UIAM Pagoh – Keluhan mahasiswa seperti tak diendah

Ahad 22 April 2018 – Seramai 900 orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh perlu bersesak-sesak dalam bas setiap hari untuk bergerak ke bangunan kuliyah mereka. Hal ini berpunca daripada perkhidamatan pengangkutan yang sangat terhad iaitu berbekalkan 2 buah bas sahaja yang digunakan para pelajar universiti berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua bas ini digunakan untuk urusan dalam universiti iaitu membawa para pelajar berulang-alik dari bangunan mahallah atau kolej kediaman mereka ke bangunan kuliyah. Begitu juga ia digunakan untuk urusan keluar masuk UIAM ke pekan Pagoh dan 2 buah bas yang sama ini juga akan digunakan sekiranya terdapat program pelajar di luar kampus.

Berdasarkan tempoh semester ini sahaja, sudah beberapa kali bas didapati rosak sepertimana didakwa pemandu bas sendiri. Masalah ini menyebabkan para pelajar terpaksa berjalan sejauh hampir 2 kilometer untuk sampai ke bangunan kuliyah mereka.

Terbaharu, salah seorang pensyarah di universiti cawangan tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa bas tambahan tidak perlu. Sebelum ini, Pimpinan Persatuan Pelajar Kuliyah tersebut telah berjumpa dengan pihak pentadbir UIAM di Gombak, membawa usul penambahan bas untuk kemudahan pada pelajar mereka di sana. Namun demikian, pihak pentadbiran universiti tersebut mengatakan bahawa permintaan tersebut tidak berasas dan ia tidak diluluskan.

Dakwa pensyarah tersebut lagi, pelajar boleh berjalan seperti mahasiswa di luar negara. Pelajar UIAM cawangan Pagoh dikatakan manja hanya kerana mereka menuntut tambahan bilangan bas untuk kemudahan pengajian mereka.

Leave a Reply