Suhail memulakan tulisannya dengan memetik kata-kata Meredith;

“Janganlah sampai sejarawan masa depan menulis tentang kita: “Mereka hanya tanpa inspirasi, tiada pegangan; sau-satunya monumen merka hanyalah bekas-bekas kupon tarian, puntung-puntung rokok penyek dan dikenang sebagai kaki hiburan hujung minggu.” (The Challenge- Malayan Undergrad, Mac 1, 1955, ms. 4)

Izzah pula menggunakan analogi “beronani” dalam menjawab tulisan saya tempoh hari. Kedua-dua mereka lebih banyak mengulas tentang bagaimana nilai romantism sejarah boleh membangkitkan rasa kesedaran mahasiswa dan menolak premis “berpelukan dengan sejarah adalah baik, tapi saya bimbang mahasiswa akan mempunyai objektif copy and paste”.

Apa yang dikatakan Meredith dalam bukunya mungkin benar – Tapi adakah mahasiswa pada zaman ini mahu dikenang sebagai mahasiswa yang sekadar melakukan program secara semborono, membazirkan wang, bertuhankan parti politik dan suka mengulangi kesilapan-kesilapan mahasiswa yang lepas?

Keinginan untuk beronani tidak salah, tapi sebelum seseorang itu beronani, banyak hal yang perlu dia lihat. Dia perlu memikirkan keadaaan setempat (selamat atau tidak), jenis sabun yang ingin digunakan dan sejauh mana “stamina” yang dia miliki. Jika dia beronani tanpa memikirkan elemen-elemen tadi maka kemungkinan untuk dia tidak mengecapi kepuasan atau mencederakan diri adalah tinggi.

 

Kegagalan menjawab persoalan utama

Saya tidak akan menggunakan bahasa yang kompleks dalam menjawab kedua-dua tulisan mereka, tujuan utama “perbalahan” ini adalah untuk dibaca oleh generasi seterusnya supaya dapat dilihat variasi pandangan dalam perjuangan.

Kedua-dua penulis datang dengan dalil untuk menghalalkan subtances “sejarah dan romantism” pada program ini tapi gagal menjawab bagaimanakah pembinaan naratif yang baharu supaya budaya “copy and paste” itu tidak diulangi oleh aktivis mahasiswa pada masa hadapan. Saya fikir kita tidak perlu menipu diri sendiri untuk menyedapkan hati – content yang ada pada ceramah-ceramah romantis gerakan mahasiswa selalu mendorong untuk kembali ke zaman itu secara “sama” tanpa melihat realiti dan keadaan semasa.

Saya fikir jawapan tentang jaringan dan kesedaran adalah sesuatu yang klise, saya akan ulas dengan lebih panjang pada sub-topik di bawah.

Umpama Mat Jenin yang ada angan-angan besar, seperti itulah kebanyakan fikiran aktivis mahasiswa (termasuk penulis sendiri). Lihatlah sahaja isu-isu yang pernah dibawa, terlalu banyak yang bersifat politikal secara langsung kepada pemerintah. Mahasiswa seolah-olah sudah mahu menjadi “parti politik” yang mahu mengambil isu-isu besar dan populis sebagai bahan mainan padahal isu-isu kampus masih terlalu banyak yang belum dibereskan.

Sebelum kedua-dua sahabat ini mengatakan saya menghalang keterlibatan mahasiswa dalam politik nasional secara agresif, saya ingin mengatakan isu dalam kampus penting untuk diberi perhatian sebelum mula memikirkan isu lain. Mengapa kebanyakan perjuangan politikal aktivis mahasiswa kurang mendapat sokongan mahasiswa? Saya percaya salah satu sebabnya kerana isu-isu yang dibawa sering berada terlalu jauh dari hati majoriti mahasiswa.

Kalau dahulu isu kemiskinan dibawa, ramai dalam kalangan mahasiswa yang miskin. Perjuangan itu terasa dekat di hati, tapi hari ini suasana berbeza.

Ya, Suhail boleh sahaja berkata ini berlaku secara “alamiah”. Tapi hal-hal yang alamiah boleh diperkemaskan dan diperhalusi supaya outcome daripada jangkaan kita boleh menjadi lebih baik.

