Beberapa minggu lalu, aku dijemput masuk ke dalam sebuah kumpulan Facebook yang (kelihatannya) khusus untuk mengumpulkan para ‘kliktivis’. Secara peribadinya, aku tidak pernah mendengar istilah tersebut.

Membaca definisi yang digunakan oleh Clicktivist.org, ternyata kliktivis dirujuk pada penggunaan media sosial sebagai platform perjuangan. Sepertimana aktivis, pemahaman awam terhadap istilah ‘kliktivis’ sentiasa dirujuk pada individual, tindakan dan usahanya yang jelas sama ada dalam bentuk gerakan kolektif ataupun dalam kapasiti diri sendiri. Hanya kerana kliktivis itu cuma bersimbolkan ‘ibu jari’, kemampuan kliktivis sentiasa dipandang rendah.

Jika dilihat dengan lebih luas, orang awam lebih mengenali istilah ‘aktivis’ berbanding ‘kliktivis’ kerana biasanya, ia merupakan arah konvensional yang dipilih untuk merealisasikan suatu jalan perubahan. Turun di jalanan, demonstrasi dengan banjiran plakad, sorakan puisi yang mendayung semangat membakar bangunan penindasan – suatu lukisan penuh dengan ‘kebebasan’.

‘Kliktivisme’ juga difahami dengan satu lagi istilah, iaitu ‘slacktivisme’. ‘Slacktivisme’ dikatakan muncul daripada niat untuk berbuat baik tanpa perlu berbuat apa-apa secara fizikalnya. Dalam dunia hujung jari kini, demonstrasi jalanan tidaklah menjadi satu-satunya pilihan utama untuk mengubah sesuatu keadaan.

Kerana itulah, fetish terhadap butang ‘Suka’ dan ‘Kongsi’ di Facebook menular tanpa henti.

Kliktivis Tetap Pemalas yang Berguna

Aku tidak menolak pendapat segelintir aktivis yang tegas menyatakan bahawa kliktivis hanya kelompok manusia yang penakut, tidak cukup berani dan mungkin tidak berguna dalam sesebuah perjuangan. Aktivis-aktivis ini sudah lazim dengan kekasaran, perlawanan dan mengasingkan masyarakat daripada perjuangan mereka (walaupun perjuangan mereka itu adalah mengenai masyarakat).

Mungkin juga para kliktivis ini mempunyai kekangan tersendiri yang membataskan penyertaan mereka hanya di media sosial sahaja disebabkan tinggal di kawasan yang jauh dari tapak perhimpunan yang dirancangkan oleh sesebuah gerakan aktivisme, kekangan masa dan kewangan, masih di bawah umur atau kurang berupaya.

Namun begitu, kerana mereka tetap manusia yang punyai pendirian, prinsip dan nilai sendiri; mereka terus memerhati dan terus berkongsi berita, makluman, kempen. Berterusan mengembangkan minat dalam tujuan perjuangan tersebut, dan jika perlu, menderma sedikit wang yang mereka ada kerana kepercayaan mereka pada kemampuan gerakan perjuangan tersebut.

Contoh hasil kliktivisme yang agak penting dalam sejarah dunia abad ke-21 ialah kesedaran dunia terhadap nasib kaum Muslim yang tertindas akibat perang dan polisi kerajaan bagi mengekalkan hegemoni budaya ke atas kaum yang berlainan dengannya seperti kaum Uighyur, penduduk minoriti Islam di Eropah dan kaum Rohingnya. Penciptaan hashtag dan challenge dimulakan atas hasrat membentuk kesedaran awam, seperti #MeToo, #JeSuisCharlie, #ALSChallenge dan lain-lain.

Tidak kurang juga untuk platform sosial di Internet berteraskan sumbangan kolektif dari bentuk sokongan kewangan (Skolafund.com, GoFundMe, Patreon), bentuk sokongan nasihat di forum-forum sosial (Reddit, Tumblr), petisyen (Change.org) dan pelbagai lagi laman khidmat sosial yang mampu membentuk komuniti pengguna secara aktif.

Rasanya untuk membandingkan, apatah lagi mempertandingkan siapa lebih jaguh dalam perjuangan, kliktivis mempunyai share yang cukup besar juga dalam abad ini. Mungkin sekarang ini, kita boleh mengambil kira peranan kliktivis sebagai ‘aktivis’ abad baru dan paling tidak, memperkasakannya dalam peringkat penyebaran kesedaran. Tidak lagi kita menyebut dalam nada negatif, tidak lagi kita memperkecil kemampuan kliktivis.

Leave a Reply