Seminggu ini netizen disajikan dengan beberapa isu mengenai “Daging Harimau Menangis”, iaitu satu daripada sembilan bahagian daging lembu yang paling lembut.
Daging ini terletak di bahagian celah paha bahagian kaki belakang lembu, atau dikenali sebagai sirloin dalam istilah kulinari. Harga daging ini agak mahal di pasaran kerana teksturnya yang lembut, rasanya yang agak berlemak, dan pada setiap seekor lembu, otot lembut ini hanya ada pada dua bahagian sahaja.
Terdapat beberapa teori mengenai sejarah nama “Harimau Menangis” ini, namun teori yang paling terkenal datang dari Thailand, iaitu negara yang paling terkenal dengan menu daging harimau menangis atau “Suea rong hai”.
Terdapat sebuah mitos mengenai seekor harimau yang “menangis” apabila menyedari mereka sudah terlalu kenyang akibat memakan bahagian daging yang lain, sehingga tidak dapat memakan bahagian daging yang lebih enak dan lembut tersebut.
Hal ini kerana kedudukan daging tersebut yang terletak di celah tulang belakang lembu. Sungguh sentimental ya harimau di negara jiran ini.
Namun, bukan daging itu yang hendak kita bincangkan sini. Apa yang dapat diperhatikan di sini ialah bagaimana masyarakat zaman dahulu dapat menghubungkan perlakuan dan perasaan manusia dengan tabiat haiwan-haiwan liar, sehingga mereka dapat menganalisis tabiat pemakanan seekor harimau.
Ini jelas menunjukkan interaksi yang agak baik antara manusia dan alam sekitar sejak sekian lama.
Kepelbagaian spesies hidupan mempunyai hubungan yang rapat dengan kepelbagaian budaya di dunia. Perlambangan dari alam haiwan telah digunakan di dalam karya sastera Islam, termasuk puisi sufi dari Parsi.
Salah satu karya kerohanian Islam ialah Mantiqal-Tayr karya Farid Al-Din Al-Attar, yang mengisahkan penerbangan sekumpulan burung-burung untuk mencari dan menemui raja burung.
Sekumpulan burung tersebut membawa pengertian tersirat iaitu manusia yang dalam perjalanan rohaniah untuk menemui kebenaran.
Penyair terkenal, Jalaluddin Rumi, juga pernah menggunakan imej singa, rubah, dan anjing hutan sebagai lambang keinginan manusia untuk mencari Tuhannya.
Selain itu, umat Islam juga menggelarkan Hamzah bin Abdul Mutalib sebagai “Singa Allah”. Ini dapat dibuktikan lagi dengan penamaan surah-surah dalam Al-Quran, di mana tujuh daripada 114 surah dinamakan dengan nama haiwan, iaitu al-Baqarah (sapi betina), al-An’am (binatang ternakan), al-Nahl (lebah), al-Naml (semut), al-Ankabut (labah-labah), al- Aadiyat (kuda perang), dan al- Fil (gajah).
Dalam konteks Malaysia, kita dapat lihat banyak spesies haiwan tempatan dijadikan perlambangan dalam puisi, lirik-lirik lagu, dan logo-logo pasukan.
Antara spesies yang paling terkenal ialah harimau Malaya, atau Panthera tigris jacksoni. Lirik “jangan kejut harimau yang sedang tidur” daripada lagu Evo nyanyian Joe Flizzow yang menyarankan kita agar “jangan membangkitkan kemarahan seseorang, kerana kemungkinan besar buruk padahnya”, jelas membuktikan perlambangan ini masih digunakan sehingga kini.
Harimau juga sering menjadi perlambangan kepada sifat gagah dan berani. Oleh sebab itu, kita dapat lihat banyak logo dan lencana yang menggunakan harimau sebagai elemen penting.
Ini temasuklah dua ekor harimau yang gagah menghiasi Jata Negara, seekor harimau yang mengaum di dalam logo pasukan bolasepak Johor Darul Takzim (JDT), pasukan bolasepak negara yang sinonim dengan gelaran “Harimau Malaya”, logo Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang digagahkan dengan simbol harimau, dan banyak lagi.
Kita dapat lihat penggunaan perlambangan harimau ini merentasi zaman dan masih relevan dalam budaya pop masa kini.
Kijang juga merupakan haiwan yang tidak asing lagi dalam budaya Malaysia. Menurut Rahman Shaari, penulis puisi bertajuk “Kijang”, haiwan ini membawa maksud harapan atau hajat yang dicita-citakan oleh manusia.
Kijang terkenal sebagai haiwan buruan, dan pergerakannya yang pantas membuatkan mereka sukar untuk diburu.
Frasa “inilah waktu bertindak pantas, itu kijang jarang melintas” dalam puisi beliau membawa maksud peluang yang baik tidak akan sentiasa didapati. Pencapaian akan lebih bermakna setelah menempuh segala cabaran yang disifatkan sebagai memburu kijang liar.
Penggunaan kijang dalam logo Bank Negara Malaysia diinspirasikan daripada wang emas negeri Kelantan, yang menggunakan cap haiwan tersebut. Jata negeri Kelantan juga kelihatan megah dengan dihiasi dua ekor kijang berwarna emas.
Namun, tahukah kita, bahawa kedua-dua haiwan yang membawa maksud kegagahan dan harapan ini sedang diancam kepupusan akibat kerakusan manusia sendiri?
Harimau dan kijang kedua-duanya dikelaskan sebagai spesies terancam. Ya, haiwan yang kita banggakan, sedang diancam kepupusan.
Hal ini kerana kurangnya kita meletakkan penghargaan kepada hidupan-hidupan liar ini dan menganggap manusia sahaja ciptaan yang berhak mendapat kehiduapan yang baik.
Tidakkah kita risau, suatu hari nanti, apabila kita tidak dapat lagi menerangkan mengenai kegagahan harimau pada Jata Negara kepada anak-anak kita, kerana haiwan itu sudah tiada?
Apa yang akan terjadi dengan nilai estetika matawang kita, apabila haiwan yang telah pupus dijadikan sebagai logo Bank Negara bagi menggambarkan harapan rakyat Malaysia?
Kini tiba masanya untuk kita semua berganding bahu memelihara dan memulihara alam sekitar kita.
Dalam keperluan ekonomi yang mendesak, kita tetap perlu menjaga kawasan-kawasan alam sekitar yang sensitif dan tidak patut diganggu.
Hal ini kerana kawasan-kawasan ini memberi jaminan keselamatan bukan sahaja kepada haiwan-haiwan liar, tetapi kepada manusia juga, daripada ancaman bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh.
Apa yang kita boleh lakukan untuk membantu? Pertama, sebarkan kepada masyarakat mengenai status keterancaman haiwan-haiwan liar ini. Sertai forum, webinar, dan galakkan pembacaan untuk memahami isu ini dengan lebih dalam. Kedua, jadilah masyarakat yang prihatin. Elakkan daripada mencemarkan kawasan-kawasan hutan dengan sisa sampah daripada luar, lebih-lebih lagi apabila melakukan aktiviti pendakian bukit dan berkelah di air terjun.
Seterusnya, sebagai mahasiswa yang masih tiada “conflict of interest”, saya rasa sekarang adalah masa yang terbaik untuk kita mendesak pembuat polisi, agar dapat membentuk polisi yang bukan sahaja mementingkan ekonomi semata- mata, malah menjaga alam sekitar demi kesejahteraan bersama.
Semoga generasi akan datang dapat menikmati kepelbagaian biodiversiti pada masa hadapan, hasil usaha dan tindakan kita sekarang. Harimau sedang menangis.
Nizam Rahman
* Artikel ini telah disiarkan di Malaysia Dateline pada 18 Januari 2021*