Melihat perjuangan yang cuba dibawa oleh Mortar Movement

Pertama sekali saya tidak tahu mengapa perjuangan ini dinamakan Mortar Movement, mungkin mereka mahu menjadikan nama pergerakan ini lebih universal dengan memilih Bahasa Inggeris. Kedua mungkin sudah habis perkataan Bahasa Melayu yang boleh menggambarkan pergerakan mahasiswa. Itu saya fikir berlaku secara “alamiah”.

Saya aneh apabila persoalan tentang Fahmi Reza ini dibutakan oleh kedua-dua pengkritik. Saya ingin mengulang semula ayat saya pada artikel yang pertama.

“Jika kita mensasarkan aktivis mahasiwa yang sedia ada maka Fahmi Reza tidak diperlukan. Tapi jika kita mensasarkan mahasisiwa yang belum kenal dengan erti perjuangan, maka kelibat Fahmi Reza diperlukan memandangkan beliau memiliki peminat dan pengaruh.”

Apa sebenarnya peranan Fahmi Reza dalam Mortar Movement? Sebagai pemberi modal? sebagai penasihat/penceramah? Atau sebagai daya tarikan crowd? Saya fikir perkara ini perlu dijelaskan. Adakah kalau ceramah ini dilakukan oleh aktivis mahasiswa semasa (katakan Suhail atau Izzah) maka outcome program ini akan berbeza?

Saya menyebutkan hal ini kerana mengambil hujah daripada saudara Suhail;

Secara tersurat, kami mengambil posisi menerangkan betapa mahasiswa mempunyai maruah, tidak dipijak oleh birokrat-birokat dan politikus seperti yang berlaku hari ini. Itu yang tersurat. Manakala, yang tersirat merujuk kepada kerisauan Meredith itu sendiri; kegagalan untuk mengisi ruang-ruang pergerakan akhirnya hanya mengakibatkan kelesuan ghairah mahasiswa terhadap aktivisme mahasiswa.

Pada pandangan saya, memberi penerangan tentang sejarah lebih baik dilakukan oleh aktivis mahasiswa semasa berbanding Fahmi Reza (saya tahu hajat menjemput Fahmi kerana beliau pernah memberi kuliah ini dan faktor menarik crowd). Saya berkata seperti ini – jika mahasiswa ini datang kerana Fahmi Reza maka selepas ini (konvensyen mahasiswa yang dikatakan menjadi matlamat MM) Fahmi tidak akan ada. Jika mereka datang kerana ingin mengetahui sejarah, maka saya fikir ruang itu perlu diisi oleh aktivis mahasiswa.

Ya tentu sahaja anda boleh berkata – pada awalnya mereka datang kerana Fahmi Reza, kemudian nanti mereka akan jatuh cinta pada sejarah, itu sekali lagi berlaku secara “alamiah”.

Satu lagi, selepas ini MM akan bergerak keluar dari kampus di ibu kota. Pastinya ini akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Sebab itu saya berfikir lebih baik aktivis mahasiswa semasa yang memberi penerangan kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain jika hasratnya ingin menerangkan dan membina jaringan.

Bagi saya, isi ceramah penting tapi tidaklah terlalu penting. Apa yang lebih penting adalah “lepak” selepas sesi ceramah. Daripada sesi lepaklah perbincangan yang lebih rancak akan berlaku, kemudian “bond” dalam kalangan aktivis mahasiswa itu akan terbentuk.

Kita tidak boleh menjadi seperti Nabi, tiba-tiba datang ke tempat orang, kemudian kita minta dia berbaiah kepada kita supaya mengikut satu pergerakan “nasional”. Padahal kita tidak pun ada apa-apa pun ikatan. Bahkan masih ramai yang beranggapan kita (termasuk penulis) merupakan kumpulan aktivis yang elit dan sukar untuk dibawa berbincang. Melalui “lepak” tadi stigma ini dapat dipecahkan.

