Oleh: Farahani R.

‘Mahasiswa’ sebenarnya adalah tingkat awal untuk menjadi seorang intelektual. Ali Syariati menjelaskan bahawa intelektual ini ada dua jenis. Satu; intelektual palsu yang tahu mengkaji tapi tidak memberi. Dua; intelektual yang turun ke masyarakat dan memandu fikiran masyarakatnya.

Ada yang mentertawakan mahasiswa-mahasiswa kiri yang keras dan melawan sambil berlagak gembira dengan swafoto bersama menteri tua. Dia kata, untuk apa semua ini; kekerasan ini? Nanti jadi ‘bekas mahasiswa’, tiada apa-apa. Berkurung merah jambu, berbaju Melayu merah dan kadangkala biru – dalam perhimpunan besar yang menjunjung ideologi pahlawan kanibal yang dahagakan daging segar. Taring mereka bersinar, putih dan tajam. Sudah tentu, ini barangkali khayalan tersembunyi seorang penonton yang merenung televisyen lamanya.

Dia tahu, rakannya yang senyum bersama menteri tua itu seorang yang tajam kata-katanya. Lincah lidahnya mengumpul kata. Kapsyen gambarnya cukup membuatkan dia terfikir semula tentang istilah ‘mahasiswa’. Ali Syariati benar, Orwell juga benar – sejarah adalah suatu yang berbisa. Ramai pelawan-pelawan kerajaan, atau sekurangnya perintah kerajaan, suka mengimbau zaman pra-AUKU. Kata mereka, mahasiswa begitu besar pada waktu itu. Kerajaan takut dengan mahasiswa. Bahkan ketokohan Dr. Mahathir dulu bermula dari detik beliau menulis surat kepada Perdana Menteri pertama ketika itu. Mahasiswa begitu besar pada waktu itu.

Namun selepas AUKU dikuatkuasakan, media saluran perdana sudah menyebatikan isi mereka dengan upacara-upacara Parti utama. Ramai ghaib selepas mereka bertindak menongkah arus nasionalisme Parti. Orang biasanya diam selepas digertak dengan konco-konco berbadan tegap dan besar. Orang biasanya kaku selepas diseret ke balai polis atas nama siasatan. Orang biasanya terkencing selepas dipujuk seksa untuk mengeluarkan kenyataan yang sebenarnya bertentangan atau tiada kena mengenapun dengan dirinya.

Ada juga para pelawan ini masih hidup sehingga kini. Hidup untuk menyelesaikan idea mereka. Hidup untuk menyisakan kudrat mereka agar terus membetulkan kerajaan. Ada juga yang hidup sekadar hidup. Tapi ini cerita orang-orang yang sudi menempah maut dalam tangan kerajaan. Boleh saja Peristiwa Memali itu dipadamputih, digarishitam; namun selagi ada yang masih ingat, adalah imbauan tentang mengapa Parti memimpin itu hina.

Bagaimana dengan cerita orang yang malas berkecimpung dalam gelanggang buas tadi? Mereka berjuang dengan cara mereka sendiri. Kerana dia seorang Muslim dan percaya pada kitab suci Quran, dia sudi memetik surah Al-Lail (Malam) , 92. Tatkala dia merenung misteri malam dua bulan lalu, baru sekali ini dia terfikir untuk membuka kitab. Mungkin ini Tuhan mahu dia tahu.

“Sesungguhnya usahamu memang beraneka macam.” Bait ini buatkan dirinya tertanya dengan sendiri. Dia tahu kepincangan dunia zaman ini. Dia tahu kepincangan dunia zaman lalu, bahkan sejak sejarah pertama-tama kali disebut ‘sejarah’. Dia tahu kerana dia penuntut sejarah. Dia tahu bahawa arena politik bukanlah untuknya kerana dia tahu betapa liciknya sesebuah situasi politik harus dimainkan agar menepati matlamat asalnya. Ataupun dia saja salah sangka dengan karya Machiavelli. Mungkin dia silap faham menghubungkait gelanggang politik negara dengan Sun Tzu. Mungkin juga dia harus lebih memahami idea politik pasca modenisme – dia tidaklah begitu pandai. Rajin; mungkin.

Ali Syariati banyak menasihati benak fikirnya dengan hal intelektual ini. Lebih banyak dari Usman Awang. Intelektual sebenar, atau ‘rausyanfkir’ harus turun ke masyarakat. Intelektual sebenar, atau ‘rausyanfkir’ harus jujur dan ikhlas dalam membantu minda masyarakatnya. Intelektual sebenar, atau ‘rausyanfkir’ adalah otak kepada masyarakat. Intelektual sebenar, atau ‘rausyanfkir’ juga tidak semestinya orang yang berpelajaran tapi ia semestinya layak dikira jika ia mampu berfikir waras dan rasional, adil serta berhati manusia.

“Sesungguhnya usahamu memang beraneka macam.” Bait ini buatkan dirinya tertanya sendiri. Apa dia harus lakukan untuk menjadi seorang ‘rausyanfkir’? Lagi-lagi, dia seorang mahasiswa – maaf, bekas mahasiswa untuk sesiapa yang tegas dalam urusan pengiktirafan tamat pengajian – yang dirasakan berkuasa untuk membaiki minda masyarakatnya. Dia tidak mahu masuk dalam kolektif politik yang cuma menurut perlembagaan dan kehendak parti berbanding kehendak dan keperluan rakyat. Dia mahu jadi non-partisan. Dan ‘rausyanfkir’. Non-partisan dan ‘rausyanfkir’.

Malah, Ali Syariati menegaskan bahawa ‘rausyanfkir’ lebih baik tidak berada dalam mana-mana parti bagi mengisytiharkan kebebasan mindanya dan nuraninya dalam membangunkan minda masyarakatnya. Dia mahu menjadi ‘rausyanfkir’.  Dia mahu, tanpa segan silu, melucutkan jubah biru gelapnya. Itu semangat intelektual muda yang dilahirkan dari sesebuah gedung ilmu. Bukan semata-mata meminjam istilah ‘mahasiswa’.

“Siapa-siapa yang melihat gelaran ‘mahasiswa’ ini habis pada hari ia mengembalikan jubahnya, dan membawa diri lamanya tanpa ada apa-apa hasil pada masyarakatnya – maka sia-sialah ilmu yang terbeku dalam darah dan tahunya. Terbekam dalam kudrat perseorangan.” Tulisnya dalam diari hatinya. Tulisnya dalam jiwa nafasnya. Tulisnya dalam memaknakan semula apa itu mahasiswa.

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply