Persoalan ni saya fikir tidaklah semudah mengatakan jawapannya ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Dia tidaklah semudah membezakan antara warna hitam atau putih. Persoalan ini perlu diperhalusi dengan baik dan bersifat manusiawi agar persoalan ini bukan sekadar mendapatkan jawapan, tapi lebih dari itu penting untuk mengembangkan persoalan ini kepada sudut-sudut lain yang berbeza dan membuahkan solusi daripada hanya berbincang memanjang.

Ketika saya lontarkan soalan ini kepada Raja Ahmad Aminullah (Aktivis Budaya) dalam satu pertemuan dengan beliau. Kata beliau universiti tidak intelektual. Yang perlu dinilai intelektualnya adalah warga didalamnya. Maka, kita perlu sedar bahawa kita sedang berhadapan dengan kumpulan manusia yang mempunyai pelbagai kedudukan, jawatan, peranan, kefahaman dan tindakan. Maka, untuk menjawab persoalan ini tidaklah semudah itu. Banyak hal yang perlu diberi pertimbangan.

MEMAHAMI MAKNA INTELEKTUAL
Berbicara persoalan sebegini, adalah penting untuk kita menyelaraskan kefahaman kita kepada maksud intelektual itu sendiri supaya makalah ini dapat difahami dengan baik. Makalah ini tidaklah berminat mahu memanjangkan perbahasan berkenaan maksud intelektual. Saya fikir biarlah wacana lain yang bincangkan.

Makalah kali ini lebih suka untuk membawa pengertian yang luas cakupannya. Pada hemat saya, intelektual itu boleh jadi sesiapa sahaja sama ada mereka itu mengikuti sistem pengajian rasmi atau tidak, mereka tetap bersama dalam golongan kaum intelektual jika mereka memenuhi ciri-ciri seorang intelektual.

Saya amati beberapa penulisan tokoh tentang intelektual seperti SN Usman Awang[2], Edward Said[3], Shaharom TM Sulaiman[4], Syed Hussein Al-Attas[5], Noam Chomsky[6], Dr. Azhar Ibrahim[7] dan Raja Ahmad Aminullah[8] (menyebut beberapa nama). Walaupun penulis ini memerihal definisi yang punya pelbagai sisi, ada garis halus yang menjadi benang mengikat persamaan antara semua penulis. Maka, pada pandangan saya seorang intelektual itu adalah:

Mempunyai kekuatan fikiran yang tinggi dalam memahami, mencermati, mendalami apa-apa permasalahan yang berlaku dalam masyarakat sekitarnya atau kumpulan kajiannya. Ia juga menguasai ilmu dengan baik dan mendalam atau ruang yang dia masuk untuk berkhidmat.

Sentiasa berterusan mengembangkan buah fikirnya dengan mengizinkan untuk terus dikritik, diwacanakan, dibincangkan, diambil tindakan dan digasak oleh idea yang lain walaupun pada spektrum yang berbeza dan tidak sehaluan.

Mempunyai ruang interaksi yang luas dan pelbagai dalam masyarakat. Malahnya dirinya dapat berintegrasi dalam masyarakat. Dirinya tidak terisolasi dengan hanya duduk dalam kelompoknya sahaja. Mempunyai sikap dan pendirian dalam apa-apa isu dan permasalahan yang berkaitan serta punya keberanian menzahirkan tindakan atau pandangan yang sesuai mengikut kedudukan dan posisinya.

Paksi terasas mereka adalah kebenaran dan kebaikan. Bukan pada ganjaran, jawatan, gelaran mahupun kedudukan.
Intelektual boleh hadir dalam pelbagai ruang dan kumpulan.

Masyarakat umum biasanya lebih melihat golongan ini datang daripada mereka yang melalui sistem pendidikan rasmi. Mereka yang menjadi mahasiswa atau graduan sebuah universiti, ataupun menjadi pensyarah mahupun kumpulan ilmuan dan sarjana. Saya tidak mengatakan salah pemahaman sebegini. Cuma pada pengamatan saya, golongan intelektual ini perlu menjadi ruang yang inklusif agar mereka yang memenuhi sifat dan ciri seorang intelektual dapat diraikan walaupun tidak hadir daripada mana-mana pengajian; hatta datang daripada jalanan!

IDEA USMAN AWANG TENTANG MASYARAKAT
SN Usman Awang di dalam ucapannya bertajuk Peranan Intelektual ada memberikan satu formula yang menarik tentang sebuah masyarakat. Bagi SN Usman Awang, sebuah masyarakat itu terbentuk daripada sistem dan suasana. Kedua-dua entiti ini bergerak secara seiring, sebelah menyebelah yang memberi kesan kepada pembentukan sebuah masyarakat.

Ada fasa kedua-duanya saling menyokong. Ada waktu mereka saling melawan dan tidak sehaluan. Tetapi dua entiti ini adalah perkara yang perlu kita perhatikan ketika mahu menilai sebuah masyarakat.

