Oleh: Farhan Rosli 

Tahun 2017 memperlihatkan kejatuhan suara anak muda mahasiswa. Tanpa apologetik, saya berani menyatakan gerakan Mahasiswa kini umpama kehilangan arah tuju, dibius dengan gerhana kebisuan dan disuntik dengan jarum ketakutan.

Keadaan sebegini dilihat sebagai satu malapetaka pada sesebuah negara di saat barah salah guna kuasa, penyelewengan & rasuah yang sedang melanda Negara. Gerakan Mahasiswa umpama hilang arah, hanya menempel di balik gergasi politikus, terperangkap dalam dogma ketaksuban kepartian, gagal menposisikan peranan sebagai ‘effective civil society’ dan terjerat dalam paradoks kekeliruan identiti dalam memainkan peranan sepatutnya sebagai suara ketiga di tengah-tengah perkelahian gergasi politik kepartian.

Negara kita berada dalam keadaan kritikal. Krisis yang melanda negara kini dirasai seluruh lapisan rakyat baik  penoreh di ceruk Sik, Kedah, nelayan di pinggiran Mersing hinggakan mahasiswa sendiri di tengah metropolitan Kerinchi. Oleh itu kami usulkan beberapa cadangan bagi memperbaharui tekad dan azam perjuangan gerakan mahasiswa sebelum menjengah ke tahun baharu 2018.

 

Misi Keilmuan

Gerakan mahasiswa seharusnya tampil segar membawa misi pencerahan melalui pembugaran iklim intelektual bertunjangkan budaya ilmu. Intelektualisme tidak seharusnya dilacurkan sebagai tiket komersial memyebarkan pengaruh dan menegakkan kepentingan sesetengah individu berkepentingan namun seharusnya dihiasi dengan tradisi keilmuan yang utuh dan disiplin pembacaan yang mapan. Gerakan mahasiswa sewajarnya memanfaatkan universiti sebagai kota ilmu dalam menyiapkan ketrampilan diri seterusnya terjun ke kancah umat menampilan watak sebagai ‘enlightenment soul’ membantu memberi pencerahan terhadap kekusutan yang timbul.

 

Misi Kebajikan & Survival Mahasiswa

Hasil kekayaan negara ; balak, petroleum, kelapa sawit merupakan suatu anugerah tuhan yang harus disyukuri dan diurus tadbir dengan baik tetapi sayang dek kerana penyelewengan dan rasuah oleh penguasa kleptokrasi, masih ada kalangan mahasiswa menderita kelaparan mengikat perut dan membilang nasi untuk dimakan. Kroni kaya terus gemuk mengumpul harta, mahasiswa lapar terus kurus mengikat perut!!!

Oleh itu, kebajikan mahasiswa harus menjadi agenda utama gerakan mahasiswa. Kebajikan bukan sahaja seharusnya dinilai berdasarkan faktor materialistik seperti insentif dan bantuan kewangan, namun harus difahami dalam konteks yang lebih luas seperti survival ekonomi mahasiswa, peluang pekerjaan mengelak pengangguran, serta tawaran latihan bercorak komprehensif buat mahasiswa yang harus mencakupi pembangunan kompentensi dan ketrampilan mahasiswa.

 

Misi Kerakyatan 

Gerakan Mahasiswa harus merakyat!!! Amatlah mendukacitakan jika gerakan mahasiswa masih bertegang urat berebut pengaruh di universiti. Gerakan mahasiswa hanya relevan jika didasari watak sebagai advokator kepada permasalahan rakyat yang sedang melanda negara. Relevansi gerakan mahasiswa sangat bergantung kepada sejauh mana pimpinan Mahasiswa respon berkenaan dasar-dasar dan polisi negara yang memperjudi untung nasib seluruh rakyat.

Sebagai pemain zaman, untung nasib rakyat harus dibela. Kenaikan harga minyak, tekanan kos sara hidup dan penderitaan masyarakat miskin seharusnya dibela dan diangkat oleh gerakan mahasiswa sebagai bukti komitmen besar kita sebagai kumpulan pendesak yang kritikal terhadap polisi yang menekan rakyat.

Revolusi teknologi maklumat lewat media sosial seperti facebook, twitter dan instagram harus dimanfaatkan sebagai mekanisma baru menyuarakan keluhan rakyat selanjutnya merintis perubahan sebagaimana peranan yang Wael Ghonim, pemuda yang mencetuskan kebangkitan rakyat di Mesir pada 2011. Ini adalah suatu penegasan semula gerakan mahasiswa sebagai penyambung lidah denyut nadi rakyat.

Saya usulkan idea dan pandangan untuk ulasan dan perkiraan teman-teman.  Perubahan yang kita inginkan harus digarap dengan agenda jelas; jauh daripada emosi tidak terarah serta bukan permusuhan peribadi atau kefanatikan parti atau tokoh. Sesungguhnya perubahan adalah sesuatu yang tidak kita elakkan serta menuntut sebuah pengorbanan dari luhur dhamir mahasiswa yang cintakan negara. Wajar kita kembali memperkukuh sof perjuangan, memantapkan kesatuan serta mengetepikan perbezaan demi Malaysia yang lebih baik. Ayuh, teman-teman, bangkitlah demi negara yang tercinta.

 

AHMAD FARHAN BIN ROSLI

Bachelor of Law (‘Shariah)

Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law

International Islamic University Malaysia

 

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply