SIDANG KEMUNCAK KUALA LUMPUR  2019 SUDAH, NAK BUAT APA PULA LEPAS INI?

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat senario dan adegan yang penting yang harus digarap secara terus di dalam acara yang julung kalinya diadakan ini di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada tahun ini. Pengerusinya iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohammad memulakan ucaptamanya selaku tuan rumah dengan menyentuh beberapa hal yang signifikan dalam konteks dunia Islam secara umumnya. Menghimpunkan 450 delegasi mewakili 56 buah negara, membuktikan bahawa keseriusan Malaysia umunya untuk mencari solusi mengenai isu semasa umat Islam.

Kehadiran beberapa tokoh berpengaruh dan terkemuka dunia Islam antaranya ialah Reccip Tayyip Erdorgan (Turki), Hassan Rouhani (Iran) serta Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamid Al-Thani (Qatar) juga turut sama hadir. Apa yang menarik, dikatakan bahawa Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menarik diri saat akhir dek kerana termakan dakyah Arab Saudi.
Arab Saudi dan sekutunya antara pengkritik besar terhadap acara ini. Ia seolah olah mengambil alih peranan secara tak rasmi Organisation of Islamic Cooperation (OIC) yang sudah sekian lama menyepi tanpa khabar berita. Keberkesanan OIC juga sepatutnya dipersoalkan dan didebatkan sejauh mana membantu negara-negara Islam saat ini.

Sesetengah penganalisis beranggapan keengganan Arab Saudi menyertai sidang kemuncak ini berpunca darip kebimbangan diasingkan secara diplomatik oleh saingan serantaunya iaitu Iran, Qatar dan Turki, yang ketiga-tiganya menghadiri sidang kemuncak itu.  Barangkali ini adalah salah satu percaturan Tun Mahathir dalam mendapatkan kerjasama serantau dan menguji keabsahan serta keseriusan negara-negara Islam yang lain untuk berbicara soal nasib orang Islam yang susah dan miskin. Bukan sekadar itu sahaja, intipati perbincangan juga meliputi soal perlarian, penukaran dollar AS kepada satu mata wang yang lain, dominasi ekonomi dunia, pendidikan secara umumnya serta kapasiti negara islam dalam memacu kejayaan di era revolusi perindustrian keempat dasawarsa ini

Bak kata Tun Mahathir “Kita cuba bermula secara kecil dan sekiranya idea, cadangan dan penyelesaian diterima serta boleh dilaksanakan, maka kita akan membawanya ke platform lebih besar untuk dipertimbangkan”. Saya melihat inisiatif yang diketengehkan ini walaupun kelihatan minimum usahanya, haruslah didayakan setiap resolusi akhirnya. Kalau pun acara ini dikatakan bukanlah untuk melawan OIC, tetapi saya lihat ia boleh dijadikan sebagai ejen semak dan imbang kepada institusi yang sedang mencari hala tuju dan fungsinya. Arab Saudi dan sekutunya harus sedar bahawa peranan mengembalikan maruah negara Islam hari ini sangatlah mustahak bukan hanya memenuhkan perut dan nafsu masing-masing sahaja.

Namun disini terdapat beberapa persoalan yang harus difikirkan seraca mendalam. Apakah sebenarnya titik tolak kepada acara ini? Dengan memanggil dan menjemput semua negara Islam untuk berhimpun bersama berbicara mengenai nasibnya atau demi kepentingan sesebuah negara untuk menjadi blok dunia ke-3? Apakah keseriusan Tun Mahathir mengherdik sinis untuk tidak menggunakan Dollar AS sebagai mata wang rasmi di rantau ini hanyalah sebagai retorik atau raih simpati? Jikalau acara ini hanya membangkitkan soal kerisauan umat Islam sahaja, OIC juga begitu. Apakah roadmap pasca Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 ini untuk menyelesaikan segala intipati perbincangan yang telah diutarakan sepanjang acara ini berlangsung? Fikir-fikirkan.

Kita sebagai pemerhati siding kemuncak ini haruslah kritikal dan menagih kekuatan untuk mereka ini bertindak secara praktikal pasca sidang kemuncak ini. Selamat maju jaya buat Tun Mahathir dan pasukannya.

 

Luthfi Yusri seorang editor di Nadi Mahasiswa Malaysia dan penyelidik di Strategic Research and Development Team of HARMONI.

 

 

 

 

Leave a Reply