CITA CITAMU PERLU DUA

‘’Cita citamu perlu dua’’

Itulah simpulku selepas duduk duduk dengan seorang senior, mahasiswi yang lebih berusia, mahasiswa yang lebih banyak pengalamannya.

‘’Kak Jiha’’

Itu panggilku padanya, walau asal namanya Najihah, sahabat sahabat seusia memanggilnya ‘’Ji’’, tetapi aku lebih selesa dengan ‘’Jiha’’, ‘’Kak Jiha’’.

Aku mula mengenali Kak Jiha apabila aku menyertai suatu program di universiti, program yang tercetus dek idea dari kelompok mahasiswa mahasiswi sendiri, ‘’Bakti Siswa’’, ringkasnya, ‘’Baksis’’, aku dan Kak Jiha di bawah biro yang sama, tetapi Kak Jiha ini istimewa, kerana dia sebenarnya adalah antara penggerak utama kepada program yang aku sertai itu, jadi sebetulnya bagiku, Kak Jiha ini perlu juga tahu hal hal biro biro lain, tetapi perhatian kerjanya adalah pada biro kami, RnD, ‘’Research and Development’’, ‘’Penyelidikan dan Pembangunan’’, itu biro kami.

Suatu hari, aku duduk duduk dengan Kak Jiha kerana perlu berbincang hal hal RnD, seusai perbincangan, Kak Jiha memintaku memberi nasihat,

‘’Umi, cuba awak bagi kata kata sikit kat akak, sebab akak suka baca status awak, rasa sampai je kat hati, jadi akak nak dengar sendiri kata kata tu dari awak, boleh ke?’’

‘’Eh, kenapa Kak Jiha, tiba tiba ni?’’

‘’Saja, tak boleh ke, cepat Umi cepat’’

Aku gelak, sungguh mungkin benar aku punya kemahiran dalam menulis kata, tetapi, aku mengaku, sukar untuk aku menyampaikan kata secara berhadapan, ‘’muka ke muka’’, aku lebih selesa menjadikan kertas dan pena sebagai wadahku menggambarkan rasa.

‘’Tapi, tak patut pula seorang junior bagi nasihat pada senior’’ alihku,

‘’Eh, mana ada, nasihat tu boleh kita ambil dari sesiapa saja’’ balas Kak Jiha,

Otakku ligat mencari idea, ‘’Nak sampaikan apa pada Kak Jiha ni’’ bisik hati,

Lalu aku memilih satu cerita, cerita perihal seorang ulama’ dan muridnya, bagaimana ulama’ itu membuktikan erti sebenar ‘’Bersungguh sunguuh sehinga benar benar kehabisan tenaga’’ pada muridnya, mungkin boleh jadi suatu nasihat berharga.

Kak Jiha tersenyum, ‘’Wah, betullah tu Umi, baguslah, kita jarang dengar kisah kisah macam ni, kisah kisah Nabi, kisah kisah Ulama’, ramai orang bila kita minta nasihat, diorang ceritakan pengalaman diorang, bagi Kak Jiha, semua orang punya pengalaman, semua orang boleh cerita kalau kita minta pengalaman, tapi cerita cerita macam ni, tak ramai orang boleh cerita’’

Aku diam, lalu aku meminta,

‘’Nak minta nasihat dari Kak Jiha pula’’

‘’Okey, bagi Kak Jiha, bila kita belajar di uni ni, jangan hanya belajar je, letakkan cita cita, kita nak capai apa sepanjang berada di uni ni, macam Kak Jiha, kenapa Kak Jiha usahakan Baksis ni, sebab Kak Jiha ada cita cita untuk masyarakat, Kak Jiha nak santuni orang orang tua, asnaf, kalau bukan kita yang nak santuni diorang siapa lagi kan, betul ada pihak yang santuni gelandangan, ada pihak yang santuni orang asli, tapi golongan asnaf macam ni, kita tidak mahu diorang juga tercicir,

Bagi Kak Jiha, kita perlu letakkan cita cita kita, cita cita lepas graduate nanti lain, contoh awak nak jadi apa, itu cita cita lepas graduate, tapi, sewaktu masih berada di uni ni, pastikan awak ada cita cita, dan awak sendiri yang akan tahu, adakah awak sudah mencapai cita cita itu atau belum, sebab kayu ukur pencapaian itu juga awak sendiri yang buat,

Contohnya ada orang dia nak mahir photoshoot sebelum graduate, benda tu bukan senang, nak mahir photoshoot,

Macam Kak Jiha, Kak Jiha ada cita cita Kak Jiha tersendiri sebenarnya untuk masyarakat sebelum Kak Jiha graduate,’’

Diam, aku  mula berfikir, benarlah kita perlu ada cita cita yang ingin dicapai sepanjang belajar di universiti, kerana kehidupan di universiti itu tidak boleh diulang kembali, sama sekali tidak.

