oleh; Rien Sd

Hari itu tidak banyak yang terjual. Beberapa ikat sahaja. Itupun setelah dijual dengan harga yang paling murah. Terung, sawi dan labu sedikitpun tidak berkurang. Masih bertompok-tompok di atas kanvas putih yang lusuh. Kangkung terjual seikat, bayam seikat dan beberapa bungkusan kecil cili padi. Mungkin sebab hujan lebat yang menujah-nujah dan sesekali kilat berkelip-kelip. Sebutir bintangpun tiada, semuanya menyorok di balik dinding langit.

Selalunya bermula pukul 2 pagi sudah ramai pembeli mundar-mandir di situ. Kebetulan pukul 3 pagi, lampu pasar akan mula dinyalakan. Orang ramai lebih memilih untuk membeli sayur dan ikan di kaki lima pasar kerana harganya murah dan wajahnya segar bugar.

Kaki lima pasar Sandakan memang selalu riuh oleh penjual sayur dan ikan. Pukul 10 malam lagi – kadang lebih awal daripada itu – penjual sayur dan ikan sudah berduduk menyusun sayur, menurunkannya daripada lori dan kekadang menjerit-jerit memanggil orang ramai. Troli ikan selalunya berulang-alik mengangkut ikan, udang, ketam sotong yang usai dialihkan daripada tong ais- tempat meletakkan ikan yang dipukat daripada laut- untuk dijual di kaki lima pasar.

Sejak pukul 10 malam, dia duduk bersila di atas kanvas putih lusuh itu. Orang hanya lalu lalang, sesekali mampir dan menunjuk-nunjuk sayur yang dijual kemudian berlalu pergi tanpa membeli seikatpun. Musim hujan telah kunjung tiba. Sambil meneriak longlai menyebut-nyebut harga seikat sayur yang dijualnya, hidungnya terhenjut-henjut menahan hingus daripada meleleh keluar. Baju t-shirt biru bertulis Tatap BN itu yang ditarik-tariknya kolar bikin mengelap sisa hingus yang meleset keluar sedikit pada muncung hidungnya.

“Berapa seikat ni makcik?” sergah seorang lelaki muda yang membimbit 2 beg plastik di tangannya sambil menuding ke arah sayur bayam.

“Dua ringgit nak. Tapi kalau ambil dua ikat, tiga ringgitlah kau bagi makcik” kelamkabut dia menoleh dan menjawab.

“Baru ka ni makcik?” tambah lelaki muda itu.

“Baru nak. Tengok batangnya ni, baru lagi ni. Ambiklah dua ikat nak, tiga ringgit saja” balasnya.

“Bah, bagilah dua ikat makcik. Asingkan bahainya. Satu ikat tu letak bahai lain” sambil lelaki muda itu mengeluarkan uncang daripada koceknya.

“Bah yala, nak. Makcik jual ya” sambil dia menghulurkan dua bungkus bahai tadi.

Mereka bertukar tangan. Tiga ringgit dilipat hampir ronyok kemudian disumbat ke dalam beg sandangnya. Lelaki muda itupun beredar dari situ.

Hujan renyai semula. Ada penjual yang sudah akur, mengikat kanvas mereka dan berpergian ke rumah. Ada yang mula beralih berteduh di bawah bumbung pasar. Saimah masih di situ. Perempuan tua berusia lima puluh dua tahun itu sudah lali dengan hujan yang masih keanak-anakan itu. Selagi belum mengganasi jualannya, maka dia tidak akan berganjak.

“Belum kuat lagi ni. Ndapa, kamu ke sanalah dulu” katanya selepas diajak penjual yang bersebelahan dengannya untuk berpindah ke kaki lima pasar yang berbumbung.

***

“Dir, bangun nak. 5 pagi sudah. Cepat.” sambil dia menggoncang lembut bahu anak angkatnya itu.

