Susulan Amanat YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia 2019 – MENGEMBALIKAN WIBAWA PENGAJIAN TINGGI

Telah berlangsung pagi tadi Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik di Universiti Putra Malaysia. YB Dr Maszlee Malik dengan jelas menyatakan bahawa kunci utama membina sebuah peradaban masyarakat Malaysia yang demokratik, bermoral dan penyayang adalah pendidikan. Aspirasi negara bergantung kepada aspirasi pendidikan kebangsaan sesebuah negara itu sendiri.

Dalam amanat beliau, salah satu visi utama untuk menjadikan pendidikan sebagai penyelesai kepada masalah-masalah masyarakat adalah dengan mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi. Empat hala tuju utama dalam visi ini adalah: Kualiti, Autonomi, Kolaborasi, dan Pengantarabangsaan.

Empat hala tuju utama ini dengan jelas memberdayakan para pensyarah dan mahasiswa sebagai agen perubahan dengan menggunakan segala pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang ada sepanjang menutut ilmu di universiti untuk menyelesaikan segala masalah masyarakat di luar.

Sejak menampuk kepimpinan KPM, YB Maszlee telah memberikan ruang seluasnya kepada mahasiswa untuk menyuburkan budaya dialog dan forum yang bersifat intelektual dan penghasilan kerja-kerja penyelidikan para pensyarah untuk menjadi solusi kepada masyarakat dan negara. Kebebasan mahasiswa berpolitik di kampus awam juga diberikan dengan pemansuhan Seksyen 15(1)(c) AUKU sejajar dengan iltizam kerajaan untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun.

Pemberdayaan mahasiswa pasca PRU-14 juga melihatkan kembalinya Kesatuan Mahasiswa (Student Union) di universiti awam. Melihat kepada sejarah Student Union terutamanya di Universiti Malaya sekitar tahun 1960-an, mahasiswa pada era tersebut dengan aktif dan lantang terlibat dalam segala keputusan yang melibatkan kepentingan mahasiswa dan universiti pada waktu itu dan inilah peranan sebenar mahasiswa yang ingin dibawa kembali bagi memastikan mahasiswa terus memainkan peranan bersama dalam menentukan halatuju pendidikan tinggi negara dengan lebih berkesan.

Semestinya, amanat ini bukanlah bersifat “one-man show” dan pandangan YB Menteri semata-mata. Seiring dengan hasrat kerajaan merealisasikan Wawasan 2020, kunci utama ini haruslah digalas oleh setiap pihak kerana pendidikan itu tanggungjawab bersama.

Mahasiswa Keadilan Malaysia akan terus memainkan peranan efektif bagi melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar menjadi seorang pemimpin, tetapi menjadi seorang pemimpin yang berguna untuk masyarakat dan negara.

Haissazc Shuqkin Hisham
Timbalan Presiden
Mahasiswa Keadilan Malaysia

Leave a Reply