Puisi: Saudaraku

Oleh: Halisa Samsuddin

Saudaraku,
Kepelbagaian itu suatu rahmah,
wujud jemaah sebagai wadah,
berbeza manhaj matlamat serupa,
membentuk generasi berakhlaq mahmudah,
lebih cakna hal ehwal semasa,
Alhamdulillah..

Saudaraku,
namun muncul suatu barah,
menjadi masalah dalam jemaah,
mengaku hanya jalannya benar yang lain salah,
pantas menghukum tiada beralah,
buat mereka yang ingin berubah,
terbantut langkah,
nanar tak tentu arah,
akhirnya kembali ke jalan mudah,
mengagungkan dunia mewah,
bahkan benci ahli jemaah.

Saudaraku,
mengapa ini berlaku sementelahan mengaku mendalami agama,
agama yang sejahtera buat sekalian manusia,
namun fanatik fikrah ditatang gah,
lupakah kita akan satu perkara?
Kendatipun kita berbeza fikrah,
paksi kita satu Aqidah tiada dua.

Saudaraku,
mengapa harus berbalah
bukankah lebih elok bersatu jiwa
Saling diskusi maslahah ummah
ke arah membina masyarakat berjiwa hamba
tunduk hanya pada yang Esa…

Halisa Samsuddin
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Leave a Reply