Mahasiswa Mahasiswi Tunjukkan Kemaluanmu!

Oleh: Alip Moose

Zaman kritik dan mencela ini sudah ada sebelum nabi Isa lagi, malah jauh sebelum nabi Muhammad, nabi terakhir. Tulisan ini menggunakan self-critics, ala-ala nabi Isa. Apa yang aku mahu self-critic? Aku mahu jadi mahasiswa, yang mengkritik mahasiswa dalam bab intelektualisma. Tapi hakikatnya aku bukan seorang mahasiswa, hanya lepasan SPM yang benci akan peperiksaan atas semangat Anarkisma – harapnya bukan alasan untuk lari dari kebodohan. Aku tidaklah anti-universiti, cumanya aku ragu-ragu terhadap segala yang berkaitan universiti.

Menjadi mahasiswa-siswi adalah satu kurniaan agong didunia. Mereka bergumul dengan segala wacana dan sosialisasi keintelektualan. Tapi akhir-akhir ini menjadi mahasiswa-siswi adalah trend atau bahasa aku; gaya-ikutan pemuda-pemudi masa kini. Mereka tidak ada daya-upaya untuk menggarap wacana dan sosialisasi intelektual, secara kritis dan kreatif. Alih-alih, mahu menunjuk hebat dengan memasuki politik kampus, Aspirasi, Inspirasi, Demokrat dan segala tahi monyet di kampus mereka. Gah dengan retorik dan kosong segala budaya intelektual.

Aku tak menafikan, ada mahasiswa-siswi yang sedar diri akan kepentingan intelektualisma. Hanyalah boleh dibilang dengan jari jua, dan kadang-kadang rupa yang sama ditambah pula dengan ego rendah yang ditonjolkan segala mereka dan otoriter mereka yang lama dalam wacana dan sosialisasi intelektualisma. Tapi apa itu intelektual? Secara umumnya intelektual itu adalah kecerdikan, kepandaian, dan kebijaksanaan. Aku tak mahu berbasa-basi untuk menerangkan segala konsep dan interpretasi intelektual itu apa.

Cubalah kita cermin diri sendiri. Menjadi mahasiswa-siswi, apakah yang membuatkan kita gah?

Apakah dengan membaca segala buku DuBook dan Thukul menunjukkan kita intelektual? Apakah dengan memetik kata-kata para ilmuwan disana sini, ditampal dilaman maya dan dibaju tanpa memahami dan membaca karya mereka sendiri dengan saksama sudah menunjukkan kita intelektual? Atau apakah kita menghadiri wacana ilmu tetapi tidur dan habis wacana kita bergambar bersama panelis dan muat turun dilama sosial sudah dianggap intelektual? Atau apakah dengan lulus peperiksaan sudah menunjukkan kita intelektual? Apakah kita sudah sedia menjadi seorang mahasiswa-mahasiswi yang benar? Persoalan diatas perlu dijawab sendiri oleh kalian yang bergelar mahasiswa-mahasiswi.

Aku disini bukanlah mahu kerjanya mengutuk sahaja para mahasiswa dan mahasiswi seperti seorang bekas Cikgu yang kecewa dengan pendidikan di Malaysia ini. Ya, memang kita kecewa dengan sistem pendidikan di Malaysia ini, penuh kecelakaan dan kebobrokan. Aku pesimis, tetapi dicelah pesimis adalah optimis. Untuk mengubah sistem pendidikan bukanlah kerja mudah. Ianya memerlukan kesadaran individual dan kesadaran kolektif. Baiknya juga aku kongsikan beberapa solusi atau alternatif untuk mahasiswa dan mahasiswi sekalian.

Ini sedikit perkongsian daripada kertas kerja yang aku baca daripada Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir. Aku cuba singkatkan ia secara baik dan juga sedikit tokok-tambah disana-sini.

