TARBIYAH DI KAMPUS
Penulis;
Ashraff Nazrin
facebook.com/Ashraffnazrin

PENDAHULUAN
Tulisan ini adalah khusus buat adik-adik baru yang akan menjejakkan kaki ke alam Universiti tidak lama lagi. Seperti saya dan juga senior-senior terdahulu, waktu-waktu awal begini lah akan menjadi titik tolak penting buat adik-adik untuk dijamah oleh jemaah-jemaah Islam yang ada di kampus. Atas sebab itu saya menulis tulisan ini sebagai panduan untuk adik-adik benar dibentuk menjadi manusia yang diperlukan. Saya juga mengerti, generasi-y yang ada sekarang bukan lah jenis yang  suka membaca jadi saya akan cuba untuk  menulis seringkas dan sepadat yang mampu. Apapun, tahniah kerana telah menghabiskan sesi  pengenalan dalam masa tidak sampai satu minit.

Saya mengerti bahawa adik-adik yang akan  menyertai jemaah-jemaah Islam di kampus ini pada  kebiasaannya mempunyai tiga golongan.Golongan yang pertama adalah golongan yang sudah sedia maklum bahawa wujudnya berbilang jemaah di dalam kampus dan sudah pun tahu Jemaah mana yang ingin disertainya nanti. Golongan ini bagus dan tidak banyak memeningkan kepala naqib (baca: pembawa usrah) untuk berebut-rebut menangkap hati
golongan sebegini, tetapi masih tidak  terkecuali untuk membaca penulisan ini.

Golongan yang kedua, adalah golongan yang kaki masjid, baru berubah atau yang suka dengan nilai-nilai kebaikan.

usrah_means_family_by_yeekeru10-d4ng7wq

Golongan seperti ini sangat banyak, golongan inilah yang sering menyebabkan naqib dari pelbagai Jemaah berebut dan berperah keringat untuk mendapatkannya. Golongan seperti ini juga pada kebiasaannya tidak kenal erti Jemaah, tidak pernah berusrah dan seperti yang saya katakan tadi, suka pada nilai-nilai kebaikan. Atas dasar inilah akan ramai naqib yang menawarkan pelbagai khidmat mesra pelanggan bagi melayani karenah anak usrah yang sebegini dan akhirnya golongan sebegini kebanyakannya akan berminat dengan Jemaah yang dibawa oleh naqib yang paling baik, rapat dan yang telah menabur budi paling tinggi seperti belanja makan dan seumpamanya.

Golongan terakhir pula adalah golongan yang tak berminat langsung dengan gerakan Islam, agenda dakwah mahupun terma-terma arab yang biasa kita perkatakan. Golongan sebegini paling ramai malangnya naqib/naqibah tidak terlalu fokus kepada golongan sebegini yang boleh kita katakan agak sukar untuk didekati dan dibawa agenda usrah mahupun Jemaah kepada mereka ini.

SEBAIK-BAIK MANUSIA ADALAH YANG PALING BERMANFAAT BAGI ORANG LAIN.

Bagi memudahkan adik-adik untuk memilih usrah dan jemaah, pertama sekali mereka perlulah menetapkan matlamat diri yang bagaimana mereka hendak capai. Ada orang, mereka terlibat dengan usrah untuk bersama dengan kawan-kawan dan persekitaran yang baik. Ini tidak salah, cuma kasihan ke atas konteks usrah itu diperkecilkan. Untuk bersama dengan kawan-kawan yang baik tidak perlu terlibat dengan usrah pun kita mampu capai, untuk berada dalam persekitaran yang baik pun kita mampu dapatkannya tanpa usrah. Ataupun satu lagi alasan yang klise untuk bersama-sama dalam usrah dan Jemaah adalah untuk jadi orang baik dan tambah ilmu, sedangkan zaman moden sebegini, berapa banyak video kuliah dan kelas agama boleh kita dapatkan di atas talian tanpa perlu kita terlibat dengan usrah dan Jemaah.

Maka sebab itu, kita perlu mencari makna sebenar dan yang lebih besar kenapa kita perlu terlibat dengan usrah dan Jemaah. Barulah kita boleh membincangkan soal usrah dan Jemaah mana yang sesuai.

Bagi saya, tidak ada jawapan lain kenapa perlunya kita mengikuti usrah dan Jemaah selain dari kita beramal dan bekerja untuk Islam. Apabila kita melangkah saja ke
alam usrah dan Jemaah kita sudah perlu ada satu  sasaran bahawa aku akan bekerja demi Islam. Jawapan mudah, kita pekerja, bukan penerima.

Dan inilah nilaian yang adik-adik perlu nilai sejauh mana naqib/naqibah ingin melatih adik-adik sebagai seorang yang bermanfaat untuk manusia lain sehingga lah pada satu tahap boleh bermanfaat buat agama.

Sekiranya selepas sebulan adik-adik mengikuti usrah dan kehadiran adik-adik langsung tidak memberi manfaat buat masyarakat sekeliling khususnya masyarakat kampus, maka tinggalkan lah naqib itu. Cari naqib lain.

Sebagai contoh, di kampus, kipas siling di bilik Abu sudah seminggu tidak berfungsi dan Ali (bukan nama sebenar)  juga dalam seminggu itu hari-hari iaitu setiap malam menghadirkan diri ke program usrah. Ali tidak pernah mencuba untuk melaporkan ke pihak berwajib bagi menyelesaikan masalah Abu walaupun dia sedia maklum masalah itu. Rakannya ini tidak mendapat sedikit manfaat pun dari usrah si Ali kecuali pada setiap malam Ali berkongsi dapatan usrah yang Abu boleh dapatkan di youtube. Kemana perginya pemuda-pemuda bermanfaat yang patutnya lahir dari setiap sistem usrah? Bukankah nabi melahirkan pemuda-pemuda yang membebaskan masyarakat dari masalah ketika itu iaitu masalah penghambaan, masalah perkauman, dan lain-lain?

Lebih malang, sistem usrah yang ada sekarang melahirkan pemuda-pemudi yang memiliki sifat holier than thou. Dengan bangganya mendabik dada berada di masjid setiap 5 waktu padahal ketika masjid mengalami bekalan elektrik terputus, tidak ada seorang pun budak usrah yang berusaha mencari pakar teknikal untuk menyelesaikannya. Mereka sanggup berpanas dan membiarkan orang lain juga berpanas ketika bersolat. Bukankah pahala mereka akan lebih besar sekiranya menyelesaikan isu yang berlaku ketika itu dan memudahkan Jemaah bersolat dalam keadaan yang tidak berpanas? Ini kejadian benar. Berlaku depan mata saya. Dan akhirnya saya mendapat satu konklusi bahawa budak usrah yang gagal mendefinisikan maksud tarbiyah sebenar akhirnya hanya akan memfokuskan kepada amalan individu sendiri sahaja tanpa memberi manfaat buat orang lain.

***
JANGAN JADI HAMBA KEPADA NAQIB/NAQIBAH.
Berada dalam sistem usrah tidaklah menghalalkan penghambaan selain dari menghambakan diri kepada Allah untuk beramal dengan tuntutan-Nya. Maka jika naqib/naqibah menyuruh anda melakukan sesuatu atas alasan tugasan ataupun ujian, jangan sesekali melakukannya tanpa mendapat justifikasi yang jelas tentang kenapa anda perlu lakukannya. Apatah lagi suruhan itu bukan atas dasar tugasan usrah ataupun ujian.

bulatan-gembira

Saya pernah lihat, seorang anak usrah seolah-olah menjadi hamba kepada naqibnya. Berkepit 24 jam dan diarah itu ini. Benar, sistem usrah melahirkan thiqoh (kepercayaan) tapi bukannya pembodohan.