Kadir menggeliat. Matanya sebelah dibuka luas, sambil mengangguk-angguk. Anak kecil berusia sebelas tahun itu sebenarnya anak tunggal jirannya. Dipeliharanya sejak enam bulan yang lalu. Kedua mak bapa anak ini sudah tiada lagi di situ. Mereka tertangkap dalam serbuan imegresen kira-kira setahun yang lalu. Kebetulan Kadir ketika itu tiada di rumah. Mak bapa anak ini tiada sehelaipun dokumen peribadi.

Saimah sebenarnya kurang bergaul dengan jirannya itu. Setahunya mak bapa Kadir sudah dihantar ke Filipina sejak operasi tangkapan Pendatang Tanpa Izin (PTI) oleh imegresen itu. Sempat Kadir menjadi anak jalanan beberapa bulan, tidur di kaki lima 7 Eleven, berkaki ayam, comot dan busuk sebelum diambil oleh Saimah sebagai anak angkat dan tinggal bersamanya.

Kebetulan dia tiada anak. Pernah mengandung tapi keguguran. Suaminya, Rostam menghilang sejak lima tahun yang lalu. Entah ke mana, dia tidak tahu. Tapi dia yakin, suaminya sudah tiada lagi di Sabah.

“Jangan cari aku, kalau aku tiada sudah di sini. Pandai-pandailah kita cari makan. Kau pun bukannya lumpuhkan?” masih terngiang di telinga Saimah pertengkarannya bersama Rostam sebelum suaminya itu menghilang tanpa jejak.

Kadir bingkas setelah seminit dua menggosok-gosok matanya dan menggaru-garu betisnya. Dia mandi kemudian mengenakan pakaiannya seperti hari-hari biasa; t-shirt putih polos yang sudah kekuning-kuningan kolarnya, seluar pendek atas lutut dan selipar jepun berwarna hijau yang sudah haus tapaknya.

Bergegas turun ke bawah- mereka meyewa di sebuah bilik di tingkat empat flat berhadapan dengan pasar- dan hanya sempat meneguk sekali air mineral yang terbiar semalaman di tepi pintu. Kereta sorong yang digunakan oleh Saimah untuk mengangkut sayur-sayur jualan semalam ditarik keluar. Tiba pula giliran Kadir untuk menjual bahai dan menyediakan servis mengangkat barang menggunakan kereta sorong di dalam pasar. Setelah semalaman berjual sayur, Saimah pula akan berehat di rumah. Beginilah rutin mereka setiap hari. Tanpa cuti.

Kadir yang bertubuh kecil ini akan berkerja bersama dua rakannya yang lain, Janjan dan Pok. Walaupun umur mereka sebaya, Janjan lebih besar dan tinggi berbanding dia dan Pok. Mereka akan kehulu kehilir menolak kereta sorong di dalam pasar dan menjual bahai kepada pembeli-pembeli di situ.

“Mau bahai kak?” tanya Kadir dengan seorang perempuan muda yang baru selesai membeli daging mentah.

“Berapa?” tanya perempuan muda itu sambil risau kalau-kalau pemegang bahainya itu terputus dek berat daging mentah yang dibelinya.

“20 sen kak. Kalau yang besar 50 sen” balas Kadir.

“Bagilah yang besar tu satu. Nah, kau bawakan barang kakak ni ke kereta” Kadir meletakkan bahai-bahai tadi ke atas kereta sorongnya dan membontot di belakang perempuan muda itu sehingga ke tempat letak kereta.

“Berapa kau cas ni?” sambil perempuan muda itu memindah barangnya ke dalam kereta.

“Seringgit setengah seja kak” balas Kadir.

“Nah. Ambiklah bakinya. Bagus-bagus melintas jalan, tengok kereta” pesan perempuan muda itu sambil menghulur sekeping lima ringgit kepada Kadir.

“Terima kasih kak. Ok kak. Kakakpun hati-hati memandu. Babai” Kadir berlalu pergi. Lagak seorang budak yang tiada masalah kehilangan mak bapa. Lima ringgit itu sudah semacam lima puluh ringgit baginya.