  • Pertama: Budaya membaca/mentelaah, memahami, mengkritik/pandangan-balas
  • Kedua: Budaya perbincangan ilmiah
  • Ketiga: Budaya penyelidikan/Penelitian dan Penulisan

Baca, faham & kritik

Pertama, budaya membaca/mentelaah, memahami dan mengkritik/pandangan-balas. Sebagai mahasiswa-mahasiswi, perkara asas ini tak perlu lagi diulang berkali-kali kepada mahasiswamahasiswi. Kalian mestilah membaca sekurangnya 70-100 muka surat sehari, itulah paling minima. Bertandang di perpustakaan untuk mentelaah buku-buku bukannya dating dalam sana ditambah kesejukan penghawa dingin. Pensyarah juga mestilah budayakan mengkritik, pandangan-balas. Tetapi, pensyarah juga tiada daya-usaha ke arah itu. Padahal untuk menjadi pensyarah, itulah asasnya. Sama ada mereka tidak memahami apa yang mereka belajar selama ini, atau mereka sudah lesu menjadi arus konformis. Dan hal itulah menyebabkan salah satu sistem pendidikan tidak progressif.

Sepatutnya sifat membaca dan mentelaah mestilah ditanam dalam sanubari mahasiswa mahasiswi sejak azali, atau waktu menduduki sekolah menengah lagi. Pembacaan boleh saja bermula dari bawah, tapi mestilah progressif. Menaik ke atas, tidak boleh hanya static pada buku yang picisan lagi. Daripada popular ilmiah, naik kepada separa-ilmiah dan kepada ilmiah. Seperti mereka yang bersukan atau gym. Tidaklah mereka mengangkat berat 2 kg berbulan- bulan. Mestilah meningkat prestasi mereka itu.

Bagi mahasiswa-mahasiswi yang muslim, mereka mesti tahu bahawa budaya membaca adalah budaya islami. Telah termaktub di dalam Quran surah al-alaq ayat 1 hingga 5. Ditadabbur oleh sekalian ulama, dan malah jika kalian membaca serba sedikit sifat ulama pun, paling asas, mereka gemar dan minat membaca. Pembacaan pula, mestilah luar dari bidang, bukan sahaja tertakluk kepada bidang yang kalian pelajari atau minati sahaja. Dengan pembacaan melangkaui bidang, pasti ada kelebihan yang dapat ditimba bagi mereka yang membaca dan mentelaah itu. Dengan membaca pelbagai dan melangkaui bidang, mahasiswa dan mahasiswi pastilah dapat mengetahui segala teori dan falsafah, bukan sahaja kaku dan takluk kepada satu sahaja teori dan falsafah yang diajari oleh pensyarah kalian.

Budaya bincang

Kedua, Budaya perbincangan ilmiah. Budaya ini sangatlah kebelakang dikalangan mahasiswamahasiswi. Kerana ketiadaan sifat membaca dan mentelaah buku-buku ilmiah, ekoran itu, budaya perbincangan ilmiah tiada mendapat tempat dikalangan massa mahasiswa-mahasiswi. Jika ada pun, tidak menjadikan budaya ini, kekal. Kerana, seorang yang mengendalikan perbincangan itu sahaja yang menyuap, manakala yang lain pasif ekoran ketiadaan faham dan tahu akan apa yang dibincangkan oleh pengendali. Itu menyebabkan perbincangan ilmiah ada sekejap sahaja. Tak kekal lama.

Untuk kekalkan budaya ini, setiap individu mestilah tahu dan faham, atau boleh saja memberikan contoh beberapa karya ilmiah, separa-ilmiah dan popular ilmiah. Budaya ini juga memerlukan komunikatif-ekspresif antara setiap individu, untuk jayakan budaya ini. Jika ketiadaan asas ini, ianya seperti hangat-hangat tahi ayam. Malah juga akan dicemuh oleh orang luar, kadang-kadang yang dicemuh juga tiada tahu dan faham akan perbincangan ilmiah, kerana mereka sendiri juga tiada asas dalam keintelektualan.

