Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin, mengumumkan sekolah akan dibuka, reaksi ditunjukkan kebanyakan orang, termasuklah ibu bapa sendiri boleh dikatakan amat baik dan positif. Bahkan ramai yang menyambut baik.

Berbeza sekali dibandingkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, pada 8 Julai lalu berkenaan pembukaan institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau menyatakan IPT akan dibuka semula bulan ini, secara berperingkat mengikut kategori pelajar seterusnya diikuti pembukaan menyeluruh pada Oktober depan.

Susulan sidang media itu, timbul pelbagai polemik dan maklum balas, terutama dalam kalangan mahasiswa. Ramai tampil menyatakan reaksi mereka berkenaan kenyataan pembukaan IPT.

Ada kelompok bersetuju kerana suara mereka didengari, terutama mahasiswa dalam kalangan B40. Tidak kurang juga membantah atas beberapa faktor seperti sudah membatalkan kontrak rumah sewa, pengosongan kolej baharu sahaja dibuat termasuklah faktor lain seperti keadaan keluarga mahupun kewangan yang tidak begitu mengizinkan.

Jika dibandingkan percaturan disusun antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), tidak dapat dinafikan strategi pembukaan institusi pendidikan dibuat KPM lebih teratur dan lebih jelas berbanding penyusunan pembukaan IPT.

Polemik yang timbul susulan isu pembukaan IPT ini terjadi atas beberapa sebab. Pertama, berlaku ketidakselarasan antara kenyataan dikeluarkan KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini. Kedua, terdapat arahan berbeza-beza dikeluarkan pihak pengurusan setiap universiti dan ini termasuk arahan daripada naib canselor universiti.

Jika dilihat bagaimana KPM menguruskan isu pembukaan sekolah, ia sesuatu yang wajar dipuji. Pihak KPM terlebih dahulu melakukan kajian tertentu secara mendalam sebelum mengumumkan sekolah akan dibuka dengan mengambil kira pandangan guru, aspek pelajar, persekitaran sekolah dan sebagainya.

Bahkan sebelum sekolah dibuka, menterinya mengambil pendekatan memberikan gambaran awal serta kefahaman kepada ibu bapa, guru dan pihak pengurusan sekolah. Justeru dalam tempoh itu, orang ramai sudah jelas bahawa sekolah akan dibuka dalam masa terdekat dan mereka lebih bersedia.

Buktinya, sebelum sekolah dibuka, bukanlah sekali dua menteri pendidikan muncul dalam sidang media bagi menjelaskan soal keselamatan anak-anak, tetapi berkali-kali!

Berbeza dengan KPT. Saya fikir sidang media pada 8 Julai lalu julung kalinya diadakan kementerian itu. Seterusnya, KPT mengumumkan IPT akan dibuka tanpa adanya penerangan mendalam berkenaan persediaan universiti, pergerakan pelajar, adakah ada pilihan lain bagi mod pembelajaran, serta bagaimana dengan kaedah pelaksanaan pembukaan universiti itu.

Golongan mahasiswa kekal bersuara mengenai polemik pembukaan universiti dengan beberapa aspek masih menjadi tanda tanya. Pelbagai maklum balas diterima daripada mahasiswa sehingga ada yang menggelarkan Noraini sebagai ‘Menteri TikTok yang tidak berfikir panjang.’

Justeru, ada baiknya kemunculan sosok Noraini ditampilkan untuk keluar di kaca televisyen dan media seterusnya memenuhi ruang dan sesi perbincangan secara dua hala bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai tatacara pembukaan universiti.

Artikel ini turut disiarkan di akhbar Berita Harian pada 14 Julai. Baca juga di https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2020/07/710441/penuntut-keliru-kenyataan-tak-selaras-pembukaan-ipt

Sofiya Tamizi,
Aktivis Nadi Mahasiswa Malaysia

Leave a Reply