[Kisah Perniagaan Rasulullah SAW]

Rasulullah dikenali sebagai seorang manusia yang dipercayai kerana sifat amanahnya dalam menguruskan sesuatu perkara. Gelaran Al-Amin diberikan oleh masyarakat Arab Quraisy kerana sifatnya yang amanah dalam menjaga harta benda ketika mereka keluar berdagang ke Syam.

Berkat sifat kejujuran ini, Rasulullah berjaya menjadi seorang pedagang yang berjaya dan memiliki harta yang banyak sebelum baginda menjadi Rasul. Sepanjang perguruan saya dengan tuan guru perniagaan saya, beliau mengatakan bahawa hantaran Rasulullah untuk berkahwin dengan Siti Khadjiah adalah sebanyak 30 ekor unta merah. Jika ditukarkan nilainya pada masa kini, ianya mencecah hampir RM3 juta. Itu baru sahaja hantaran. Cuba bayangkan berapa simpanan harta Nabi pada ketika itu.

Mutakhir ini, seringkali kita melihat kes-kes penipuan dalam bidang perniagaan. Satu contoh yang boleh diambil ialah kes yang melibatkan penipuan jemaah haji atau umrah oleh syarikat pelancongan. Sudahlah tidak dapat menunaikan ibadah, duit pula hilang dibawa lari. kerosakan akan terus berlaku jika niat untuk berniaga itu tidak dipasakkan dengan betul.

Jika dilihat daripada sirah Nabi Muhammad SAW, baginda dibelah dadanya ketika baginda berumur 4 tahun. Hati baginda dibersihkan dan disucikan oleh malaikat sebagai satu tanda baginda akan menjadi seorang Rasul kelak. Apa yang boleh diambil daripada peristiwa ini?

Seseorang yang ingin melakukan perniagaan mesti mensucikan dan membersihkan hatinya daripada unsur-unsur kejahatan seperti pecah amanah, terlalu sibuk dengan harta sehingga menjadi hamba kepada duit. Apabila niat sudah dibetulkan, maka segala urusan akan menjadi baik.

Ketika baginda berusia 8 tahun, baginda terlibat dalam bidang perkhidmatan iaitu mengembala kambing milik Abu Talib (bapa saudara Nabi). Dilatih oleh Abu Talib cara-cara mengawal dan memberi arahan kepada kambing sehingga baginda berumur 12 tahun.

Apa yang ingin diajarkan oleh Abu Talib?
Dalam memberikan perkhidmatan, sifat amanah dan berhati-hati dalam melakukan tindakan menjadi perkara yang penting. Sebagai contoh, menyediakan khidmat katering makanan kepada pelanggan. Seorang pengurus perlu berhati-hati dalam memberikan arahan kepada orang bawahan agar kesilapan tidak berlaku.

Sebagai contoh, tempahan makanan perlu siap pada waktu petang jam 2 petang dan sampai kepada pelanggan jam 3. Segala persiapan seperti pembelian barangan mentah dan sebagainya mesti diselesaikan sebelum itu lagi. Maka masalah makanan lambat sampai dapat dielakkan seperti kes-kes majlis perkahwinan yang makanannya tak sampai-sampai.

Setelah 5 tahun terlibat dalam bidang perkhidmatan, ketika baginda berumur 12 tahun, baginda mengikut Abu Talib berniaga di 9 tempat ‘panas’ di Semenanjung Arab. Salah satunya ialah Syam di mana baginda Nabi diajar bagaimana untuk menarik pelanggan datang membeli barang dagangan Abu Talib.


Ini ialah model perniagaan Business to Consumer (B2C) di mana syarikat menjual produk atau perkhidmatannya kepada masyarakat awam atau pengguna akhir. Untuk menarik pelanggan, seseorang perlu mahir dalam teknik ‘close sale’ iaitu memujuk pelanggan untuk membeli produk atau perkhidmatan tersebut.


Selepas pelanggan membeli produk itu, peniaga yang cerdik pasti akan ‘follow up’ pelanggannya untuk menjaga pelanggan daripada bertukar kepada produk pesaing. Mendapatkan pelanggan baru memakan kos yang tinggi (usaha yang lebih) daripada menjaga pelanggan yang sedia ada.

Setelah 6 tahun terlibat dalam model perniagaan Business to Customer (B2C), baginda Nabi mula terlibat dalam model perniagaan Business to Business (B2B) pada umur 18 tahun. Model perniagaan ini ialah model menjadikan orang lain (peniaga) kaya. Berbekalkan pengalaman baginda dalam perniagaan selama 6 tahun, sudah semestinya masak dan mahir dengan selok belok perniagaan.

Sudah semestinya baginda Nabi tahu individu yang paling kaya di Tanah Arab, siapa pelabur yang mempunyai modal yang besar dan siapa yang mempunyai pembekal untuk membekalkan tenaga buruh dan barangan mentah.

Maka dengan ini, boleh dikatakan baginda Nabi mula mempunyai syarikat sendiri. Di sinilah Nabi mula berkenalan dengan Siti Khadijah salah seorang jutawan Arab pada ketika ini.

Siti Khadijah tertarik dengan akhlak dan sikap baginda Nabi dalam kehidupannya termasuk menguruskan syarikatnya. Umum diketahui masyarakat Arab Jahiliah pada ketika itu terlibat dalam riba dan juga menipu dalam perniagaan seperti menipu dalam berat timbangan barangan.

Pada umur 25 tahun, baginda Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah. Nabi mempunyai syarikat sendiri dan Siti Khadijah juga seorang jutawan yang mempunyai syarikat sendiri. Maka ikatan kerjasama perniagaan kemungkinan diwujudkan.

Perkongsian tenaga pakar, perkongsian bahan mentah dan strategi yang lebih berkesan dapat diwujudkan dengan penggabungan syarikat ini. Sudah semestinya syarikat nabi berkembang dengan lebih pesat dan maju kerana adanya bantuan dana daripada Siti Khadijah. Mengawal syarikat yang besar bukan suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan pengalaman dan kemahiran yang tinggi untuk menguruskan perkara ini.

Baginda menguruskan perniagaan sehinggalah baginda berumur 40 tahun di mana ketika ini baginda menerima wahyu untuk menjadi seorang Rasul kepada umat akhir zaman.

Hasil pengalaman baginda Nabi dalam perniagaan ini, baginda bertemu dan bergaul dengan ramai orang dan menjadi terkenal dalam kalangan bangsawan dan masyarakat Arab. Di sini dapat kita simpulkan bahawa untuk menjadi seorang yang berjaya, terkenal dan kaya raya bukanlah dalam masa yang singkat.

Cuba anda lihat di sekeliling anda, berapa ramai yang mengambil jalan mudah untuk menjadi terkenal, kaya dan berjaya?

Mereka sanggup menipu dan melakukan perbuatan terkutuk sehingga menjadi perhatian.

Adakah masyarakat lupa untuk menjadikan baginda Nabi Muhammad sebagai satu contoh dan rujukan agung?


Renung-renungkan.

Mohamad Syafiq bin Mohd Adabi
Presiden Neo-Siswa UM

Leave a Reply