Dalam kondisi perbincangan ilmiah juga, diharapkan, tiadalah menunjukkan belang. Semua individu yang berpartisipasi sama ada berhak menyatakan buah fikiran, dan para pengendali yang mahir usahlah menjadi otoriter totok. Adab itu ada juga sebagaimana kata Ibnu Khaldun, “Puncak dari ketinggian adab adalah saat engkau diam dan mendengarkan seseorang yang sedang berbicara kepadamu tentang sesuatu yang engkau ketahui dengan baik sementara dia tidak menguasainya.”Tetapi usah membiarkan teman dalam ketidaktahuan, boleh saja dikritik dipandang-balas dengan hujah dan saksama. Perbincangan ilmiah ini sangat penting, untuk kelangsungan intelektualisma mahasiswa-mahasiswi secara kolektif.

Selidik dan Tulis

Ketiga itu  budaya penyelidikan atau penulisan, lebih khusus ianya adalah tesis. Penyelidikan ilmiah yang diambil oleh mahasiswa-mahasiswi ini menunujukkan keintelektualisma mereka bukan lulus atau cemerlang peperiksaan. Seperti kata Dr Alinor, “Kepada saya, tahap budaya penyelidikan ini sepatutnya mestilah dikuasai oleh seseorang siswa/i tatkala beliau berada pada tahap ijazah sarjanamuda lagi. Maksudnya, beliau mestilah mampu menguasai bidang pengajiannya dengan baik sehinggakan beliau mampu memilih suatu subbidang untuk diteliti sebagai latihan penyelidikan. Tidaklah saya mahu mempertikaikan apakah kualitinya penyelidikan tersebut, iaitu apakah hanya berada pada tahap dokumentasi teori-teori ataupun penyusunan semula teori ataupun sanggahan kepada teori ataupun membangun teori baru ataupun hanya pada tahap pengambilan data.

Suatu yang amat pasti adalah, seseorang siswa/i disepanjang pengajiannya selama 3 tahun di universiti, beliau mestilah mengambil suatu subjek yang dipanggil kajian ilmiah. Terpulanglah, apakah tajuk kajiannya diberikan oleh penyelianya ataupun beliau sendiri yang mencari tajuknya berdasarkan pentelaahannya. Namun, dipertegaskan, jika tajuknya diberikan oleh penyelianya, beliau itu mestilah memahami bagaimana mahu menggerakkan kajian terhadap tajuk tersebut, dan bukannya di”perkudakan” oleh penyelianya. Kuda memperkuda ini sudah menjdi lumrah di universiti.

Saya mahu memaklumkan bahawa sebenarnya, tahap kajian ilmiah inilah yang menguji apakah seseorang siswa/i tersebut sebenar-benarnya menuntut selama 3 tahun di universiti berkenaan, dalam bidang pengajiannya. Segala andaian asas kepada pembangunan intelektual akan diuji tatkala melakukan kajian ilmiah ini. Jika seseorang siswa/i berjaya pada tahap ini, dan merasakan bahawa kajian-kajian yang sama boleh dilakukan kemudiannya, makanya budaya peyelidikan sebenarnya telah tertanam dalam sanubarinya. Inilah sebenarnya matlamat sebenar tertubuhnya universiti. Beliau akan berkhidmat dengan baik dalam masyarakatnya dikemudian hari kelak.”

Ya, kalian mahasiswa-mahasiswi, haruslah malu. Kerana otokritik dilakukan oleh aku yang bukan mahasiswa. Yang impikan perpustakaan dan halaqah intelektualisma dimerata tempat, untuk melahirkan intelektual yang tidak memegang bendera. Bukan menjadi penjiat segala politikus yang mengaku islamis, progresif atau demokrat. Atau membesar sebagai sarjana-sarjana feudalistik dan jilatisme.

***

Untuk bacaan lanjut perihal intelektual, bacalah, Intelektual Masyarakat Membangun oleh Syed Hussein Alatas & Intellectuals and Politics by Robert J Brym.

Leave a Reply