Isu membawa pulang pelajar yang terkandas di kediaman universiti masing-masing, menjadi perbualan hangat di pelbagai platform, hal ini kemudian telah mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Noraini Ahmad, yang lantas menyuarakan bahawa isu ini akan dibawa dalam perbincangan yang lebih lanjut dan teliti.

Namun usaha ini bukanlah satu usaha yang mudah memandangkan jumlah pelajar yang masih terkandas di kediaman universiti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencecah ribuan orang dari pelbagai negeri dan daerah, oleh demikian terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti dan mendalam, antaranya;

Perkara pertama, keadaan kesihatan setiap pelajar yang terkandas di universiti, ini adalah antara perkara yang amat penting dan perlu diberi perhatian dengan lebih ketat, agar pelajar-pelajar yang dibawa pulang tidak pulang bersama wabak yang akan membahayakan seluruh komuniti di kampung halaman mereka.

Kaedah terbaik bagi menangani isu ini pada pandangan saya adalah, agar pelajar-pelajar yang bakal di hantar pulang menjalani pemerikaan terlebih dahulu kemudian di kuarantin mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaubagaimanapun adalah lebih baik jika perkara ini dilaksanakan sejurus selesai urusan kuaratin rakyat yang baru dibawa pulang dari luar negara dan rakyat yang mempunyai hubungan dengan kluster Covid-19, hal ini kerana kita turut memikirkan kadar tenaga manusia yang perlu digunakan bagi menjalankan usaha ini, agak tinggi dan akan membeban para petugas kesihatan.

Perkara kedua, mekanisma yang akan digunakan dalam usaha ini, masalah utama ialah jumlah pelajar yang terkandas yang melibatkan ribuan pelajar, maka mekanisma yang digunakan mesti lah bertepatan bagi menangani isu ini. Antara mekanisma yang boleh dijalankan adalah mekanisma secara berperingkat dan berkala.

Pelajar-pelajar perlu dihantar pulang secara berperingkat bergantung kepada tahap kesihatan dan juga destinasi kampung halaman mereka, sebagai contoh mengutamakan pelajar yang sihat dan menetap di zon yang berdekatan terlebih dahulu, status tempat kediaman mereka juga perlu di ambil kira, kerana sebahagian daripada daerah di negara kita berada di fasa perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan.

Perkara ketiga, berkenaan dengan mod pengangkutan yang akan digunakan. Jika perkhidmatan bas yang digunakan, maka perlu dipastikan bahawa bas tersebut berada di tahap kebersihan tertinggi melalui proses pensterilan, sebagaimana yang dilakukan untuk membawa rakyat yang terkandas diluar negara ke pusat kuarantin.

Manakala bagi pelajar pelajar yang berasal daripada negeri Sabah dan Sarawak juga perlu dipastikan mod pengangkutan untuk mereka pergi ke lapangan terbang dan pesawat jugak perlu dalam keadaan selamat dari wabak.

Selain itu, isu sesudah pelajar sampai ke destinasi juga harus dipertimbangkan, siapa yang akan mengambil mereka sesudah mereka sampai atau pengangkutan yang disediakan akan terus menghantar pelajar di hadapan kediaman mereka, hal ini saya kira perlu bagi mengurangkan risiko penyebaran virus.

Kalendar akademik setiap institusi juga perlu diselaraskan bagi memudahkan urusan membawa pulang pelajar, kerana sehingga kini masih ada universiti yang melanjutkan pelajaran semester secara online manakala ada universiti yang telah memberikan cuti.

Memandangkan tempoh PKP dilanjutkan hanya sehingga 28 April maka agak kurang berbaloi jika ingin menghantar pelajar pulang kemudian mereka terpaksa melapor diri pada tarikh yang singkat ke universiti mereka semula, atau mungkin proses membawa pulang pelajar terkandas hanyalah khusus untuk pelajar di universiti yang telah diberi cuti.

Akhir kata, isu ini perlu diambil serius bagi memastikan keadaan fizikal dan mental pelajar terjaga dan dalam masa yang sama tidak menewaskan tujuan utama PKP dijalankan. Moga-moga isu ini dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak kerajaan Malaysia.

MUHAMAD HAFIZAN SHAFUAN BIN KAMARULZAMAN,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Kelab Wawasan UIAM.

Leave a Reply