Pandangan

Ketika Mahasiswa Kalah dengan Budak Sekolah

Ketika Mahasiswa Kalah dengan Budak Sekolah
Maisarah Mohd Pauzi

                Saya tidak pasti mengapa saya rasakan menjadi kanak-kanak pada hari ini lebih sukar berbanding zaman kanak-kanak saya dahulu. Kalau diimbas kembali, mungkin sudah hampir sepuluh tahun zaman itu berlalu. Saya tidaklah begitu merindui atau mengenang zaman kanak-kanak, adakalanya bila cuba diingat kembali, terasa memori saya kabur.

Cuma persoalan ini timbul ketika berbual dengan adik-adik kelas tuisyen di sekolah lama saya. Waktu itu kebanyakan mahasiswa sedang bercuti semester. Pada mulanya sekadar bertanya akan keberadaan cikgu-cikgu yang pernah mengajar saya dahulu, masih berkhidmat di sini kah? Lalu mereka pun bertanya, ‘akak dulu sekolah kat sini ke?’

Dan saya pun cuba mencongak kiraan berapa tahun sudah saya tinggalkan sekolah ini. ‘Ya, 8 tahun lepas’.

Saya tidak pasti sejauh manakah perubahan yang telah berlaku dalam dunia kanak-kanak selama hampir sepuluh tahun meninggalkan alam kanak-kanak. Cuma, saya tidak terfikir yang rutin harian saya semasa kanak-kanak jauh berbeza dengan adik-adik pada hari ini. Mungkin ada sedikit perbezaan.

graduation

Seawal 7 pagi yang masih gelap, berpusu-pusu adik-adik ke sekolah. Ada yang berjalan kaki, ada yang menaiki basikal, tak kurang juga ada yang dihantar oleh ibu bapa. Mungkin itu pemandangan biasa pada setiap pagi hari persekolahan. Tapi, saya perhatikan juga, anak-anak kecil yang dihantar ke pusat asuhan oleh ibu bapa yang berkejar-kejar dengan masa untuk masuk ke pejabat, kanak-kanak riang masuk ke tadika. Oh, saya dah melalut pula nak tulis point sebenar tulisan ini. Haha.

Baiklah, kembali ke topik asal. Tentang adik-adik kita hari ini. Pukul berapakah mereka habis sesi persekolahan? Paling lewat, mereka akan habis kelas pukul 3 petang. Memandangkan saya bertanya kepada adik-adik calon UPSR, saya tidak rasa jadual mereka sama dengan budak darjah lain. Sesi persekolahan sebenar habis pada pukul 1.30. Tetapi disambung pula dengan kelas tambahan sehingga pukul 3.

Pada sebelah petang, mereka pergi mengaji Al Quran atau ada yang aktif terlibat dengan aktiviti kokurikulum. Malamnya pula,selepas maghrib, mereka pergi kelas tuisyen. Ya, di sinilah saya bertemu mereka. Tuisyen habis pada pukul 10 malam. Kalau dikira-kira semula, rutin harian mereka memang padat. Tapi mereka ternyata lebih bertenaga daripada saya. Dalam kelas tuisyen, ada saja kerenah mereka. Kalau saya datang sedikit lewat, mereka bermain kejar-kejar di tengah dataran perhimpunan. Kagum saya dibuatnya. Haha.

Tapi, itu baru sekolah rendah. Ketika adik saya pulang dari asrama pada hujung minggu, dia seakan membalas dendam tidak cukup tidur dengan men-qadha semula tidurnya. Haha. Sama seperti saya ketika berada di asrama dulu. Rutin hariannya di asrama, setiap pagi, sebelum Subuh diwajibkan berjemaah di surau sekolah. Kemudian, terus bersiap ke sekolah. Kalau adik-adik sekolah rendah calon UPSR sekolahnya habis pukul 3, adik saya di asrama, sesi persekolahannya habis pukul 4. Ya, memang pukul 4, bukan kelas prep petang (system sekolah asrama adik saya berlainan dengan sekolah asrama yang lain. Tapi, kalua ada beza pun mungkin sekolah lain ada kelas prep petang).

Selepas asar wajib turun riadah. Malamnya selepas Maghrib pula, menghadiri kelas prep malam. Saya bertanya juga tentang kerja sekolahnya. Katanya setiap hari, dai akan menyiapkan berpuluh-puluh soalan Matematik Tambahan, satu set soalan Biologi, dan beberapa subjek lagi. Begitulah rutin harian adik saya di asrama.

Dan saya terfikir, kenapa, setelah kita dibesarkan dengan disiplin dan jadual yang padat pada zaman persekolahan, kita tidak lagi sama berdisiplin di universiti? Bahkan kelas seawal 8 pagi cukuplah susah untuk dihadiri. Soalan tutorial juga rasanya jarang saya berikan komitmen seperti adik saya menyiapkan kerja rumahnya. Saya tidak pasti kenapa, saya rasa kalah dengan budak sekolah pada hari ini. Ya, janganlah perkara ini dibandingkan dengan sukatan pelajaran dan tugasan di university, sudah tentulah lebih berat di university berbanding di sekolah sesuai dengan tahap penerimaan pelajar. Tapi bukan setiap hari kita akan bertungkus lumus dengan assignment, hanya ada masa-masa tertentu. Di awal semester pula selalunya banyak masa senggang.

Cuma persoalannya, kenapa ya, budak sekolah hari ini lebih bertenaga berbanding kita di universiti?

Padahal, di alam pekerjaan nanti, kita memerlukan ‘disiplin budak sekolah’ untuk terus memberikan komitmen pada pekerjaan kita. Sekadar coretan saya yang kalah dengan adik-adik di sekolah. Mungkin Cuma saya yang kalah, atau segelintir saja yang sama seperti saya. Moga-moga, adik-adik kita menjadi teladan buat kita untuk memperbaiki diri.

 

Leave a Reply