Agenda mengangkat perubahan perlu terus bergerak di era globalisasi, terutamanya keterbukaan dalam menerima perubahan. Dalam masa yang sama, harus mengambil kira kegelisahan sebilangan masyarakat terhadap keterbukaan kerajaan dalam isu-isu sensitif. Ini bermula dengan penghijrahan minda yang bukan sekadar ingin melihat perubahan politik, tetapi perubahan diri dan setiap bangsa Melayu itu sendiri agar keluar dari kepompong biasa.

Keutamaan pada hari ini adalah kefahaman dan jatidiri sebagai bangsa Melayu mengikut acuan Islam dalam menghadapi landskap yang sangat mencabar. Acuan Islam yang dimaksudkan adalah kita menjadi bangsa yang berdisiplin, berintegriti, berakhlak mulia dan hebat dengan penguasaan ilmu pengetahuan.

Setelah 61 tahun kemerdekaan negara, kenyataannya bangsa Melayu masih terkebelakang dalam aspek ekonomi, pendidikan dan perniagaan. Namun adakah wajar kita menyalahkan kaum-kaum lain atas kelemahan kaum kita sendiri? Bukankah Allah SWT berfirman bahawa tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubah nasibnya sendiri.

Sikap menyalahkan orang lain atas suatu musibah, mirip dengan sikap orang kafir yang menyalahkan para rasul sebagai pembawa malapetaka. Bangsa Melayu sepatutnya bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik, bukan seperti yang dikatakan sebagai bangsa terpinggir, bangsa merempat dan bangsa menongkat dagu. Sikap-sikap tersebut akan menyebabkan bangsa ini sukar mencabar diri mereka sendiri untuk maju ke hadapan dan tidak tercicir ketika menghadapi era Revolusi Perindustrian 4.0 dan Kecerdasan Buatan (bahasa Inggeris: Artificial Intelligence).

Sehubungan dengan itu, kita harus bersama-sama membendung fahaman radikal, ekstremis takfiri, cepat melabel dan bermusuh dengan orang lain. Sepatutnya, dimensi kemajmukan kaum dan kepelbagaian pandangan itu perlu diraikan, dan pada masa yang sama perlu dilihat dalam konteks multibudaya apatah lagi ummat Islam adalah majoriti di Malaysia. Surah al-Hujurat: 13 jelas meletakkan prinsip kesejagatan dan kepelbagaian bangsa. Ia perlu dihayati sebagai satu kekuatan, bukan sebagai liabiliti atau bebanan.

Sikap menzahirkan Islam sebagai agama yang keras sangat merugikan negara dan mengurangkan keyakinan orang bukan Islam terhadap agama yang benar ini. Selain daripada itu, mengakidahkan parti politik terutamanya dalam meraih undi melalui tafsiran yang luar dari konteks adalah sesuatu yang sangat membimbangkan. Bersederhanalah dalam berpolitik, ruang ijtihadnya sangatlah luas. Islam mengajar untuk berakhlak mulia dan berlaku adil sekalipun dengan orang yang bukan Islam.

Marilah kita membangunkan Islam yang lebih dinamik, mempersembahkan Islam yang lebih rahmah dah harmoni dengan cara memberikan solusi Islam yang lebih praktikal dalam menghadapi realiti dan sensitiviti masyarakat. Agama ini pada dasarnya penuh cinta dan damai, namun ramai yang kurang memahami dan menampilkan Islam sebagai agama yang keras dan penuh kebencian.

Kita perlu berhati hati dalam mengolah definisi dan representasi Islam dalam suasana negara agar tidak terperangkap dengan agenda sesuatu pihak. Golongan agamawan dan para asatizah sepatutnya tidak terkongkong dengan minda menghukum tanpa mendidik yang dipegang selama ini, sepertimana Islam tidak terkurung dalam satu mazhab atau satu parti. Ini bukanlah kerana kita ingin mengubah hukum, tetapi hukum kepada hal-hal seharian yang tidak dihadapi 20 atau 30 tahun yang lalu kerana konteksnya sudah berbeza. Anggapan bahawa kuasa islam yang semakin menipis dan merasakan Islam akan tercabut dari negara adalah suatu tanggapan yang berlebihan jika dibandingkan dengan apa yang kita kecapi pada hari ini.

Azim Solehin
Aktivis Belia Harmoni Cheras Baru

Leave a Reply