KOMENTAR TERHADAP “MAT JENIN MALAYSIA; DULU BERANGAN, SEKARANG MEROYAN.” – TULISAN OLEH JABATAN KAJIAN DAN INTELEKTUAL SINERGI MAHASISWA ISLAM.

1. Saya telah terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang mahasiswa yang berkisarkan kritikan terhadap seorang pemimpin politik tanah air.

Sejujurnya perkara ini membuatkan saya berasa terkilan kerana di saat negara kita menghadapi bencana sehingga menimbulkan beberapa isu berkaitan dengan hal ehwal mahasiswa, seorang pimpinan pelajar boleh mengambil kesempatan untuk mengecam malah boleh dikatakan mencerca seorang tokoh politik melalui tajuk tulisan beliau.

Setelah membaca artikel tersebut dengan teliti, terdapat beberapa pandangan yang perlu dibetulkan.

2. Isi kandungan utama artikel ini adalah berkaitan dengan isu YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat beberapa video penjelasan setelah YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa dalam suratnya kepada pemimpin gerakan Islam seluruh dunia bahawa Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan Pakatan Harapan disokong oleh Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason.

Penulisan artikel ini mendakwa bahawa YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melakukan ”Strawman Falacy” apabila Dato’ Seri Anwar tampil menjelaskan bahawa beliau bukan anggota Freemason seperti yang dituduh, walhal hakikatnya dalam surat Dato’ Seri TG Abdul Hadi tidak membuat tuduhan bahawa beliau adalah anggota Freemason.

Maka, sebenarnya penulis artikel ini secara tidak langsung telah melakukan “Falasi Falasi” yang menyimpulkan bahawa penjelasan Dato’ Seri Anwar telah memfitnah Dato’ Seri TG Abdul Hadi dan akhirnya dikatakan sebagai meroyan.

3. Pertama, sekiranya benar Dato’ Seri Anwar melakukan ”Strawman Falacy” dalam videonya, artikel tersebut tidak boleh terus menuduh beliau berbuat sedemikian kerana selepas surat Dato’ Seri TG Abdul Hadi menjadi tular, beberapa isu telah timbul.

Terdapat beberapa pihak terutamanya dalam kalangan “cybertroopers” cuba menguatkan dakwaan Dato’ Seri TG Abdul Hadi dengan menyebarkan beberapa auta dan fitnah di laman media sosial yang mengaitkan Dato’ Seri Anwar sebagai ahli Freemason.

Bahkan, mereka turut menyertakan satu gambar senarai nama ahli Freemason yang mengandungi nama beliau. Maka, mereka yang tidak “bertabayyun” terlebih dahulu telah mempercayai fitnah ini.

Oleh itu, Dato’ Seri Anwar telah tampil memberikan penjelasan di dalam videonya bahawa orang yang bernama nama Anwar Ibrahim dalam senarai nama ahli Freemason bukanlah beliau, sebaliknya orang lain serta menunjukkan wajah sebenar orang tersebut. Ini merupakan hak Dato’ Seri Anwar untuk memberikan penjelasan tersebut.

4. Seterusnya dalam video yang berasingan, Dato’ Seri Anwar juga telah menafikan bahawa beliau dan Kerajaan Pakatan Harapan mendapat sokong oleh Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason.

Beliau tidak mempunyai kenalan rapat dengan Donald Trump ataupun Obama yang boleh membantu mencapai matlamatnya menjadi seorang Perdana Menteri, apatah lagi Singapura, Zionis dan Freemason.

Dato’ Seri Anwar menjelaskan bahawa beliau hanya mempunyai kenalan rapat daripada rakan- rakan lama di Amerika Syarikat semasa dijemput menjadi pensyarah di negara tersebut. Hanya dengan mempunyai kenalan rapat, penulis artikel Mat Jenin ini tidak boleh menyimpulkan bahawa Dato’ Seri Anwar mempunyai sokongan daripada pihak asing dan membenarkan kenyataan Dato’ Seri TG Abdul Hadi.

5. Apa yang menghairankan, Dato’ Seri TG Abdul Hadi langsung tidak menyatakan sebarang bukti berkaitan dakwaan Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan PH disokong oleh Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason.

Sebagai seorang ulama yang mempunyai kredibiliti, sudah tentu beliau tahu bahawa bahan bukti menjadi perkara yang amat penting dalam berhujah kerana dikhuatiri dakwaannya akan menjadi palsu ataupun fitnah, namun malangnya tiada sebarang bukti dikemukan sehingga hari ini.

Sekurang-kurangnya, suatu laporan telah dibuat kepada SPRM mengenai skandal wang bernilai RM 90 juta. Untuk membuat laporan kepada SPRM sudah tentu pelapor tersebut perlu mengemukan bukti yang mengesyaki berlakunya unsur-unsur rasuah. Walaupun SPRM mengesahkan bahawa tiada pemindahan wang sebanyak RM 90 juta ke dalam akaun PAS, sekurang-kurangnya tindakan telah diambil dengan melakukan siasatan.

6. Tidak salah untuk seseorang mempunyai impian yang tinggi, hatta terdapat kanak-kanak yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Namun, hujah mengaitkan Mat Jenin dengan Dato’ Seri Anwar adalah melampau.

Sekiranya benar beliau memang gila untuk menjadi Perdana Menteri, beliau tidak akan bersetuju untuk membenarkan Tun Dr Mahathir meletakkan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang APEC semasa mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi Pakatan Harapan pada malam 21 Februari 2020.

Beliau juga bersedia mengubah pendirian dengan menyokong Tun Dr Mahathir pada saat-saat akhir sebelum Kerajaan PN dibentuk. Dato’ Seri Anwar juga memberitahu pada media bahawa beliau akan dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau menerima UMNO dalam pakatan politiknya. Kenyataan yang tidak pernah dinafikan oleh pemimpin tertinggi UMNO membuktikan bahawa beliau tidak gila untuk menjadi PM ke-8 apabila kesempatan ini tidak langsung digunakan atas dasar prinsip perjuangan.

7. Akhir sekali, kritikan dan kecaman tidak boleh dipengaruhi oleh emosi dan perasaan. Apatah lagi hanya bersumberkan kepada seseorang individu sahaja dan bertaklid kepada manusia tersebut. Bagi mahasiswa, inilah masanya untuk kita bersatu padu mengembleng tenaga memikirkan isu-isu berkaitan pelajar semasa wabak COVID-19.

Perbincangan ataupun diskusi ilmiah dalam kalangan pelajar perlu diutamakan dan bukan mengecam tindakan orang lain tanpa pemahaman yang sebenar-benarnya.

 

CHE AIDIL ERFAN
Aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

NOTA PENAFIAN:
Pandangan yang diutarakan dalam hasil tulisan ini adalah menurut perspektif penulis dan tidak mewakili pandangan serta pendirian Sekolah Massa. Perkongsian ini juga tidak bermaksud menyokong mana-mana pihak melainkan sekadar tujuan diskusi atas dasar fakta dan kebenaran semata-mat

Leave a Reply