PRU14: BELIA & MAHASISWA, KETING DEMOKRASI RAKYAT

Pada 1 Mac 2018 lalu, YAB Dato’ Sri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia,menerima serahan Kanvas Belia TN50 yang mengandungi 60,000 aspirasi rakyat untuk rakyat. Aspirasi hampir 2 juta rakyat, khususnya anak muda yang terangkum dalam 6 tema,merentas 16 bidang.
 *
Pada 8 Mac 2018 pula, Pakatan Harapan pula melancarkan Buku Harapan yang mengandungi manifestonya menjelang Pilihanraya Umum ke-14; dengan 5 teras utama, 5 iltizam khusus,60 janji dalam masa 5 tahun dan 10 janji dalam 100 hari, sekiranya memerintah.
*

Persamaan yang ketara antara kedua-duanya ialah fokus yang diberikan kepada belia secaraistimewa. Kanvas Belia TN50 merupakan bukti komitmen Perdana Menteri berkait secara tidak langsung dengan kenyataan beliau pada 31 Januari 2018 di Kuala Selangor yang menyatakan bahawa janji kerajaan Barisan Nasional adalah kenyataan bukan retorik.

*

Manakala Pakatan Harapan didalam 5 iltizam khusus meletakkan secara khusus satu iltizam buat belia; mengasah bakat dan mencipta peluang untuk anak muda.

Kepentingan sangat nyata penting melihatkan kepada nada kedua-dua belah pihak. Terlepasdaripada menentukan sama ada ini merupakan strategi meraih undi; memandangkan belia mewakili mencecah 50 peratus populasi Malaysia dan hampir 60 peratus pengundi menjelang PRU14, daripada 18.1 juta pengundi sah menjelang PRU14.

*

Dalam pada itu masih ada 2.43 juta belia yang tidak berdaftar sebagai pengundi; ini menwakil dua pertiga daripada 3.7 juta rakyat Malaysia yang tidak berdaftar sebagai pengundi menurut Merdeka Centre. Tambahan pula , menurut kajian yang dikeluarkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mendedahkan lebih 60 peratus belia yang masih tidak membuat keputusan mengenai parti mana yang akan diundi.
Mahu atau tidak penyertaan belia dalam pelbagai sektor sangat penting demi memastikan pembangunan dan perkembangan negara yang positif; di dalam sektor ekonomi, teknologi, inovasi dan politik. Walaupun, posisi belia itu tidak tinggi atau signifikan tapi penyertaan belia sangat mengesankan secara keseluruhan; lesu belia, lumpuh negara.

 *

Oleh yang demikian, sikap belia terhadap janji-janji yang dibuat oleh parti-parti politikmelalui manifesto mereka mesti diluruskan. Ketahuilah dan yakinlah bahawa dalam arena demokrasi ini, kedudukan belia lebih daripada sekadar meminta faedah daripada parti politik bertanding. Belia seharusnya menjadi teraju Pilihanraya Umum kali ini.
Maka apa yang boleh belia kerjakan menjelang PRU14, pertama, adalah pilih manifesto terbaik. Keghairahan kita dengan tawaran-tawaran yang dijanjikan oleh parti mesti disikapi dengan tenang dan matang. Maksud manifesto terbaik terangkum di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang dibaca Tunku Abdul Rahman pada 1957, ““…akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan diantara segala bangsa.”
Untuk itu, belia mesti rujuk Laporan Ketua Audit Negara dan laporan-laporan kewangan untuk melihat kecekapan perbelanjaan kerajaan; Persekutuan dan negeri-negeri. Rujuk laporan-laporan daripada agensi-agensi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan laporan-laporan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengenai kedudukan Malaysia dalam pelbagai hal di taraf antarabangsa. Daripada laporan-laporan itu, belia seharusnya dapat menggarap idea umum mengenai apa yang Malaysia perlukan untuk 5 tahun akan datang.
*
Kedua, belia perlu mendesak manifesto terbaik untuk masyarakat minoriti; kumpulan yang tidak mempunyai suara dominan. Belia tidak wajar sekadar memberi perhatian kepada manfaat sendiri; biasiswa, insentif kewangan dan peluang pekerjaan. Belia dengan tenaga dan semangatnya seharusnya mewakili golongan yang tidak kedengaran rintihan dan suara mereka; masyarakat orang asli, luar bandar, miskin bandar, dan segolongan kecil yang ketinggalan dalam arus perdana.
Ambil semangat Gwangju 1980 and Jakarta 1998, semangat belia mendepani roh demokrasi negara. Kental dan tegas memperjuang keadilan dan menegakkan kebenaran. Bukan ciri keganasan dan kekerasan yang kita ambil. Sebaliknya, semangat berani bersuara ketika tidak dibenarkan untuk bersuara. Apatah lagi, Malaysia merupakan negara dengan ditangga ketiga demokrasi terbaik antara negara-negara ASEAN menurut Economist Intelligence Unit (EIU).
Belia tidak perlukan keganasan untuk menyuarakan pendapat, sebaliknya menggunakan segala ruang demokrasi yang ada sebaiknya.

 *

Ketiga, belia mesti memilih lapangan untuk menyumbang kepada negara melalui demokrasiini. Sumbangan melalui dalam parti atau luar parti bukan persoalan, yang penting ialah menyumbang. Belia yang tidak menyumbang langsung merupakan suatu kegagalan yang sangat menghampakan.
Tambahan pula, hanya kerana penyertaan dalam parti atau tidak
menyertai parti, tidak menjadikan seseorang itu lebih baik atau kurang berbanding yang lain.
Bagi belia yang menyertai parti politik, pastikan aspirasi anak muda tidak digoyahkan dengan tuntutan bersifat politik semata-mata. Juga, anggotailah jentera parti untuk berkempen dan bertemu dengan rakyat; pastikan jentera digerakkan dengan hemah, ramah, berakhlak dan tidak provokatif.
Bagi belia yang memilih untuk menyumbang diluar parti, Malaysia memerlukan kita untuk memberikan cadangan dan analisa mengenai keperluan semasa dan mendesak negara.
*
Sumbanglah kepada proses pilihanraya dan demokrasi ini dengan memberikan input-input serta sintesis data-data yang sewajarnya diketahui oleh masyarakat umum; muda-tua, bandar-luar bandar.
Belia harus menginsafi nasib rakyat negara-negara seperti Korea Utara, Chad, dan Congo yang dikategorikan sebagai negara autoritarian melalui Indeks Demokrasi 2017 oleh EIU.
Berbanding Malaysia yang secara relatif mempunyai ruang dan mekanisme demokrasi yang berfungsi dengan baik. Maka, belia mesti manfaatkan ruang ini untuk mempertahan kebebasan sedia ada dan menambahbaik kebebasan ini.
 *
Kesimpulannya, belia umpama keting, negara ibarat tubuh. Keting itu kecil bahagiannya pada tubuh, tapi kalau tidak kerana keting tidak akan berdiri tubuh itu. Seruan kepada belia adalah untuk mendongak wajah, berdiri dengan gagah dan megah. PRU14 bukan pilihanraya yang mempermain dan mempercatur masa depan belia dan negara. Pilihanraya kali ini, mendesak belia untuk berpartisipasi aktif dalam proses demokrasi dan semua proses pilihanraya.

Bangkit belia untuk negara. Hidup biar berjasa.

IRFAN FARUQI MOHAMAD FAIRUS
Exco Penerangan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 2017/2018.

Leave a Reply