Jangan umpama menyalin baju, tapi jasadnya tetap sama

Saya mempunyai harapan yang besar kepada Mortar Movement supaya mereka tidak cuba menjadi KESATUAN 2.0. Kita harus berlaku adil kepada KESATUAN memandangkan saya mendengar banyak kolektif/persatuan mahasiswa yang berada dalam KESATUAN kurang memberikan kerjasama dan komitmen sehingga terkuburnya KESATUAN. Saya fikir ini satu lagi fenomena yang disebut oleh Suhail – berlaku secara “alamiah”.

Namun saya fikir elok aktivis Mortar Movement memerhatikan kegagalan KESATUAN sebelum melakukan perancangan “long term”. Saya fikir KESATUAN adalah study case yang menarik untuk dibincangkan supaya kegagalan yang telah berlaku boleh diperkemaskan. Saya pasti ketika mereka melakukan perbincangan Mortar Movement – mereka mempunyai dua pilihan; mereformasikan KESATUAN atau memulakan pergerakan baharu. Ternyata mereka memilih untuk memulakan pergerakan baharu.

Cuba lihat KESATUAN, objektifnya hampir sama dengan Mortar Movement. Pertama “kesedaran”, saya fikir kebanyakan ahli persatuan yang telah terlibat dengan KESATUAN sudah mempunyai kesadaran melalui siri program dalaman dan program kerjasama. Kedua adalah “jaringan”, saya fikir ini merupakan fungsi utama KESATUAN iaitu menjadi penghubung diantara persatuan-persatuan mahasiswa yang ada. Niatnya murni dan sama bukan? Tapi tetap juga ia akhirnya terkubur.

Saya berpandangan salah satu sebab utama hal ini berlaku kerana persatuan-persatuan yang duduk dibawah payung KESATUAN enggan (bukan secara literal, tapi dalaman) mengiktiraf KESATUAN sebagai “koordinator” pergerakan mereka sehingga menyebabkan komitmen berkurangan. Kemudian, saya fikir ketiadaan “struktur yang longgar” menyebabkan persatuan yang berada dibawah KESATUAN merasakan mereka bukan sebahagian daripada KESATUAN.

Kalau difikirkan, KESATUAN cuma diketahui kerana dua nama sahaja – Anis Syafiqah dan Asheeq. Saya fikir mungkin lebih baik kalau Mortar Movement pada masa hadapan akan menampilkan (dengan memberi jawatan) sekali nama-nama daripada persatuan yang bekerjasama. Supaya mereka rasa dihargai dan terlibat dalam membuat keputusan.

Jawapan ringkas kepada persoalan Suhail

Soal keberjayaan daripada sokongan – Apabila sudah terbina jalinan atau kolektif, maka sudah tentu kita mengharapakan komitmen daripada pihak yang telah menyatakan kebersamaan. Kalau kita tidak beranggapan “sokongan” daripada ahli-ahli yang telah bersetuju untuk bekerjasama, apa lagi yang boleh menjadi faktor keberjayaan? Kalau tidak menilai sokongan/komitmen ahli sebagai parameter kejayaan, maka lebih baik kita bergerak sendiri tanpa melakukan apa-apa kolektif.

Kegagalan untuk memahami demonstrasi sebagai bentuk advokasi yang diabsahkan oleh perlembagaan – Sekali lagi gagal memahami kritikan saya yang berbunyi “Kita berhasrat mahu berdemo dengan jumlah yang ramai, mahu buat “road show” dan mahu “memancung” pentadiran universiti seperti yang pernah berlaku pada zaman pra-AUKU.”

Saya tidak menolak demonstrasi sebagai satu bentuk advokasi, tapi yang saya lebih risaukan adalah hanya demonstrasi akan dilihat sebagai satu-satunya bentuk advokasi yang boleh digunakan. Sebelum berdemo, terlalu banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan, kemudian jika ingin berdemo perlu difikirkan adakah kita mahu bernada seperti “parti politik” (akhirnya mahasiswa cuma ditunggang) atau mahu bernada membela isu-isu kampus dan nasional yang berkaitan secara langsung dengan mahasiswa.

