Posted on

Siswa Tahun Akhir USIM ke Peringkat Dunia

SISWA tahun akhir Program Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Utama International Innovation of The Year (Diamond) bagi kategori industri di British Invention Show (BIS) 2017.

Berita – http://www.sinarharian.com.my/kampus/usim-ke-peringkat-dunia-1.754825

SISWA tahun akhir Program Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Utama International Innovation of The Year (Diamond) bagi kategori industri di British Invention Show (BIS) 2017.

Penganugerahan berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober lalu di Barbican Exhibition Centre, London.

Produk dinamakan Double Layered Roof Cooling System Controlled by Arduino direka khas tiga pelajar, Muhammad Fathi Mohd Said, Muhammad Danish Abd Wahid dan Ainul Husna Mohd Yusoff. Manakala Dr Mohd Azman Hashim @ Ismail selaku pensyarah pembimbing.

Lebih menarik, mereka mendapat inspirasi dari Surah Al-Furqan ayat 48-49 mengenai manfaat kejadian hujan untuk menghasilkan inovasi sistem penyejukan bangunan menggunakan elemen tenaga solar dan air.

Menurut Muhammad Fathi, inovasi ini merupakan sistem penyejuk menggunakan tenaga solar yang berfungsi menyejukkan sesebuah bangunan kepada suhu selesa.

“Ejen utama penyejuk ini menggunakan air dikitar semula dalam sistem tertutup. Haba panas yang terkumpul di bahagian bumbung akan dipamkan ke kolam penyejuk, kemudian digantikan dengan air yang telah sejuk di bumbung. Proses kitaran ini dikawal satu sistem yang boleh dilaras pada suhu tertentu bagi memastikan ruang dalam sesuatu bangunan selesa,” katanya.

Menurutnya, sistem penyejuk  mesra alam ini mampu beroperasi secara automatik dan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 40 peratus dengan penggunaan tenaga solar.

“Sistem ini berupaya meliputi keseluruhan bangunan berbanding ciri-ciri pendingin hawa sedia ada yang hanya dapat menyejukkan kawasan di mana dipasang.

“Penggunaan tenaga solar yang menyalurkan tenaga elektrik digunakan sepenuhnya untuk kawal aliran air yang dipam dan sistem kawalan. Keunikan produk ini adalah menggunakan teknologi arduino sebagai pengawal sistem yang belum digunakan secara meluas dalam industri di Malaysia.

“Produk ini juga mudah alih kerana boleh dipasang mengikut keluasan bangunan, selain mudah dipindahkan ke satu-satu tempat. Ia beroperasi melalui dua kaedah iaitu automatik dan manual,” katanya.

Menurutnya, sistem berkenaan berfungsi secara automatik apabila mengesan suhu sekitar 34 celsius ke atas dengan mengeluarkan air di sekeliling rumah dan operasi akan berhenti apabila mencapai suhu 28 celsius.

“Hal ini merujuk kepada kajian dijalankan bahawa suhu 34 celsius adalah tidak selesa, manakala suhu selesa pada 28 celsius. Suhu semasa suatu bangunan dapat diketahui dengan merujuk skrin LCD,” katanya.

Anugerah berkenaan merupakan pencapaian terbaik Usim di BIS sejak 2013.

http://www.sinarharian.com.my/kampus/usim-ke-peringkat-dunia-1.754825

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *