaran nilai-nilai murni disampaikan kepada segenap masyarakat melalui penceritaan dengan tarian atau wayang kulit.

 

Atau bagaimana di gereja-gereja terdapat jurubahasa bahasa isyarat, (malah ada koordinator rumah ibadatnya yang mampu belakukannya sendiri!), untuk melakukan penyampaian yang lebih baik dan difahami kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelainan-upayaan. Yang sebolehnya dilihat dahulu itu bukanlah identiti sesuatu atau seseorang, tetapi nilai-nilai yang terdapat didalamnya yang dapat kita ambil iktibar dan pelajari.

 

Jika mahu diberi contoh yang mudah, Malaysia adalah China yang mempunyai agama majoriti yang menidakkan pameran warta budaya keagamaan (atau tidak) selain daripada agama yang diakui kerajaan seperti rumah-rumah ibadat, peninggalan penjajahan dan sebagainya. Persoalannya sekarang, apakah bezanya kita dengan mereka yang menindas orang lain walhal kita semua, tanpa mengira agama, adalah makhluk kerdil ciptaan Tuhan?

 

Mengapa seharusnya fokus pada perkara-perkara yang akan memecahbelahkan dan seterusnya menyumbang kepada ketidakamanan atau keharmonian masyarakat? Mengapa bukan masalah-masalah dasar atau struktur yang dihadapi masyarakat saja; bagaimana merumuskan kemiskinan dari sudut pandang agama, atau sikap-sikap tidak bertoleransi yang membenih ekstremis-ekstremis masa kini? Bagaimana pula dengan kaum Muslimin (dan muslimat) yang semakin bersifat tidak prihatin terhadap ketidakadilan, terhadap kebodohan? Haruskah apabila kita melihat sesuatu atau seseorang itu, yang terbayang utamanya adalah perbezaan, dan bukan kesamaan?

 

Semakin lama dilihat bahawa semakin tenggelamnya kita dalam polemik yang memecahbelahkan, pada masa yang sama kita semakin jauh, malah mengabaikan masyarakat dan golongan yang seharusnya lebih perlukan pembelaan.

 

Maka, ke mana perginya keimanan seorang muslim jika yang terdapat di dalam dirinya hanyalah agama, kata-kata dan reaksi tanpa nilai-nilai dan jati diri sebagai umat Nabi?

Leave a Reply