REMBAU 30 APRIL 2018. Sebahagian pelajar UITM yang hadir mendengar ceramah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Ahmad Fahmi Muhd Samsudin dan Presiden of Hunger Hurts Malaysia, Faiz Hadzim pada Program Human C Unity anjuran pelajar Masscomm UITM Kampus Rembau. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

REMBAU: Bagi mendapatkan pemahaman tepat berhubung krisis di Syria, kira-kira 800 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Rembau, di sini, hari ini, menjayakan program ‘Human C Unity’.

Program anjuran pelajar semester empat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) itu turut bertujuan `membuka mata’ pelajar dan penduduk di daerah ini mengenai masalah gelandangan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang menyokong usaha pelajar mengadakan program itu berkata, apa yang berlaku di Syria tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, rakyat negara ini perlu mengambil iktibar atas kesengsaraan dialami penduduk di negara bergolak itu.

“Hargai dan peliharalah kedamaian dan kemakmuran yang dikecapi ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau yang kini menjayakan projek Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) adalah antara dua ahli panel yang dijemput menyampaikan ceramah pada program itu, selain Presiden Hunger Hurts, Faiz Hadzim.

Program dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, bintang Akademi Fantasia, Aizat Amdan. Hadir sama, pensyarah Jurusan Pengurusan Acara yang juga penasihat program, Mohd Shafiq Mohd Ayub.

Sementara itu, Ketua program, Wan Amirul Aizzat, berkata program itu adalah satu kriteria bagi subjek Pengurusan Acara untuk melayakkan pelajar ke semester pengajian seterusnya.

Katanya, tajuk itu dipilih supaya pelajar UiTM dapat menyelami kehidupan penduduk di Syria yang bukan sahaja berdepan ancaman peluru dan bom pihak tentera, malah turut mengalami krisis kemanusiaan seperti kekurangan makanan dan ubat.

“Mereka bukan sahaja kekurangan sumber asas seperti ubat, makanan, pakaian, malah hidup seperti pelarian.

“Melalui pendedahan ini, secara langsung dapat memberi gambaran dengan lebih dekat situasi kehidupan di sana kerana kita menjemput penceramah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hunger Hurts.

“Penampilan mereka yang berpengalaman dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan mampu memberi impak kepada peserta, sekali gus mendidik kita supaya sentiasa bersyukur tinggal di negara yang aman seperti Malaysia,” katanya.

Peserta, Noor Zafera Amran, 20, berkata sebelum ini dia hanya mengetahui mengenai kehidupan penduduk di Syria menerusi internet dan media.

“Dengan adanya program sebegini, saya lebih memahami kepayahan dan kekangan yang perlu dilalui penduduk di negara bergolak itu.

“Ini membuatkan saya insaf dan timbul semangat cintakan negara kita yang harmoni ini,” katanya.

 

SUMBER

Leave a Reply