Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, suatu ketika dulu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak membenarkan langsung mahasiswa berpolitik, namun kelonggaran diberi selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pentadbiran negara.

Walau bagaimanapun katanya, kelonggaran itu bukan alasan untuk golongan mahasiswa terlibat dengan politik keterlaluan termasuk melanggar undang-undang.

“Dalam PRU-14 ini, mahasiswa boleh turun bersama untuk berkempen dan terlibat dengan politik tetapi saya nasihatkan perlu beretika serta jangan melanggar undang-undang negara serta tata susila pilihan raya.

“Kalau terlibat dalam berkempen, biarlah berkempen dengan cara sihat, dengan budaya politik matang. Kita ingin lihat PRU-14 ini satu pilihan raya yang berlangsung dalam suasana sihat dan aman damai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Kolej Komuniti Rantau Panjang dan menyampaikan bantuan kewangan kepada penuntut kolej tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin. – UTUSAN ONLINE