Bukan asing lagi masalah berkait dengan dunia pendidikan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Saban hari, yang kita lihat di media sosial ialah luahan perasaan segenap generasi, baik dari generasi ibu bapa, para guru bahkan budak sekolah/pelajar IPT.

Soalnya, sudah setahun berlalu tapi kerajaan seolah-olah tidak mempunyai perancangan atau prosedur tetap (SOP) dalam menangani krisis pendidikan ini. Kita mulakan dengan mengimbas semula bagaimana budak universiti dihalau dari asrama kemudian bersesak di Terminal Bas Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS). Kemudian, isu Veveonah dari Sabah yang terpaksa panjat pokok untuk jawab peperiksaan dalam talian. Pada waktu itu, kita boleh berkira lagi sebab COVID-19 masih baru di Malaysia.

Tapi, hari ini sudah masuk tahun 2021. Masih ada lagi pelajar SPM seperti di Pulau Aman, yang terpaksa mencari capaian internet yang stabil sampai ke hujung pulau, semata-mata nak masuk kelas online. Kita mungkin sudah hilang harapan pada kerajaan hari ini. Lalu kita ingin bergerak sendiri.

Kita lihat Ebit Lew mencuba untuk menyumbangkan tablet kepada yang memerlukan. Tapi yang beliau cuma mampu berikan, dari sumber yayasannya sendiri, hanyalah 100 buah tablet sahaja, sedangkan yang memohon padanya lebih 43 ribu orang.

Di mana kerajaan saat ini? Sudahlah umumkan sekolah ditutup pada saat-saat akhir. Berapa lama lagi anak-anak, adik-adik kita akan terkandas dalam pelajaran mereka? Setahun sahaja sudah cukup perit buat calon peperiksaan 2020 dan 2021. Adakah kita hendak menambah lagi jumlah pelajar yang terkandas sampai tahun 2022?

Kebajikan dari rakyat untuk rakyat sangat terbatas

Kita tidak boleh nafikan hakikat ini. Bukanlah hendak mengkritik apa yang dilakukan rakyat Malaysia pada hari ini, semisal apa yang dilakukan oleh Ebit Lew. Tapi hal demikian bukan tanggungjawab kita, tapi kerajaan. Kita berterima kasih dengan sebenar-benarnya atas kebajikan yang dilakukan oleh Ebit Lew, tapi soalnya, ke mana wang cukai yang telah kita bayar pada kerajaan saat kita semua memerlukan?

Ebit Lew boleh kasi tablet, laptop, dan sebagainya. Orang perseorangan juga boleh sumbangkan gajet pada yang memerlukan. Tapi itu hanya menyelesaikan satu masalah, ketiadaan peranti/gajet. Tapi bagaimana pula dengan capaian internet?

Sedangkan di kawasan bandar seperti Kota Damansara pun capaian Internet terlalu lembab, baik dari mana-mana servis telco pun. Kita yang mampu untuk membayar bil Unifi pun, kalau kawasan tempat tinggal kita belum dipasang kabel fiber, jangan harap akan dapat nikmati pelan Internet Unifi tersebut.

Kalau sebelum ini Veveonah tular, boleh pula sepantas kilat kawasannya diberi perhatian. Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain di negara kita ini? Sampai bilakah rakyat terpaksa bergantung pada trend semasa dan isu tular baru kerajaaan nak buka mata? Tapi semenjak belakangan ini, biarpun masuk akhbar dan tular di media sosial perihal kesusahan anak-anak kita hendak belajar, tidak ada apa-apa pun yang menjentik pihak kerajaan ini. Semakin pekak, tuli dan buta.

Kerana kita ‘miskin’ digital, usahlah bergantung pada teknologi lagi?

Bukan sahaja keputusan kerajaan hari ini caca marba, malah, semenjak kegilaan mereka pada Pilihanraya Negeri Sabah tahun lepas, bangang-bangang saja keputusan mereka. Baru-baru ini pula, beberapa sekolah di Terengganu terpaksa ditutup kerana ada guru-guru yang positif COVID-19 selepas menghadiri bengkel untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Dengan kes COVID-19 yang entah bila akan berakhir ini serta negara kita yang masih ketinggalan dalam program vaksinisasi, memanglah kita tidak boleh mengelak daripada isu sekolah ditutup serta merta. Tapi bergantung pada pembelajaran atas talian ini hanya berkesan andai kerajaan luaskan jaringan Internet seluas-luasnya dan secepat-cepatnya.

Alternatif lain, kita terpaksa menerima hakikat kita ‘miskin digital’. Hidupkan semula TV Pendidikan, sekurang-kurangnya TV tak perlukan Internet. Tambah peruntukan pada guru-guru untuk hantar latihan kepada anak murid melalui pos ke rumah. Begitu juga untuk para pelajar, berikan sedikit dana untuk mereka dapat berhubung dengan guru-guru, seperti bantuan BPN.

Atau rangka semula jadual persekolahan, untuk minimakan jumlah murid di sekolah. Kalau sebelum ini satu matapelajaran perlukan 4 jam, kurangkan jadi 1 jam. Cara ini mungkin tidak menyelesaikan masalah pelajar terkandas, tapi mereka masih dapat mengikuti pelajaran, walaupun sedikit. Semak semula sukatan pelajaran, kurangkan separuh daripadanya untuk disesuaikan dengan jadual sekolah yang dipendekkan.

Ada bermacam lagi alternatif selain bergantung pada pembelajaran dalam talian ini. Sudah setahun, apakah strategi Kementerian Pendidikan? Masihkah Kementerian Pendidikan khususnya dan kerajaan amnya berharap dunia kembali seperti sebelum COVID-19 merebak?

Yang ditulis dan dibebelkan dalam artikel ini hanyalah buah fikir satu-dua jam. Kerajaan yang sudah diberi masa setahun, masihkah diam membisu dan mengarut lagi?

MAISARAH MOHD PAUZI

Leave a Reply