#Undi18 : Malaysia kearah lebih Progresif
Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dibentang buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali kedua serta perbahasannya akan diadakan pada sidang kali ini selama 18 hari. Saya fikir ia wajar didebatkan secara tuntas oleh kesemua ahli dewan secara rasional, bukannya marah-marah.
Saya berpandangan pindaan ini akan memberikan pelbagai manfaat buat masa hadapan Malaysia. Kelihatan hujah untuk menafikan penurunan had umur 18 tahun untuk mengundi seperti tidak matang dan belum bersedia membuatkan saya semakin merasa bahwa inilah masanya untuk kita melakukan perubahan dan mencorak demografi politik nasional semasa. Soal matang atau tidak, ia bergantung kepada seseorang. Kematangan tidak diukur oleh usia. Ia adalah sebuah pernyataan yang dangkal tatkala anda mengatakan bahawa sekian-sekian usia adalah matang. Kematangan harus ditampilkan dengan prilaku dan cara berfikir.
Meneliti kepada usaha pindaan ini, saya percaya bahawa ia adalah proses kepada suatu keterampilan wajah Malaysia pada 10 hingga 20 tahun akan datang. Penurunan had umur turun mengundi kepada 18 Tahun sewajarnya menjadi realiti dek kerana jikalau kita melihat negara-negara maju yang lain, majoritinya adalah pada umur 18 tahun. Negara Brazil adalah paling muda iaitu pada umur 16 tahun.
Pindaan yang diusulkan ini didapati mendapat sokongan parti komponen pembangkang seumpama PAS dan UMNO. Beberapa persoalan yang wajar difikirkan ialah sejauh mana penurunan had umur pengundi ini mampu memaksimakan keterlibatan anak muda dalam politik? Adakah pindaan usul ini menguntungkan mana mana parti politik? Sejauh mana inisiatif kerajaan dalam menggembleng usaha memberi kesedaran politik kepada anak muda mengenai hal ini? Namun perbincangan ini diperingkat masyarakat, ia haruslah dikembangkan.
Saya percaya bahawa sokongan bipartisan membuktikan keseriusan kerajaan mahupun pembangkang dalam membina belia yang lebih berkualiti untuk masa depan negara. Saya memandang usaha ini adalah sebuah proses dan anjakan paradigma buat anak muda dalam mendepani cabaran yang akan datang. Proses kearah memberi ruang keterlibatan anak muda di dalam menunaikan hak mereka.
Selain itu, kerajaan harus berperanan dalam menghasilkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi mengelakkan berlaku keciciran dalam kalangan pengundi. Tindakan ini dilihat menjadi satu dorongan kepada anak muda melibatkan diri secara langsung dalam demokrasi negara. Mekanisme ini mampu untuk meningkatkan kesedaran politik buat anak muda selaras dengan konteks semasa yang bersifat dihujung jari sahaja. Pemfokusan anak muda haruslah bersifat komprehensif sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Kerajaan haruslah komited dengan meningkatkan kesedaran politik orang muda dalam subjek pendidikan sivik dan juga pendidikan pengundi dalam kalangan belia dan pelajar sekolah sepertimana yang dicadangkan oleh JK Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC). Pendidikan dapat mematangkan golongan pengundi seawal umur 18 tahun untuk memilih kelompok yang dapat memimpin Malaysia ke arah yang progresif. Pengetahuan mengenai intipati Perlembagaan persekutuan, demokrasi, pilihanraya umum dan kepentingan mengundi memberikan suatu naratif yang baik kepada generasi anak muda.
Saya fikir usaha sebegini sangatlah memberi galakan kepada anak muda untuk berpartisipasi dalam mencorak masa hadapan negara. Sejajar penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, saya fikir tiada masalah sekiranya anak muda seusia itu boleh bertanding dan terlibat sama dalam menjadi calon pilihanraya umum. Ia juga adalah ruang buat anak muda terlibat secara total di dalam politik.
Hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) haruslah disokong bersama. Tetapi ia haruslah seiring dengan pendidikan dan kesedaran di semua peringkat usia. Soal umur itu secara dasarnya boleh diperdebatkan dan dibahaskan, Ia bukanlah suatu hujah yang solid. Kalaulah anak muda seusia 18 tahun sudah mampu membuat keputusan untuk menyambung pelajaran, berkahwin dan membuat perniagaan. Apalah sangat setakat menjalankan tanggungjawab buat negara. Semoga pindaan ini memberikan hasil yang tuntas.
Luthfi Yusri
Editor Nadi Mahasiswa Malaysia. Masih meneruskan pengajian di Universiti Malaya. Seorang aktivis gerakan mahasiswa di Belia HARMONI Pantai Dalam. Alumni Sekolah Merdeka.