Masyarakat adalah cerminan keberhasilan tugas akademia. Sekiranya baik keadaan masyarakat, justeru hal yang sama juga pada kerja buat akademia. Tapi sekiranya bobrok akal budi dan sulur akhlak masyarakat, maka gambarannya adalah diaspora ilmu yang masih tidak melata. Tugasan mengasuh dan mencerahkan fikir dan tindak masyarakat terletak pada pundak-pundak kaum yang rela digelar intelektual.

Bukanlah kerja kaum intelektual untuk membenarkan atau mengangguk pada keseluruhan fatwa pemerintah. Sekiranya wujud kesalahan pada sisi pemerintah justeru intelektual yang berada di barisan hadapan untuk menegur dan dibahaskan. Suluh dengan ilmu, leraikan dengan solusi.

Tugas sebagai akademia yang berintegriti dengan amanah ilmu di sepanjang sejarah bukanlah mudah. Imam an-Nawawi rahimahullah (676H) umpamanya, apabila beliau mempertikai dan menegur korupsi pada zamannya yang dilakukan oleh raja Syam (al-Malik al-Zahir) disebabkan tindakan mengenakan cukai kepada rakyat atas alasan ekspedisi ketenteraan, menentang serangan Tatar.

Di saat itu, kebanyakan ulama’ (akademia) lain sudah memberikan lampu hijau, menyokong tindakan raja tersebut. Walhal keadaan mahsul negara masih bertimbun tetapi dipejamkan dan digunakan untuk kemewahan peribadi pemerintah dan konco-konconya. Hingga akhirnya Imam an-Nawawi dibuang negeri disebabkan sikap vokalnya dalam memppersoalkan hasil negara. Berani kerana benar. Itulah bayaran yang telah ditanggung oleh beliau diatas sikap amanah beliau terhadap ilmu.

Mereka yang mendahului kita telah berkorban harta dan kenikmatan dunia hanya semata-mata atas sebab; melunaskan tanggungjawab ilmu yang ada.

Contoh ini menampakkan bahawa kaum intelektual yang ikhlas tidak menghambat keduniaan dengan mempertahankan kapasiti semasa. Jauh sama sekali. Bahkan teguh mendirikan kebenaran hatta dihadapan pemerintah yang rakus. Allah SWT juga telah menggambarkan betapa ilmuwan yang dahagakan habuan tidak ubah laksana anjing yang terjelir lidahnya kerana terlalu mengharapkan imbalan.

Ayat 176 surah al-A‘raf berbunyi;
‎وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ
“Orang-orang yang tidak mengamalkan ilmu, malah cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsu, mereka ibarat anjing yang menjelirkan lidah.”

Kini, pentas akademia sudah bercampur-baur. Mungkin salah budaya masyarakat kita juga; menjadikan pendidikan sebagai perkakas untuk mobilisasi sosioekonomi. Pendidikan sudah menjadi satu komoditi utama untuk digandakan tuaian. Maka lahirlah pandir-pandir yang dipatenkan mengikut kesesuaian pemerintah. Justeru, berleluasalah penyakit ‘diploma disease’ (terma Syed Naquib).

Mengimbau kembali pandangan yang diutarakan oleh Prof. Syed Naquib al-Attas berkait dengan ‘gejala diploma’ ini; iaitu usaha menghambat gelar pensijilan bukan disebabkan kepentingan pendidikan itu sendiri tetapi demi kepentingan sosial dan ekonomi.

Berkhidmat untuk ilmu bukannya mudah. Para ulama’ dan intelektual terdahulu telah merintis jalan ini dengan linangan air mata dan harapan. Sedangkan kita masih lagi berkira-kira soal laba dan keduniaan. Itu pun masih tegar menggelarkan diri sebagai ahli ilmu?

Mungkin ini adalah introspeksi untuk kita bersama.

Ditulis Oleh: Wan Muhammad Zuhir.

Leave a Reply