Oh, aku lupa untuk menceritakan, bahawa Kak Jiha meminta nasihat dariku kerana dia sedang dalam keadaan yang benar benar memerlukan, kalian tahu, kesihatan Kak Jiha sepertinya terjejas sedikit kerana terlalu tenggelam dalam usahanya untuk menyantuni golongan asnaf, Baksis itu adalah program ramah mesra bersama orang orang asnaf di sebuah kampung yang terpilih, setelah program Baksis itu, ada satu lagi program, ‘’Lofest’’, juga penggerak utamanya adalah Kak Jiha, Kak Jiha menceritakan bahawa beberapa hari yang terdekat ini, dia sibuk dengan program program yang berterusan, semalam, semalam yang lalu, esok pula, ada sahaja program Kak Jiha, juga Kak Jiha mengatakan bahawa dia akan rasa kosong je, apabila sehari tidak punya meeting, ‘’Rasa macam, eh ni bukan life aku, habis kelas, balik bilik, takde meeting’’, kongsi Kak Jiha, mungkin itu sebabnya kesihatan Kak Jiha agak terjejas, aku seakan tidak percaya,‘’Wujudkah orang sebegini, berusaha sedemikian rupa, seingga kesihatan sendiri agak luka,’’

Lalu, Kak Jiha menunjukkan mesej mesej dari sahabat sahabatnya,

‘’Ji, kau tu kena rest, jangan fikirkan sangat pasal Baksis, aku ada ni’’

‘’Ji, kau kena utamakan diri kau dulu, rehat tu penting’’

‘’Ji, dah dah mesej aku, kau pergi rest tu’’

Itulah antara mesej dari sahabat sahabatnya, aku terpana,

‘’Hebatnya Kak Jiha, baiknya sahabat sahabat Kak Jiha’’ bisik sendiri,

Sambung Kak Jiha lagi, ramai sahabat sahabatnya yang mula merasakan perbezaan pada wajahnya,

‘’Ji, kau nampak penat la’’

Itulah ayat yang acap kali diterimanya.

Huh, sungguh, aku kagum pada sosok sebegini, moga cita cita Kak Jiha untuk masyarakat benar benar tercapai.

Akhir kata, sudi aku simpulkan kembali, kerana seakan penulisanku semakin lari dari tujuan ia sendiri,

Bagiku, seorang mahasiswa itu perlu meletakkan cita citanya yang tersendiri, ‘’Mahu capai apa untuk diri sepanjang berada di universiti’’

Aku datangkan contoh dari sisiku sendiri, jika seorang mahasiswa yang asalnya adalah seorang yang pemalu, tidak punya keyakinan diri, tetapi sepanjang keberadaannya di universiti, dia usahakan untuk buang rasa malu, dia usahakan untuk tingkatkan keyakinan diri, lalu hari berlalu hari, bercakap di khalayak ramai sudah tidak lagi buat dia malu sendiri, berdiskusi dengan rakan rakan sudah tidak buat lagi dia gugup dek tiada keyakinan diri, maka bagiku, ini sudah satu kejayaan yang harus dibangga, kerana dia berjaya mendekati satu langkah untuk menjadi seorang mahasiswa yang sebenar benarnya, dia berjaya punya satu ciri yang seharusnya ada pada diri mahasiswa, ‘’Keyakinan Diri’’.

Lalu, menjadi seorang yang punya keyakinan diri itu adalah cita citanya sepanjang berada di universiti, maka ini cita citanya yang pertama, lantas selepas graduasi dia menceburi alam pekerjaan yang dia minati, menjadi seorang penulis, menjadi seorang pembaca berita, menjadi seorang editor, maka ini cita citanya yang kedua, kerana itu aku mengatakan, bahawa cita citamu perlu dua, tidak hanya punya cita cita selepas graduasi sahaja.

Sungguh, lihatlah pada realiti, bahawa kaki ini masih lagi berada di alam universiti, maka mengapa kita tidak menyusun strategi untuk menggapai apa yang boleh digapai di alam universiti.

‘’Mahasiswa perlu ada cita cita, cita cita itu perlu dua, sebelum menempuh alam kerjaya, cita cita pertama, ingin menempuh alam kerjaya mana, cita cita kedua,

Tetapi, tidak bermakna cita cita kedua tidak utama, sungguh, cita cita pertama itu bagiku adalah penentu, adakah mahasiswa itu mampu menggapai cita cita kedua,

Kunci yang tidak sesekali dibiar lupa dalam mengejar dua dua cita, adalah usaha, juga persandaran cita pada Dia, Tuhan Yang Punya segala Kuasa.’’

Lalu, apakah mahasiswa mahasiswi masih belum punya cita cita, sungguh, catitlah cita cita, kerana usaha tidak akan ada, jika diri tidak punya cita cita.

 

Umi Khairunnisa Binti Mohd Ali, Bahasa Arab dan Kesusasteraan, UIAM Gombak.

Leave a Reply