Ketiga, unsur provokatif yang dibahasakan oleh penganjur juga perlu diteliti dengan baik. Apakah ia hanya sekadar pada “baju program” atau nilai-sarat program itu sendiri – Apa yang saya cuba sampaikan adalah unsur provokatif seperti sengaja mahu melawan pentadbiran (masuk ke dalam kampus walaupun tidak dibenarkan) adalah sesuatu yang tidak perlu jika pada peringkat awal ini objektifnya hanya ingin membina kesedaran dan jaringan. Aksi provokatif boleh muncul selepas jaringan dan kesedaran muncul.

Buat apa ingin mengenakan baju program yang provokatif sedangkan jasad-jasad yang menggunakan baju itu masih terlalu kecil. Biarlah baju program itu sederhana tapi nilai program sarat dengan “provokatif” – supaya dapat memberi galakan mahasiswa yang belum berani memakai baju provokatif untuk datang.

Keempat, pandangan saya terbentuk setelah melalui fasa-fasa kritikal PMIUM pasca perpecahan PAS-AMANAH sekitar 2015 – Ini juga merupakan isu yang baik. Suhail setuju pergerakan mahasiswa sebelum pergaduhan orang-orang tua ini dimotori oleh pergerakan Islam. Sejauh mana MM ini dapat memberikan dogma baharu yang boleh menandingi “dogma jemaah Islam” perlu diperhalusi. Sebab itu pada awal tulisan tadi saya fikirkan kita perlu ada naratif baharu (selain cerita mahasiswa pra-AUKU) apabila berkata tentang mahasiswa.

Soal sustainabilitySaya fikir ini isu yang besar dan memerlukan ruangan yang lain. Ringkasnya, saya ingin mencadangkan sesuatu pada MM. Cadangan itu saya tulis pada sub-topik seterusnya.

Cadangan kepada Mortar Movement

Saya fikir cara yang terbaik untuk menterjemah cadangan ini adalah melalui gambar. Jika anda lihat pada gambar yang saya berikan, saya fikir mencipta NGO daripada kalangan mahasiswa cumalah ingin mencipta KESATUAN 2.0 sahaja. Kemungkinan besar krisis dan hasil daripada pergerakan ini akan sama dengan KESATUAN. Sebab itulah pada awal-awal tadi saya kata kebanyakan kita menggunakan modal sejarah, tapi kita sendiri malas belajar daripada sejarah.

Ketika ceramah Fahmi Reza di UM, saya tertarik apabila Asheeq berkata NGO yang akan ditubuhkan untuk bekas aktivis mahasiswa yang tidak terlibat dengan parti politik. Usaha ini perlu disokong. Sepatutnya sudah lama ada pihak yang melakukan hal ini. Kepentingan utama NGO ini supaya ia dapat menjadi “support system” kepada pergerakan mahasiswa di dalam kampus.

Hal ini akan membantu membuang kebergantungan persatuan mahasiswa kepada mana-mana badan yang berkepentingan seperti parti politik yang durjana. Untuk safety net, saya akan tulis pada tulisan yang seterusnya.

Memperkemaskan ceramah sejarah

Saya tidak ada puisi atau kata-kata yang enak untuk mengakhiri tulisan ini. Tapi saya fikir krtitikan Yatiran berkenaan propaganda dan strategi perlu dibincangkan. Kita tidak boleh bersikap denial untuk memperlihatkan program kita kelihatan bagus. Saya fikir selain daripada menyentuh sejarah-sejarah kegemilangan mereka, kita juga harus melakukan banyak kerja-kerja meneliti bagaimana mereka beroperasi dan kegagalan-kegagalan yang mereka pernah hadapi.

Cukup aneh apabila ada dalam kalangan kita sendiri yang mahu bersikap seperti tuhan, melenting ketika dilontarkan kritikan tapi konsisten mengatakan HEP itu tuhan kerana enggan menerima kritikan. Kalau kita meneliti sejarah, PMUM dan PBMUM pernah bertembung idea dan pandangan. Peristiwa itu tidak dianggap sebagai sesuatu yang jijik, tapi ia baik untuk memperlihatkan terdapat pelbagai pandangan dalam gerakan mahasiswa. Ia perlu diraikan untuk rujukan generasi akan datang.

By Editor

Leave a Reply