Sudah beberapa hari isu yuran Latihan Industri Universiti Malaysia Kelantan menjadi bualan hangat mahasiswa. 22 kolektif telah menunjukkan solidariti mereka dengan menyertai kenyataan bersama menolak kenaikan yuran yang mendadak ini. Saya agak terkejut apabila ada pihak yang beranggapan aktivis mahasiswa yang memperjuangkan isu yuran ini sedang memusuhi universiti. Bagi saya, ia adalah salah satu tanggapan yang salah. Hari ini saya akan memberikan beberapa poin tentang isu yang sedang berlaku.
- Kenaikan yuran adalah jelas berlaku. Pusinglah dan berilah apa sekali alasan, kenaikan yuran jelas berlaku, dari RM700++ ke RM1300++. Angka kenaikan ini dilihat terlalu besar dan tidak masuk akal. Saya yakin jika kenaikan yuran ini melibatkan jumlah kurang daripada RM100++, pastinya ia tidak akan menimbulkan isu yang besar.
. - Yuran pendaftaran dan yuran semester yang mahal. Jumlah yuran universiti merupakan antara yuran yang termahal di Malaysia, saya fikir kerana sudah terlalu lama memendam rasa akibat jumlah yuran yang mahal, semuanya diluahkan melalui kempen bantah yuran Latihan Industri ini. Yalah, sudah banyak wang dilaburkan untuk membayar yuran yang mahal, takkanlah ingin melakukan Latihan Industri pun masih lagi mahu dikenakan yuran yang mahal?
. - Janji Menteri Pendidikan Tinggi. Ketika bajet KPT dipotong, antara janji yang paling menonjol adalah tiada kenaikan yuran yang akan dilakukan oleh Universiti Awam. Mahasiswa ini sedang menuntut janji Menteri Pendidikan Tinggi, adakah itu satu dosa?
. - Saya berpandangan tidak ada isu Pensyarah-Mahasiswa, dan tidak perlu menimbulkan polemik yang tidak perlu. Pertama, ini adalah perjuangan mahasiswa, seperti pensyarah yang menyokong gerakan mahasiswa ini (tapi enggan menunjukkan simpati kerana khuatir hilang jawatan), saya rasa seperti itulah pensyarah yang tidak setuju dengan perjuangan ini untuk tidak perlu terlalu mencampuri urusan perjuangan mahasiswa. Perjuangan ini pastinya tidak akan memberi kesan kepada gaji mereka.
. - Adakah aktivis mahasiswa ini sedang memalukan universiti? Tidak sama sekali. Saya rasa mereka sedang memurnikan nama universiti. Universiti Malaysia Kelantan terkenal kerana yuran yang mahal, saya fikir jika perjuangan ini berjaya, pastinya ia akan memberikan impak yang baik kepada imej universiti. Kembali “merelevankan” universiti.
. - Saya juga percaya jika universiti mahukan bukti yang lebih empirikal tentang perbandingan yuran dengan universiti awam yang lain, saya pasti aktivis yang komited dengan perjuangan mereka akan berusaha menyediakan bukti-bukti tersebut.
. - Majlis Perwakilan Pelajar perlu memihak kepada mahasiswa, penurunan yuran harus diperjuangkan. Jika mereka berfungsi sebagai tembok pentadbiran, maka itu bermakna mahasiswa telah salah memilih wakil. Mahasiswa harus memihak kepada mahasiswa.
. - Kami di Nadi Mahasiswa sentiasa menyokong pergerakan mahasiswa, lebih-lebih kumpulan mahasiswa yang merasakan diri mereka sedang ditindas. Semoga aktivis mahasiswa yang memperjuangkan isu ini akan diberikan kemenangan.