[MEDIA SAHABAT]

Sambutan “Valentine Day” merupakan salah satu isu sensitif yang sering hangat di media massa. Ianya acap kali terkait dengan kempen seperti ” I am muslim , say No to Valentine Day” yang dianjurkan pelbagai pihak dalam usaha mereka membanteras masalah gejala sosial yang sering membelenggu remaja ketika ini.Namun ada sesetengahnya berpendapat, bahawa kempen seperti ini telah membina satu jurang besar yang boleh memecah belahkan perpaduan dan keharmonian kaum. Ini kerana terdapat agama lain yang merayakan hari Valentine Day dan ianya juga merupakan simbolik kepercayaan bagi mereka dalam menyebarkan kasih sayang.

Ayuh kita lihat dalam sejarah Romawi, perkataan Valentine dalam “Valentine Day” diambil dari nama seorang pendeta Roma yang hidup sekitar abad ke 3, pada kekaisaran Claudius II.

Sebagai seorang pendeta, Valentine lebih tertumpu kepada membangunkan peradaban berdasarkan cinta dan kasih dalam sebuah institusi kekeluargaan. Untuk itu, Valentine sering menggalakkan pernikahan dikalangan pasangan kekasih. Bahkan tugas ini pada akhirnya harus dilakukan secara rahsia kerana bertentangan dengan aturan Kaisar Claudius yang melarang pernikahan. Prinsip Claudius adalah untuk membangunkan kekuatan bala tenteranya, jadi Claudius melihat pernikahan dan percintaan boleh melemahkan kekuatan tenteranya. Pada ketika itu, ramai kaum lelaki tidak bersetuju kerana mereka tidak ingin berpisah dengan keluarga dam kekasih mereka.Justeru, Valentine dalam perjuangannya tetap ingin kasih sayang itu terus wujud dalam diri manusia.

Dalam lipatan sejarah Islam juga terdapat momentum “Valentine Day” yang dikenal dengan sebutan “Yaumul Marhamah” (Hari Kasih Sayang).

Peristiwa ini terjadi disaat penaklukan kota Mekah oleh kaum muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.
Ketika beliau dan kaum Muslimin berjaya kembali masuk ke Mekah dengan mudah dan tanpa pertumpahan darah dari kaum kafir yang dahulunya pernah menghina dan mengusir baginda, baginda malah datang dengan membawa salam kedamaian dan bukan semangat untuk membalas dendam. Dalam syarahannya baginda turut menyatakan, “… hadza laisa yaumil malhamah, walakinna hadza yaumul marhamah, wa antumut thulaqa…” (Wahai manusia, hari ini bukan hari memukul, melainkan hari ini adalah hari kasih sayang, dan kalian semua merdeka kembali ke keluarga kalian masing-masing).

Tidak hanya itu, bahkan Rasulullah juga turut membahagikan harta rampasan perang kepada kaum kafir Mekah. Sementara pasukan Islam yang menyertai baginda tidak mendapat apa-apa. Mereka mengeluh dan membantah. Terasa perjuangan mereka selama ini tidak berbaloi.Lalu Rasulullah mengumpulkan mereka dan baginda bertanya, “Sudah berapa lama kalian bersahabat denganku?” Mereka menjawab, sekian tahun. “Selama kalian bersahabat denganku, apakah menurut hati kalian aku ini mencintai kalian atau tidak mencintai kalian?” Tanya Rasulullah lagi dan segera dijawab mereka, “Tentu saja sangat mencintai ya Rasulullah”. Rasulullah SAW lalu mengakhiri pertanyaannya: “Kalian memilih mendapatkan unta atau memilih cintaku kepada kalian?”

Kali ini mereka tidak mampu berkata-kata lagi dan hanya menangis sayu kerana cinta Rasulullah SAW kepada mereka yang amat besar dan tidak mampu dibalas walau dengan apa jua harta sekalipun.

Lihatlah, bagaimana Islam juga amat menitikberatkan soal penerapan nilai kasih sayang sesama manusia.

Melalui dua substans sejarah ini, kita dapat lihat terdapat keserasian antaranya iaitu penyebaran nilai kasih sayang dalam diri manusia.Namun apa yang ditegah dalam agama ialah apabila berlakunya masalah dari sudut pergaulan yang berleluasa seperti seks bebas, alkohol dan dadah yang boleh memberi kemudaratan kepada manusia.

Justeru, janganlah sesama kita saling menghakimi, namun letakkan satu sudut keserasian dan toleransi dalam kepercayaan agama masing masing.

Kelab Sahabat Al-Hikmah menyeru sahabat yang beragama Islam untuk meraikan kepelbagaian dan kepercayaan di negara kita ini. Ayuh kita terapkan kasih sayang bukan sahaja pada hari Valentine, tetapi setiap hari dalam hidup kita.

::aslihnafsakwad’ughairak::

Sekian,
Muhamad Khairul Farhan Bin Zamanhuri,
Presiden sesi 2017/2018,
Kelab Sahabat Al-Hikmah,
Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Leave a Reply