Pengangguran – Bukan Masalah Graduan, Tapi Menteri

Sikap menteri yang memilih dalam mendedahkan statistik kebolehpasaran graduan menjadi punca peningkatan tahap pengangguran di negara ini.

Berhubung kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada sidang media selepas majlis pelancaran TRC Edu Centre di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada 20 Februari yang lalu.

Beliau berkata, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi negara ini meningkat sebanyak empat peratus bagi tempoh empat tahun mulai 2014 hingga 2017.

Apabila kajian pengesanan graduan pendidikan tinggi yang dipetik beliau diteliti Mahasiswa Pakatan Harapan, peratusan peningkatan kebolehpasaran graduan meningkat dengan kadar yang lebih rendah jika tempoh masa lebih panjang digunakan.

Contohnya, jika kiraan dibuat berdasarkan tempoh masa sembilan tahun, kadar kebolehpasaran graduan hanya meningkat sebanyak 3.2 peratus daripada tahun 2008 hingga tahun 2017. Oleh itu, kadar peningkatan kebolehpasaran graduan boleh dikatakan meningkat dengan jauh lebih rendah jika diambil tempoh masa sembilan tahun daripada empat tahun seperti dinyatakan.

Berdasarkan kajian yang sama, walaupun kadar peratusan kebolehpasaran mungkin meningkat 1.4 peratus dalam tempoh lapan tahun namun daripada segi jumlah pengangguran di kalangan graduan selepas enam bulan tamat pengajian sudah meningkat seramai 20,574 graduan pada tahun 2016 dari tahun 2008.

Ia jelas menunjukkan bahawa walaupun peratusan kebolehpasaran graduan meningkat, namun dari segi jumlahnya lebih ramai graduan menganggur selepas enam bulan tamat pengajian dari tahun ke tahun.

Sementara itu, Mahasiswa Pakatan Harapan turut membidas jawapan Dato’ Seri Idris Jusoh terhadap kenyataan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yang Berhormat (YB) Mohd Nor berkenaan fungsi Taman Ilmu, baru-baru ini.

Pertama, walaupun projek Taman Ilmu yang sudah lama terbengkalai itu sudah cuba diberikan nafas baru oleh pelbagai pihak, persoalan pokok bagaimana peruntukan RM300 juta daripada wang rakyat boleh terbengkalai begitu sahaja selama bertahun-tahun lamanya kekal tidak berjawab. Mahasiswa Pakatan Harapan mendesak supaya satu siasatan dijalankan bagi mendapat pengesahan jika terdapat unsur-unsur pecah amanah di dalam urusan pemberian tender pembinaan Taman Ilmu itu.

Kedua, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa kenyataan Dato’ Seri Idris Jusoh berkenaan usaha Kerajaan Negeri menjadikan Terengganu sebagai pusat Pendidikan adalah jauh lebih indah khabar dari rupa. Jika diteliti kajian pengesanan graduan tahun 2016, kadar pengangguran graduan selepas enam bulan tamat pengajian oleh graduan yang bermastautin di Terengganu adalah ketiga paling tinggi dalam negara (29.8 peratus), diikuti Sabah (31 peratus) dan Kelantan (34.3 peratus).

Ketiga, Mahasiswa Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan sikap lepas tangan Dato’ Seri Idris Jusoh berkenaan isu Taman Ilmu itu apabila beliau membuat kenyataan bahawa ia merupakan sebuah projek nerajaan negeri dan bukan Kementerian Pendidikan Tinggi. Dato’ Seri Idris Jusoh perlu tahu bahawa rakyat Terengganu tidak akan lupa fakta utama berkenaan projek ilmu tersebut: projek itu diilhamkan beliau sendiri ketika mentadbir negeri terbabit sebagai Menteri Besar.

Akhir sekali, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin menggesa setiap graduan tempatan yang masih menganggur untuk menghukum kerajaan Barisan Nasional yang sudah gagal dalam tanggungjawab mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan mencukupi.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage
Mahasiswa Keadilan Malaysia

Khuzairi Mazlan
Mahasiswa Amanah Nasional

Leong Yu Sheng
DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti

SUMBER

Leave a Reply