Kota Liar Ini Kota Kita

Menjemput kalian menyertai hidup aku
dan aku tidak sekadar menabur janji
bahawa kota ini sebenarnya tidak seindah
di kaca televisyen,
dan di pementasan sketsa mahupun drama.

Memperjuangkan hutan
dan jagatraya yang diperkosa
manusia rakus tak akan
menghulurkan kau
populariti.
Mangifera indica tak ada mulut
untuk mengadu perit dan mengaduh sakit.
Haiwan maun mampunya hanya
tunduk meragut rumput.
Si pelatuk punya paruh
dan lidah yang panjang,
tapi gunanya hanya untuk membongkar serangga.

Sebab itu apabila nampak sampah
yang bukan di tempatnya,
atau milik alam dihunus-belah oleh sang kapitalis durjana,
atau berita tentang pencemaran alam sekitar
di corong radio kereta,
atau adanya galakan mitigasi perubahan iklim dunia,
pendirian manusiawi kau tak terubah,
kepentingan peribadi kau tak terkocak.
Selagi belum dicabar bah,
selagi suhu bumi belum mencapai tahap panas menggelegak.

Manusia perlu sedar bahawa
sebenarnya ada yang lebih jijik
daripada sampah di jalanan,
ada yang lebih kotor daripada
sisa bahan kimia dan minyak hitam likat
yang ditumpahkan tanpa rasa sangsi di lautan.
Dan ianya adalah sikap pasif-defensif
yang melekat di tapak kasut kita,
yang turut dihubungkan
ke sel-sel di antara iris
dan sel-sel reseptor di serebrum.

Maaf Tuhan, kami bebas bernafas dalam masa
hutan Dipterokarpa sunyi daripada alunan dan
lunak suara biotik dan abiotiknya.
Maaf Tuhan, kami enak menguyah makanan sedang
flora tidak berdaya, tidak segah
dan fauna sedang sesak dada diancam kepupusan.

 

MUSA ACUMINATA

Leave a Reply