Oleh: Naim Fahmi

Aku tak pasti kalau lembu-lembu ini ditambat tanpa rasa bersalah oleh pelarian Rohingya di Selayang. Tapi ianya mula dijadikan isu yang kuat untuk dijadikan peluru buat fasis menembak mereka di sini. Jika ya, kita ada benda penting untuk dibincangkan secara santai sebelum terlajak mengajarkan kepada anak-anak bahawa “Bangsa Rohingya Bangsa Pengotor” dan menjadikan ia sebab untuk bersetuju pada sebuah kerajaan yang melakukan penghapusan manusia dalam skala besar.

Orang kita barangkali tidak pernah melihat masyarakat yang tidak dapat menjaga kebersihan seperti ini (dengan menambat lembu merata-rata). Di Malaysia, kita ada cara pandang dan nilai sosial (apa yang dianggap baik dan buruk) tersendiri apabila menyentuh aspek kebersihan baik secara tradisi atau dikonstruk oleh pemerintah melalui undang-undang. Ya, kerajaan misalnya mempengaruhi pembentukan nilai sosial melalui wacana, kempen, dasar dan pelan berkaitan kebersihan. Dahulu, merokok di tempat awam dianggap biasa, tapi setelah diwartakan undang-undang berkenaan merokok di tempat awam sebagai kesalahan maka masyarakat mula menjauhinya dan menganggapnya devian (menyimpang dari nilai sosial).

Berbalik kepada lembu yang ditambat ini, bagi orang kita ianya adalah suatu yang aneh, pelik dan janggal setelah berpuluh tahun tidak melihat seekor lembu ditambat di kaki lima bangunan. Najis lembu ini sudah tentu akan mencacatkan pemandangan dan mengundang pencemaran di kota. Bagi Rohingya, mungkin ini pandangan biasa dan bukan suatu masalah di tempat asal mereka. Cara mereka beradaptasi dengan alam dan persekitaran barangkali mempengaruhi nilai tersebut, ia suatu yang natural sebenarnya.

Yang menjadi masalah, lembu ini tidak ditambat di Arakan, tapi di Selayang. Secara langsung, berlaku pertentangan nilai sosial yang dipegang oleh masyarakat lokal dan pelarian ini. Pelarian Rohingya, mereka tidak melarikan diri ke tempat lain dengan membawa batang tubuh mereka sahaja, tapi mereka membawa nilai sosial yang telah mereka anuti sejak kecil. Sesuatu nilai sosial sukar dibuang kerana ianya menjadi nilai ‘tercernakan’ atau ‘mendarah daging’ (internalized value) yang kemudiannya mempengaruhi tingkah laku mereka di bawah sedar. Macam orang buang sampah merata-rata tanpa rasa bersalah dan anggap ianya perkara biasa, mungkin orang ini tidak ditanamkan dengan nilai bahawa perlakuan tersebut tidak baik.

Tidak ada etnik yang mewarisi tingkahlaku sosial secara biologi, baik dalam aspek penjagaan kebersihan, kesihatan dan lain-lain. Seorang bayi dilahirkan dari rahim seorang Jepun, tidak akan secara tiba-tiba mewarisi sikap penjagaan kebersihan seperti ibunya yang dicemburui dunia itu, melainkan sikap itu diwarisi melalui satu proses yang dinamakan sosialisasi (process of socialization). Bayi-bayi dilahirkan ‘kosong’, justeru proses inilah yang mengisi kekosongan tersebut lalu membentuk personaliti bayi ini sepanjang proses tumbesaran. “Bapa borek anak rintik” satu peribahasa yang sesuai untuk menjelaskan kefahaman tentang proses ini.

Namun, proses sosialisasi tidak pernah berhenti sehinggalah seseorang itu tidak lagi mampu menggunakan pancainderanya bagi berhubungan dengan persekitaran. Selagi pancainderanya masih berfungsi, maka kita ada cara yang rasional untuk mengatasi masalah tersebut. Ini kerana, nilai sosial yang dominan mampu mengatasi yang tidak dominan.

Seandainya benar pelarian Rohingya ini tidak memegang nilai sosial yang sama dengan lokal dalam aspek kebersihan, mereka terdedah untuk disosialisasikan dengan nilai-nilai tempatan yang dominan. Mereka tak rasa menambat lembu merata-rata itu salah, namun masih ada ruang untuk kita mendidik mereka bahawa perkara itu salah. Begitu juga dengan hal-hal yang lainnya. Dengan mempertimbangkan rasa kemanusiaan, ianya mungkin suatu tugas yang berat bagi kita sebagai masyarakat tempatan. Tapi lebih baik dan berbaloi daripada menunjukkan sikap tidak berhati-perut dan konon-konon terdesak nak menghantar mereka pulang serta sanggup berkompromi dengan penyembelih manusia.

Sengaja ambil topik kebersihan buat sembang, walaupun bukanlah lembu ini sahaja membuat kita prejudis pada etnik Rohingya yang menumpang. Sesungguhnya lembu-lembu korban ini telah membantu kita untuk memahami bahawa tidak ada bangsa atau etnik yang dilahirkan untuk menjadi pengotor. Lebih penting lagi, tidak ada bangsa dilahirkan mewarisi sebarang sikap atau tingkahlaku ibu bapanya melalui warisan darah dan warna kulit.

Tak perlulah herdik sesuatu etnik lebih-lebih semata nak melampiaskan sakit hati yang terpendam selama berhubungan secara peribadi dengan beberapa orang dalam kalangan mereka. Kita pun tak hendak orang luar pandang dan generalisasi bangsa kita sebagai bangsa pengotor disebabkan sampah sarap selalu memenuhi stadium. Sebaik-baiknya kita merenung kembali sejauh mana kita mempraktikkan nilai-nilai kebersihan dominan yang diajarkan selama ini agar tak menyusahkan orang awam.

Harap tak ada komen tak cerdik yang kata aku rela lembu ini ditambat di situ. Belajar dari Nabi saw, ketika Badwi kencing di penjuru masjid, Nabi melarang orang tempatan Madani mencelanya. Bukanlah bererti Nabi berkehendak Badwi tersebut mengulanginya, tetapi kerana sedar bahawa Badwi tersebut belum mengerti tentang akhlak.

Leave a Reply