Arahan ataupun tugasan yang diberikan mestilah melalui mesyuarat Jemaah dan atas kepentingan agenda Islam. Bukannya ikut suka hati para naqib/naqibah sahaja. Justifikasi-justifikasi seperti melatih, menguji adalah salah satu contoh yang adik-adik perlu dapatkan daripada mereka.

Sebagai contoh, seorang naqib menyuruh anak usrahnya untuk memenuhi semua jawatan-jawatan penting dalam persatuan-persatuan atas alasan supaya dapat mengfungsikan kembali persatuan-persatuan mengikut fungsinya dan memberi manfaat terbanyak buat masyarakat kampus. Tetapi ada juga naqib/naqibah yang menyuruh anak usrahnya memenuhi persatuan bagi memudahkan urusan pengkaderan (recruitment) ahli-ahli Jemaah pada masa akan datang. Peduli lah, anak usrahnya tahu memimpin atau tidak, pedulilah anak usrahnya itu faham atau tidak fungsi persatuan tersebut, yang penting, populariti yang diperolehi daripada persatuan tersebut dapat digunakan bagi menarik anak usrah di masa hadapan.

***
CARILAH NAQIB/NAQIBAH YANG BERANI.
Tips ini bagi adik-adik yang ingin mencari usrah dan perjuangan yang real. Dalam usrah, saya kira kebanyakan Jemaah akan membincangkan soal akidah (kepercayaan kepada Allah semata-mata), soal perjuangan, soal pengorbanan dan lain-lain. Maka, nasihat
saya, carilah naqib/naqibah yang berani bagi mendapatkan nilai perjuangan yang sebenar.
Sebagai contoh, apakah tanggungjawab seorang muslim terhadap isu rasuah dan ketirisan yang berlaku di dalam negara kita? Sekiranya naqib anda hanya pandai berkata-kata rasuah dan mencuri itu dosa tetapi tidak berbuat apa-apa tindakan ke atasnya, maka tinggalkan lah dia. Lebih malang, ketika ada adik-adik yang berani menyatakan bantahan terhadap dosa yang jijik ini, naqib/naqibah pula menasihatkan supaya hati-hati supaya tidak dibuang Universiti.

Kemana perginya topik kepercayaan kepada Allah semata-mata, soal perjuangan, soal pengorbanan yang dibincangkan di dalam usrah itu tadi? Apakah tahap takut kita dibuang Universiti, tidak dapat kerja itu lebih besar dari aqidah sebagai seorang muslim? Apakah kita tidak percaya dengan melawan rasuah iaitu apa yang Allah larang itu sebagai salah satu tuntutan dan bakal menyusahkan kita? Kenapa naqib begini
tidak anggap kesusahan itu sebagai pengorbanan
yang mereka bicarakan dalam usrah?

Mungkin konteks tadi terlalu besar, saya bawakan sedikit konteks di dalam kampus supaya adik-adik mudah untuk hadam. Di dalam kampus nanti, adik-adik akan berhadapan dengan salah satu pesta dinamakan pilihanraya kampus. Menurut pengalaman saya terlibat sepanjang 3 tahun, 2 kali kiraan akhir peti undi tidak sama dengan yang sepatutnya menjadikan maksud penipuan pilihanraya itu berlaku. Tetapi tidak ramai budak-budak usrah yang kehadapan dalam membantah penipuan ini sedangkan menegakkan kebenaran itu satu tuntutan. Kalau orang-orang yang celik agama dilatih sebegini, patutlah ramai agamawan dan pakar di masa hadapan nanti akan mendiamkan penipuan dan kecurian
yang berlaku dalam kekuasaan mereka.

***PENUTUP
Segala penulisan di atas adalah semata-mata memberikan pandangan saya terhadap fungsi tarbiyah yang sebenar. Tidak ada guna kita ke hulu dan ke hilir menadah ilmu sekiranya ilmu itu tidak dikembalikan semula ke masyarakat terbanyak sehingga akhirnya masyarakat bertanya apa lah yang budak-budak usrah ini buat sampai lewat malam setiap minggu. Wahai anak-anak muda, berfungsi lah!

 

 

Leave a Reply