Bagi mereka yang berharap ini adalah jawapan kepada kritikan terhadap artikel aku yang bertajuk Romantism Ceramah Fahmi Reza dan Realiti Semasa, maka ini bukan artikel yang anda cari. Aku akan menulis artikel itu pada hujung minggu ini.
Aku bercadang ingin menulis berkenaan hal ini apabila sesi balas-membalas tulisan sudah banyak dan makin kehabisan nutrisi. Tapi nampaknya, ramai yang tidak menerima mesej mewujudkan scene “berbalas pantun” termasuk beberapa orang sahabat rapat.
Adalah menjadi kebebasan setiap insan untuk melihat tulisan aku mengikut akal mereka. Bukanlah menjadi satu kewajiban untuk penulis menjelaskan karya mereka, bagaimana tulisan itu dipandang terpulang kepada pembaca. Namun kerana ia melibatkan ada orang-orang yang penting mula terlalu marah, aku fikir elok aku menjernihkan sedikit keadaan.
Aku percaya kita semua terbuka kepada kritikan dan perbincangan secara awam. Perbincangan-perbincangan ini akan membantu generasi yang seterusnya untuk memulakan/meneruskan gerakan. Sekurang-kurangnya ada catatan yang memperlihatkan variasi pandangan dalam bergerak. Penting juga untuk mahasiswa lain tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada gerakan “progresif” mahasiswa. Jika tidak, maklumat dan perbincangan akan berputar secara terhad.
“Takkanlah aktivis mahasiswa khuatir akan kritikan terbuka?”
Seperti tajuk yang dipilih oleh Suhail – Rahman kau siapa? Aku mengakui aku tidaklah seunggul mereka yang lebih agresif dan mahir dalam mengatur pergerakan mahasiswa. Melihat pada hakikat itu, aku menulis sebagai hadirin yang datang ke program orang lain.
Aku cuma memberikan review dan pandangan terhadap program yang kalau diteliti dengan betul, aku dokong. Untuk kritikan, aku akan berikan pada artikel balasan kepada kritikan artikel romantism.
“Bersaing dengan cerita-cerita PRU14 umpama membunuh diri, cerita mahasiswa terlalu kecil jika dibandingkan dengan cerita PRU14.”
Amat malang kita tidak memiliki ramai seteru yang gemar menulis dan mengkritik gerakan mahasiswa “progresif” dengan kemas. Universiti dan HEP pula hanya gemar menggunakan kuasa untuk menyekat mahasiswa. Sebab-sebab sekatan mereka selalu tidak masuk akal. Hal ini juga mungkin menjadi faktor catatan-catatan strategi perjuangan amat sukar dicari. Oleh kerana lawan tidak menulis, kita tidak perlu menulis.
Untuk melahirkan hero yang berkebolehan, kita perlukan musuh yang menggugat. Untuk membentuk rancangan yang baik, kita perlukan kritikan berasas dan perbincangan yang terbuka. HEP atau mahasiswa anti-aktivis mahasiswa “progresif” gagal menawarkan ini.
Aku menulis artikel itu dengan hasrat mengisi kekosongan – biarlah aku dipancung dengan tulisan-tulisan mereka yang akan membela Mortar Movement. Sekurang-kurangnya adalah “seteru/musuh” baharu yang membuatkan mereka lebih rajin menulis dan berbincang.
Setelah Mortar Movement bermula, aku tidak melihat ada tulisan yang serius menceritakan kepada orang ramai objektif, sasaran, dan elemen penting yang lain untuk movement ini. Aku gembira hari ini sudah ada dua artikel untuk disimpan dan akan menjadi tatapan generasi seterusnya.
Aku fikir eksperimen ini membuahkan hasil pada skala yang kecil – Sudah semakin ramai yang tahu tentang kewujudan Mortar Movement. Hari ini website Nadi Mahasiswa Malaysia telah menerima pengunjung terbanyak sejak beroperasi.
Bagi tulisan Izzah dan Suhail, aku akan balas pada hujung minggu ini. Ini merupakan kali terakhir akan akan menjelaskan tindakan aku untuk “scene” ini.
“Aku minta maaf jika ada terasa hati, tiada manusia yang dapat memberi kepuasan kepada semua. Jika tidak berpuas hati, boleh hantarkan tulisan dan aku akan cuba membalasnya.”