Aliff Naif – Mahasiswa Terpingir Harus Diberikan Keutamaan

MAHASISWA TERPINGGIR HARUS DIBERI PERHATIAN DALAM MENGHADAPI KOS SARA HIDUP YANG MENEKAN

Isu-isu melibatkan mahasiswa tidak pernah sunyi daripada telinga kita, sama ada isu kebajikan mahupun aktivisme para mahasiswa. Setiap isu yang berlaku bukanlah isu yang baru. Tema masalahnya sama, mungkin wataknya sahaja yang berbeza. Setiap kali isu-isu melibatkan mahasiswa berlaku, maka bergeraklah para aktivis mahasiswa daripada pelbagai gerakan mahasiswa ke medan perjuangan mahasiswa.

Gerakan mahasiswa sentiasa cakna dengan pelbagai jenis permasalahan yang melibatkan mahasiswa. Ruang lingkupnya sangat luas, meliputi perbincangan soal politik dan juga pendidikan. Namun, pada hemat penulis, isu yang paling patut dan perlu mendapat perhatian lebih ialah isu kebajikan mahasiswa, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga B40. Jika persoalannya adalah mengapa, saya boleh beri jawapan daripada sudut pandangan penulis. Mereka ini datang daripada golongan yang kurang bernasib baik daripada aspek kewangan. Permulaan mereka boleh dianggap lebih berliku jika dibandingkan dengan sebahagian daripada kita. Gerakan mahasiswa boleh membantu mereka daripada sudut kekurangan ini agar mereka boleh menumpukan pelajaran mereka tanpa perlu merisaukan hal perbelanjaan dan kewangan. Lantas mereka mampu maju setara degan rakan-rakan mereka yang lain. Hal kebajikan mereka ini jelas lebih penting daripada isu-isu lain yang berada dalam ruang lingkup gerakan mahasiswa.

Tambahan, keadaan ekonomi semasa yang kurang stabil sememangnya memberi tekanan dalam kehidupan seharian mereka yang datang daripada kelumpuk pendapatan rendah. Malah, saya mengenali rakan-rakan mahasiswa yang terpaksa bekerja, bukan setakat pada hujung minggu, tetapi juga pada hari minggu setelah tamatnya sesi pembelajaran. Mahasiswa yang kurang bernasib baik tidak sepatutnya melalui perkara sebegini. Tugas mahasiswa yang utama adalah untuk fokus pada pelajaran bagi mengubah masa depan mereka, bukannya merisaukan diri dengan soal kewangan. Gerakan mahasiswa harus membantu mereka, mungkin dengan inisiatif sendiri ataupun dengan kerjasama dengan pihak institut pengajian tinggi. Saya sebenarnya mendapati bahawa telahpun wujud inisiatif untuk membantu golongan ini seperti foodbank yang cukup mendapat perhatian baru-baru ini. Inisiatif yang dipelopori oleh gerakan mahasiawa ini terus dijadikan sebahagian daripada inisiatif di peringkat kerajaan.

Untuk makluman, saya merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), oleh itu isu mahasiswa sangat dekat di hati saya terutamanya soal kebajikan. Kami di pihak MKM sangat berminat dan komited untuk membantu rakan-rakan mahasiswa B40 yang terpinggir akibat daripada kos sara hidup yang menekan. Malah, baru baru ini terdapat isu di mana mahasiswa yang kurang bernasib baik tidak mendapat kolej kediaman di salah sebuah kampus UiTM walaupun keutamaan sepatutnya diberikan kepada mereka. Mereka juga mengahadapi kesukaran mencari rumah sewa kerana perbelanjaan yang tinggi. MKM didekati oleh mahasiswa-mahasiswa ini untuk membantu mereka dan memperjuangkan nasib mereka melawan kebobrokan sistem yang sedia ada. Kami berpendapat perlu kepada satu perubahan yang menyeluruh bagi sistem saringan pemilihan kolej kediaman sedia ada.

Mahasiswa Keadilan Malaysia mengajak dan menggesa rakan-rakan daripada gerakan mahasiswa yang lain, baik yang partisan mahupun yang non-partisan, untuk sama-sama membantu rakan-rakan kita yag kurang bernasib baik. Isu kebajikan mahasiswa perlu rentas parti dan rentas ideologi. Keutamaan perjuangan kita dalam arena ini harus ditujukan bagi membantu kumpulan terpinggir dan tertindas. Usaha ini memerlukan penggemblengan tenaga sesama kita, baik daripada segi tenaga kerja, mahupun daripada segi pengerahan idea. Oleh itu, sekali lagi saya mengajak dengan hati yang insaf, ayuh kita bersama dalam memperjuangkan nasib mereka yang tidak diendah oleh pihak yang punya kuasa dan autoriti.

“Mahasiswa Demi Keadilan Sejagat.”

Aliff Naif Mohd Fizam
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia

Leave a Reply