Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018

Melihatkan kepada situasi semasa terhadap isu PTPTN, kami mahasiswa seluruh Malaysia, meminta Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk mempertimbangkan semula mekanisme pemberian diskaun kepada peminjam seperti yang telah dilaksanakan selama ini sehingga 31/12/2018.

1) Kami mendesak pihak pengurusan PTPTN mengembalikan semula faedah diskaun terhadap langkah-langkah yang ditawarkan kepada Mahasiswa untuk melunaskan hutang pinjaman pengajian tinggi seperti:-

Auto Debit (yang menawarkan diskaun 10%)
Pembayaran keseluruhan sekaligus (yang menawarkan diskaun 20%)
Pengecualian bayaran balik untuk penerima Ijazah Kelas Pertama
2) Kami kecewa apabila inisiatif-inisatif yang dipergiat selama ini dihentikan tanpa sebab-musabab yang kukuh. Kami percaya, inisiatif-inisiatif sedemikian bukan sahaja akan dapat meringankan bebanan kami pada masa selepas bergraduasi, malahan memberi motivasi kepada kami untuk berusaha keras demi kecemerlangan diri dan negara.

3) Pihak PTPTN seharusnya membuat sesuatu keputusan dengan mengambil kira kepentingan kami sebagai mahasiswa yang turut terhimpit dengan kesempitan keadaan ekonomi yang kian meruncing.

4) Sungguhpun kami masih lagi menanti perlaksanaan sistem pendidikan percuma daripada Kerajaan Persekutuan, kami meletakkan harapan yang tinggi agar mekanisme pembayaran balik dikembalikan seperti yang telah dinyatakan.

Kami berharap isu ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak PTPTN. Terima kasih.

Leave a Reply