KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan gejala rasuah dalam kalangan mahasiswa di negara ini di tahap membimbangkan susulan kajian yang dilakukan entiti itu pada tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas 1,000 penuntut universiti pada tahun lalu, pihaknya merekodkan 16 peratus dalam kalangan mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5 peratus pula sanggup memberi rasuah.

Sehubungan itu, pihaknya sedang menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyekat gejala rasuah daripada terus menular di peringkat akar umbi termasuk mahasiswa menerusi beberapa program dan kempen yang dijalankan di insititut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

“Kita melihat perkara ini (gejala rasuah) membimbangkan (dalam kalangan mahasiswa) sebab itu kita fokus program seumpama ini kepada mahasiswa, pada tahun depan kita akan membuat program bersama pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membolehkan mereka mempunyai kesedaran mengenai rasuah di peringkat awal,” katanya

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (Pemarah) 2.0 Borneo di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Lebih 500 mahasiswa terdiri daripada penuntut UMS menyertai program berkenaan dan Dzulkifli turut berkesempatan menyaksikan acara ikrar bebas rasuah dalam kalangan peserta program tersebut.

Untuk rekod, program Pemarah yang pertama kali diadakan di Universiti

Universiti Sains Islam Malaysia merupakan universiti pertama yang mengadakan program Pemarah dengan penglibatan seluruh kepimpinan mahasiswa di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Dzulkifli meminta semua golongan mahasiswa supaya sentiasa memegang prinsip 3J iaitu (Jangan hulur, Jangan kawtim dan Jangan settle) bagi memastikan negara ini terus bebas daripada gejala rasuah menjelang 2050 nanti.

Sementara itu, zulkifli berkata, pihaknya akan meneruskan inisiatif SPRM bagi meneruskan kempen rasuah termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir mengenai isu-isu rasuah di negara ini.

“Bermula esok, kita akan melaksanakan program ziarah kasih ke kampung-kampung yang mana sebelum ini dilakukan di beberapa kawasan di Semenanjung dan bagi Sabah, kita akan mulakan di daerah Keningau.

Leave a Reply