KENYATAAN MEDIA MAHASISWA KEADILAN MALAYSIA
[ISU PELANTIKAN PENGERUSI LPU UNISZA: HORMATI PRINSIP AUTONOMI UNIVERSITI & MANIFESTO PAKATAN HARAPAN]
Pada hujung minggu ini, bakal graduan mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin akan diraikan di Majlis Konvokesyen UniSZA 2018 yang akan bermula pada Sabtu ini. Mahasiswa Keadilan Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa dan selamat maju di dunia luar.
Ketika majlis konvokesyen semakin menghampiri, buat kali pertama selepas lama menyepi Dato Dr Muhammad Nur Manuty bersuara berhubung soal pelantikannya sebagai Presiden LPU UniSZA.
Saya mengambil maklum akan kenyataan beliau yang telah menjustifikasikan akan sebab kenapa tidak ada yang salah dalam pelantikannya sebagai Presiden LPU, di mana beliau telah mengatakan yang beliau tidak bertanding di dalam Pemilihan Parti KEADILAN Rakyat (PKR) dan juga telah menolak daripada dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN Perak yang juga telah dimaklumkan kepada Presiden KEADILAN, Dato Sri Dr Wan Azizah.
Bermakna, beliau telah menganggap bahawa tiada yang salah bagi beliau menjadi Presiden LPU kerana telah meletakkan jawatan dan tidak bertanding dalam pemilihan parti, sekaligus menganggap diri beliau sebagai orang yang tiada langsung kepentingan politik dan layak untuk mengepalai pentadbiran tertinggi universiti tersebut.
Beliau juga telah berkeras untuk tidak akan mengikut jejak langkah YB Menteri Dr Maszlee Malik yang diarahkan untuk mengosongkan jawatan sebagai Presiden UIAM dan ini juga mendapat perhatian YB Zuraida Kamaruddin yang menyatakan tidak perlu untuk mengosongkan jawatan kerana beliau bukan anggota kabinet.
Ingin sekali lagi saya mengajak Dato Dr Manuty untuk ingat tentang Janji 50 di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang mahu mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi dengan memberikan status autonomi kepada universiti. Maka, status autonomi bukan sahaja berkisar tentang universiti bebas mentadbir dan mengurus kepentingan universiti ke arah yang lebih kompetitif dan telus. Malah, antara cara untuk merealisasikan kewibawaan tersebut adalah dengan membebaskan institusi pendidikan tinggi daripada sebarang pengaruh politik di peringkat tertinggi dan ini juga telah dipersetujui oleh YB Menteri Pendidikan sendiri (Lihat di sini: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/maszlee-pernah-bantah-elemen-politik-di-universiti-gerak-184897)
Dan kini YB Menteri setelah didesak untuk menghormati prinsip autonomi universiti, maka beliau akur pada perkara tersebut dan mengikuti janji yang telah ditawarkan. Jadi, mengapa Dato Dr sukar untuk memahami keadaan ini?
Walaupun Dato telah menyatakan bahawa tiada lagi kedudukan dan jawatan dalam parti, tetapi Dato Dr tetap merupakan seorang ahli politik yang pernah mempunyai kedudukan tertinggi dalam parti dalam pada masa yang sama pernah terlibat sebagai calon dalam PRU yang lalu. Jadi, bagaimana Dato Dr masih lagi tidak faham bahawa universiti yang bebas tidak memerlukan ahli politik , samada berjawatan atau tidak, di dalam lembaga pengarah sesebuah universiti?
Sebagai mahasiswa yang berada dibawah naungan parti dan universiti yang sama, saya ingin mendesak lagi sekali untuk Dato Dr untuk ingat kembali Janji 50 Manifesto Pakatan Harapan, memahami dan menghormati prinsip autonomi universiti; tiada lagi ahli politik di dalam lembaga pengarah universiti.
Haissazc Shuqkin Hisham
Timbalan Presiden
Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Leave a Reply