“Petang ni, bolehlah beli lekor di pasar malam. Mesti mama suka” katanya dalam hati. Saimah digelarnya mama walaupun sebenarnya agak berat lidahnya sebelum ini kerana masih teringat mak bapanya yang entah hidup atau mati di Filipina tanpa keluarga. Dalam seminggu, pasti Kadir akan mengingau semalam dua. Menangis dalam tidur sambil memanggil-manggil maknya. Sebelas tahun yang sepatutnya dimanjakan oleh mak bapa sudah menjadi masa bertegang urat, berjemur di bawah panas terik untuk mencari sesuap nasi.

Tapi, Kadir sudah tidak mengeluh tentang kerjanya itu. Lebih-lebih lagi kawannya Janjan dan Pok juga membuat kerja yang sama. Walaupun Janjan dan Pok tidaklah senasib dengan dia. Mereka masih beribu berbapa bahkan ada abang kakak yang masih sayang dengan mereka walaupun kekadang makan penyepak sebab pulang ke rumah dengan badan yang kotor berlumpur selepas bermain di belakang pasar.

***

Kehidupan mereka tetap sama. Tidak pernah mereka bercerita tentang kekayaan, apatah lagi harta untuk disimpan.

“Dir, nasib tuan rumah nda juga paksa mama untuk bayar cepat sewa rumah ni. Kebetulan tuan rumah ni bekas kawan pak cik Rostam kau. Baik dan dia faham keadaan mama” sambil Saimah mengusap ubun-ubun Kadir yang menumpang baring di atas pehanya.

“Mama sudah anggap Kadir macam anak mama sendiri. Mama ni bukan ada harta. Selain kereta sorong dan bahai bikin jualan, Kadirlah harta mama” matanya berkaca-kaca. Menakung air mata sebak tapi ditahan daripada tertumpah ke atas pipi kurus Kadir. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan anak angkat kesayangannya itu.

“Ma, kalau Kadir pigi Filipin cari mama papa Kadir, bolehkah Ma?” serak-serak suara Kadir. Matanya kuyu penat bekerja seharian di pasar. Air mata yang bertakung di kelopak mata Saimah tadi memuntahkan isinya. Jatuh menjunam menusuk pipi kurus Kadir. Namun Kadir tidaklah terlalu terkejut. Perbualan semacam ini sudah biasa baginya bersama Saimah semenjak dia menjadi sebatang kara.

“Nda boleh nak. Kadir masih kecik lagi. Nanti kalau Kadir sudah besar sikit dan mama sudah kumpul duit banyak sikit, kita cari mama papa Kadir ya” pujuk Saimah.

“Jahat bah polis ni. Diorang kasi pisah Kadir dengan mama papa Kadir. Polis budu” suara serak tadi mula keras. Ada bunyi dendam.

“Sudahlah diorang kasi pisah Kadir dengan mama papa Kadir, diorang kadang halau Kadir, Jijan sama Pok di pasar. Diorang bilang nda boleh jual-jual bahai sana” tambah Kadir.

“Kadir ingat tu, waktu polis tendang sayur mama. Diorang halau mama bejual di siring pasar tu. Kadir nampak dari tingkap” sambil menunjuk ke tingkap bilik mereka yang tidak berlangsir.

Saimah berdiam. Ibu jarinya mengurut-urut kening nipis Kadir. Dia tidak mampu memadamkan api di dada anak kecil itu. Dia cuma boleh memastikan Kadir selamat dan dapat makanan setiap hari. Mereka hanya perlu berjuang untuk makan, tempat tinggal dan keselamatan. Sayur, bahai dan kereta sorong sahajalah yang boleh melangsungkan hidup mereka buat masa ini.

 

Glosari

  1. Bah – Baiklah
  2. Bahai – Beg Plastik
  3. Nda – Tidak
  4. Babai – Selamat Tinggal
  5. Pigi – Pergi
  6. Kasi – Bagi
  7. Budu – Bodoh
  8. Siring – Tepi

Leave a Reply