Sistem dalam bahasa yang mudah difahami adalah perkara yang berkait dengan polisi dan undang-undang. Ia perkara yang disusun dan distrukturkan oleh badan kerajaan atau pihak pentadbiran. Suasana pula adalah konteks dan nuansa kebiasaan yang berlaku dalam mana-mana kumpulan masyarakat. Tidak perlukan pemaksaan. Suatu kelakuan atau kecenderungan itu akan terbentuk dengan sendirinya samada atas faktor suasana masyarakatnya atau didikan daripada keluarga.

Daripada dua ini, maka lahirlah sebuah masyarakat. Tidaklah sebuah masyarakat itu membudayakan ilmu dengan cara yang tiba-tiba, tidak juga sebuah masyarakat itu hilang akhlak dan adab dengan cara yang tiba-tiba. Tapi ia hadir dan terbentuk daripada sistem dan suasana yang mereka lalui.

MELIHAT KEPADA SEBUAH UNIVERSITI
Memahami bagaimana sebuah masyarakat terbentuk, kita kecilkan skop masyarakat ini kepada warga universiti. Bercerita tentang warga universiti, didalamnya mempunyai beberapa kumpulan penting antaranya adalah pentadbiran, pensyarah dan mahasiswa. Ketiga-tiga saling berkait antara satu sama lain. Apabila berbicara tentang intelektual universiti, kesemua ini terlibat sama.

Beberapa persoalan penting yang perlu kita renungi dan muhasabahkan diri apabila bicarakan intelektual di universiti.

Bercerita soal sistem: Adakah sistem universiti pada hari ini menggalakkan pembinaan intelektual warga universiti atau sebaliknya? Adakah univeriti membuka ruang buat warganya berani berekspresi menyuarakan apa yang mereka yakini atau pantas mencantas mana-mana individu yang dilihat tidak sehaluan dengan pihak pentabiran? Adakah pihak berkuasa memudahkan atau membenarkan mana-mana warga universiti berwacana, berdebat di mana-mana ruang didalam kampus atau mereka pihak berkuasa sengaja menyusahkan atau sengaja menyukarkan perlaksanaan aktiviti berkenaan melalui proses birokrasi yang merenyahkan?

Bercerita perihal suasana: Apakah suasana yang sedang dilalui oleh warga universiti pada ketika ini menggalakkan pembinaan intelektual mereka? Adakah hari ini membaca buku, berdiskusi tentang idea dan merenung perihal kehidupan menjadi budaya warga mahasiswa atau hakikatnya lebih gemar bersembang tentang artis dan hiburan? Pertemuan sesama rakan mahasiswa atau pensyarah untuk membincangkan isu dan membina ruang interaksi yang luas dan pelbagai, adakah menjadi budaya kita? Adakah suasana membina watak dan sikap sang intelektual menyubur di kampus? Adakah suasana menggalakkan perlawan hujah dan idea bukannya pada pembunuhan karakter dan permainan sentimen?

Semua ini perlu kita lihat semula mengikut konteks kedudukan kita. Daripada pengamatan persoalan-persoalan inilah yang dapat menjawab kepada tajuk makalah ini. Saya percaya setiap universiti mempunyai konteks mereka sendiri. Maka, jawapannya itu ada pada pandangan warga universiti masing-masing.

Akar soalannya; adakah sistem dan suasana ketika ini dan pada hari ini membina intelektual warga universitinya?

Jika tidak, maka ada kerja perlu kita usahakan.

MULA TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB
Adakah penting untuk membina sebuah masyarakat yang mempunyai budaya intelektual? Saya fikir bukan sebuah kepentingan, bahkan adalah kewajipan kerana dengan berbudayanya sebuah intelektual, kita tidak menjadi sebuah lambakan dalam masyarakat; yang hanya hadir mengisi masyarakat tanpa berbuat sesuatu. Tapi kita menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dengan sangat efektif. Kita boleh berfungsi walau apa pun posisi kita.

Maka, ruang ini perlu kita mula laksanakan tanggungjawab kita dalam menyuburkan nilai intelektual di kampus khususnya. Kita boleh memilih untuk membetulkan sistem. Atau kita juga boleh memilih untuk mencorakkan suasana. Saya fikir tiada masalah dengan apa pun pilihan yang dibuat kerana pada saya kita saling memerlukan usaha antara satu sama lain agar nuansa kampus yang cintakan ilmu dan kebenaran akan semakin menyubur.

Menyelar mana-mana pendekatan yang dibuat dengan nada yang merendahkan atau memperlekehkan pada saya bukanlah satu sikap yang baik. Tapi ia hanya menunjukkan dimana aras intelektual mereka.

Usaha ini perlu kita mulakan. Jika sudah mulakan, maka perlu terus diperkasakan. Menangguhkan usaha ini hanya melambatkan pencerahan dalam masyarakat.

Usaid Asmadi
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

 

NOTA KAKI :

[1] Dibentangkan semasa Konvensyen Mahasiswa Harmoni 2018

[2] Peranan Intelektual

[3] Representation Of The Intellectual

[4] Dunia Pemikiran Intelektual

[5] Intelektual Masyarakat Membangun

[6] Responsibility Of Intellectual

[7] Penjahaman Pemikiran Intelektual

[8] Minda Tertawan; Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa

Leave a Reply