Warga pendidik, kalian juga Hero negara!

Setelah empat bulan sekolah ditutup akibat daripada wabak virus Covid19, akhirnya pada tanggal 22 Julai 2020, sekolah telah beroperasi semula secara penuh meskipun perlu mengikuti garis panduan ‘standard of procedure’ (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian.

Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dijalankan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh para pendidik bagi memastikan anak murid mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran. PKP telah membuktikan bahawa pendidikan mampu diteruskan dengan memanfaatkan teknologi sedia ada, serta menggunakan platform media seperti google classroom, google meeting dan juga aplikasi zoom. Ini menunjukkan bahawa pendidikan boleh berlangsung dengan pelbagai cara.

Meskipun terdapat kekangan dalam menguruskan sesi pembelajaran atas talian, seperti masalah internet bagi yang berada di kawasan pedalaman atau tidak mahir menggunakan teknologi terkini, ia tidak menghalang para pendidik untuk meneruskan usaha mereka mendidik anak bangsa. Mereka rela untuk mempelajari cara menguruskan pembelajaran atas talian bagi memenuhi hak anak-anak murid untuk mendapat pendidikan.

Seperti para doktor, jururawat dan polis yang merupakan ahli barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid19 ini, para pendidik juga boleh dikira sebagai frontliner dalam memastikan anak-anak murid sentiasa mendapat akses pembelajaran. Para pendidik ini yang akan membentuk anak bangsa untuk menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Mereka juga yang akan memastikan anak-anak murid bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menjadi seseorang yang bermanfaat dan mampu memberi sumbangan kepada dunia.

Bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan, para pendidik bertungkus lumus bagi memastikan sekolah dapat dibuka dengan baik. Pihak sekolah bersengkang mata menyediakan SOP yang perlu diikuti oleh warga sekolah, terutamanya anak-anak murid agar rantaian Covid19 dapat diputuskan serta bagi memastikan agar tidak wujud kluster sekolah.

Para pendidik juga perlu memastikan anak-anak murid sentiasa menjaga jarak setiap masa seperti menyediakan tempat duduk di dalam kelas dengan jarak 1 meter antara satu sama lain. Membuat tanda jarak di pondok bas, ruang menunggu ibu bapa, tangga dan juga tandas. Selain itu, menguruskan makan dan minum murid-murid. Pihak sekolah juga perlu memikirkan cara yang terbaik untuk memastikan sesi pembelajaran dalam norma baharu ini dapat berlangsung dengan lancar.

Antara perkara yang perlu diambil serius untuk pembelajaran norma baharu ini, para pendidik perlu mengambil perhatian terhadap kondisi anak-anak murid. Mungkin akan ada antara mereka yang mengalami masalah untuk menyuaikan diri dengan pembelajaran norma baharu, seperti merasa anxious atau cemas yang membimbangkan, serta panik dengan suasana norma baharu di sekolah. Di sini, peranan pihak kaunselor sekolah amat penting bagi memastikan anak-anak murid merasa selamat untuk menjalani norma baharu di sekolah.

Menguruskan sekolah di musim pandemik ini merupakan tugas yang mencabar dan memerlukan tenaga yang banyak bagi memastikan sekolah dapat berlangsung dengan lancar. Serta memastikan murid-murid merasa selesa dan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu. Ia tidak akan berjaya jika para pendidik dan warga sekolah tidak berganding bahu menjalankan tanggungjawab ini.

Untuk para pendidik, kalian adalah hero negara dan kalian adalah tunggak utama dalam melahirkan pemimpin-pemimpin negara di masa hadapan. Teruskan perjuangan dalam membentuk anak-anak murid menjadi manusia yang bermanfaat. Memetik kata-kata daripada Nelson Mandela, pendidikan adalah senjata paling ampuh yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.

 

Ajda Nuha binti Ahmad Daniel

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Leave a Reply