Hisyam Talang – Mahasiswa Harus Tahu Soal Kewangan Peribadi!

KEPENTINGAN ILMU KEWANGAN PERIBADI

Oleh: Saudara Mohd. Nurhisyam bin Talang

Masyarakat zaman kini dilihat semakin cakna dan sedar akan pentingnya ilmu pendidikan kepada anak-anak. Bermula daripada seawal tadika sehinggalah ke peringkat ijazah sarjana muda, semuanya seolah-olah menjadi satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Proses menuntut ilmu ini menjadi semakin kriktikal apabila segulung ijazah menjadi salah satu syarat utama untuk mendapatkan pekerjaan bagi menyara kehidupan.

Namun begitu, sedarkah kita satu ilmu yang tidak kurang pentingnya? Ilmu ini semakin berkembang dan mendapat perhatian masyarakat untuk mendalami dan memahaminya. Ilmu tersebut ialah ilmu kewangan peribadi. Daripada seorang kanak-kanak yang ingin membeli aiskrim, sehinggalah seorang bekerjaya yang ingin membeli sebuah rumah, semuanya memerlukan ilmu kewangan ini.

Islam sangat menitik beratkan umat manusia mengurus hartanya dengan bijak. Bahkan sangat menggalakan umatnya untuk memiliki harta yang sempurna atau dalam erti kata yang lain menjadi seorang muslim yang kaya dan berharta. Sekiranya tidak, bagaimana mungkin Allah SWT meletakan kewajipan zakat dan menunaikan haji dalam rukun Islam yang wajib kita tunaikan. Hal ini kerana orang Islam yang miskin tidak diwajibkan ke atasnya zakat dan haji kerana tidak berkemampuan. Sabda Nabi Muhammad SAW:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ. (رواه البخاري ومسلمٌ).

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar ra, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Islam dibangun di atas lima (tonggak): Bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan haji, dan berpuasa Ramadhan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Adakah kita sudah cukup berpuas hati dengan 3 rukun Islam sahaja iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan Ramadan? Seterusnya mati meninggalkan dunia tanpa sempat untuk menunaikan 2 lagi kewajipan zakat dan haji disebabkan kelemahan diri dalam mengurus dan mendapatkan harta di muka bumi Allah SWT? Oleh sebab itulah pentingnya kesedaran untuk membangunkan ummah melalui pendidikan kewangan peribadi berteraskan Islam. Ilmu ini juga sewajarnya dibincang dan dibudayakan dengan subur dalam masyarakat.

Kembali kepada realiti semasa, semakin ramai golongan muda yang jatuh bankrap. Tidak kurangnya mereka yang terperangkap dalam hutang serta gagal mengawal perbelanjaan sekalipun mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi. Menurut beberapa statistik menunjukan 44.7% lelaki kahwin lambat berpunca daripada masalah kewangan peribadi. Apa yang lebih mendukacitakan ialah krisis kewangan ini juga menjadi punca kepada perceraian dalam rumah tangga.

Selain itu, terpengaruh dengan trend semasa sehingga membeli kereta mewah, smartphone, pakaian berjenama dan melancong pada kadar yang tidak sepatutnya semakin membimbangkan. Islam tidak menghalang untuk hidup dalam keadaan selesa. Ia juga salah satu bentuk tahsiniyyat dalam maqasid syariah. Akan tetapi kita tidak boleh mengabaikan peribahasa orang dahulu kala, kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga dan ukurlah baju di badan sendiri.

Umat Islam tidak seharusnya ketinggalan. Kemunculan pelbagai perkhidmatan perbankan Islam, takaful, ar-rahnu (pajak gadai Islam), konsultan syariah, baitulmal dan pusat zakat merupakan satu peluang yang baik untuk masyarakat memahami ilmu-ilmu pengurusan kewangan Islam. Di samping itu, ia juga antara platform bagi membangunkan ekonomi ummah.

Ingatlah apabila kita memiliki ilmu kewangan peribadi Islami ini, kita bukan sahaja mampu menunaikan kewajipan zakat dan haji, malah turut mampu bersedekah, berwakaf dan mengerjakan amal kebajikan dengan lebih produktif. Jadilah seorang manusia yang boleh mendatangkan manfaat kepada manusia yang lain sebagaimana sabda Nabi SAW:

عَن جابر، رَضِيَ الله عَنْهُ، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ. (أخرجه الطبراني في المعجم الأوسط).

Maksudnya: Daripada Jabir ra, katanya bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain.” (Riwayat At-Tabarani).

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang muslim yang berjaya bukan sahaja memerlukan ilmu untuk menunaikan ibadah semata-mata. Kekuatan fizikal daripada sudut jasad dan juga harta turut menjadi keutamaan yang perlu dititikberatkan. Tidak lain dan tidak bukan, pendidikan ilmu kewangan peribadi berlandaskan prinsip Islam mestilah dituntut dan dicari melalui saluran yang betul. Sama-samalah kita berusaha menjadi seorang hamba Allah SWT yang taat beribadah dan juga seorang khalifah yang memakmurkan muka bumi ini. Jadikanlah al-falah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat sebagai matlamat utama dalam diri setiap daripada kita. Wallahu’alam.

Beliau merupakan Alumni MYTIJAROH dan Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Muamalat Universiti Malaya.

Leave a Reply