Saya amat hormat kepada Dr Zulkifli Al-Bakri. Tidaklah berlebihan andai saya katakan bahawa beliaulah agamawan yang paling saya hormati dalam negara ini.

Maaf cakap lah, saya rasakan YB Menteri Agama sangatlah lambat dalam bertindak terhadap COVID-19.

Isu Solat Jumaat.

Hari Khamis 12 Mac 11:58 malam, Ketua Pengarah Kesihatan telah menyiarkan kenyataan media dengan saranan agar semua perhimpunan melibatkan orang ramai ditangguhkan.

Namun, Menteri Agama telah bertindak bertentangan dengan saranan kerajaan sendiri dengan membenarkan solat Jumaat dijalankan keesokan harinya. Bukan sekadar itu, beliau giat melaksanakan kuliah-kuliah yang pesertanya duduk rapat-rapat termasuklah semalam.

Akhbar The Malay Mail menyiarkan bahawa beliau katakan beliau memerlukan masa “to iron this out”. YB, kita tak ada masa. Ketika siaran akhbar itu kita ada lebih kurang 3 jam sebelum solat Jumaat. Pendekatan “tunggu dan lihat” amatlah baik sebagai mufti, tetapi kini YB dah jadi menteri. Menteri perlu membuat keputusan walaupun dengan maklumat yang terhad.

YB boleh jamin ke kesemua 16,000 jemaah tabligh yang terdedah kepada COVID-19 akan mengikut prosedur “self-quarantine” dan tidak pergi ke solat Jumaat, sedangkan ada yang sehingga sekarang enggan pergi “check up”? YB boleh jamin ke kesemua kontak rapat kepada 16,000 jemaah tabligh itu juga akan mengikut prosedur “self-quarantine” dan tidak hadir ke solat Jumaat? Memang lah kita tak boleh jamin, tapi kenapa ambil risiko?

Bagaimana dengan memendekkan khutbah boleh mengelakkan sebaran? Bukannya pendekkan khutbah sehingga orang tak sempat batuk. Cukuplah orang batuk tutup mulut dengan tapak tangan, kemudian salam dengan orang kiri kanan selepas solat.

Kenapa saya marah? Sebab YB Menteri Agama sepatutnya bertanggungjawab terhadap semua Muslim dan Muslimah. YB sepatutnya jaga umat Islam. Laki-laki yang pergi solat Jumaat inilah yang akan balik cium isteri dan peluk anak-anak, bawa keluarga balik kampung sempena cuti sekolah dan bersalam dengan saudara mara.

Kenapa saya tak semarah ini untuk “travel fair” dan lain-lain? Sebab kehadiran ke sana ialah pilihan. Kehadiran ke solat Jumaat ialah wajib.

Lihatlah contoh “Khadimul Haramain Asy-Syarifain”, penjaga kepada dua tanah suci. Mereka terus tutup Umrah walaupun ketika itu COVID-19 belum teruk. Tuntas. Tegas. Pantas. Untuk memelihara umat Islam di seluruh dunia.

Sabtu, Kesatuan Ulama Islam Sedunia telah mengeluarkan kenyataan untuk membatalkan solat Jumaat dan solat jemaah di masjid. Menteri Agama Malaysia masih senyap.

Terbaru, ada pula berita JAIS batalkan penutupan Masjid Al-Munawwarah setelah ada ahli jemaah yang disahkan positif COVID-19 dan mengarahkan masjid untuk melakukan aktiviti seperti biasa.

Sekarang Ahad. Lebih 24 jam selepas fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia. Masih senyap.

Entah. Moga Allah pelihara kita semua.

 

Azhari Azizi

Pembaca Nadi Mahasiswa Malaysia

Leave a Reply